Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, October 29, 2009

Rajagobal dilanda resah


AZLAN (kiri) antara pemain yang dipanggil menyertai skuad B-23 negara.






PERSIAPAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara terjejas.

Semuanya gara-gara masalah kecederaan yang dialami oleh beberapa tonggak utamanya.

Mereka hanya ada masa lima minggu lagi untuk membuat persiapan sebelum memulakan misi pada Sukan SEA XXV Laos.

Perkembangan itu mengundang resah kepada jurulatih, K. Rajagobal.

Selepas pemain sayap dari Kedah, Khyril Muhymeen Zambri terpaksa berehat panjang setelah menjalani pembedahan lutut, enam lagi pemain turut mengalami kecederaan ketika ini.

Mereka termasuk Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar (Selangor), Azmi Muslim dan Bunyamin Umar (UPB-MyTeam), Farderin Kadir (KM Naza) dan Muslim Ahmad (Harimau Muda).

Rajagobal tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya dengan situasi tersebut yang secara langsung menjejaskan persiapan mereka menghadapi dua tugas penting dalam masa terdekat.

Selain membuat persediaan menghadapi Sukan SEA, skuad B-23 negara ini juga akan menentang Uzbekistan pada 14 dan 18 November ini pada pusingan kelayakan Piala Asia 2011.

"Ada dua perkara yang saya risaukan iaitu keletihan serta kecederaan pemain setelah mereka beraksi dalam Piala Malaysia.

"Perlawanan akhir hanya akan berlangsung pada 7 November dan saya ada masa seminggu sahaja untuk membuat persiapan sebelum kita bertemu Uzbekistan.

"Selepas itu, kita ada seminggu lebih saja sebelum beraksi pada Sukan SEA.

"Jadi, saya nak semua orang yang memberi sasaran untuk kita memenangi pingat emas pada Sukan SEA memahami situasi ini.

"Siapa yang tidak mahu menang, tapi kita kena juga lihat faktor sekeliling.

Bagi perlawanan bertemu Uzbekistan, Rajagobal bakal menyelitkan dua pemain melebihi had umur yang ditetapkan iaitu kapten Selangor, Amri Yahyah dan kapten KL Plus, Norhafiz Zamani Misbah, tetapi memilih untuk tidak memanggil kapten Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

"Saya tahu Indra beraksi cemerlang bersama Kelantan. Tapi saya kena fikir bahawa sasaran utama skuad ini ialah Sukan SEA. Jadi saya perlu beri peluang lebih kepada pemain B-23 pada dua perlawanan bertemu Uzbekistan.

"Kita juga mungkin mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang Indonesia pada 9 November sebelum turun menentang Uzbekistan," katanya yang akan memanggil semula pertahanan Kelantan, Ahmad Azlan Zainal, 23, bagi mengisi tempat Muslim yang cedera.

Sunday, October 25, 2009

Penyu Bagi Gergasi Nangis

PENYU PADAMKAN IMPIAN SELANGOR DAKAP EMPAT PIALA





Kuala Terengganu. 24hb Oktober 2009. Terengganu memadam hasrat Selangor untuk membolot semua piala pertandingan Liga Malaysia 2009 apabila menundukkan lawan melalui sepakan penalti 5-4 setelah terikat 1-1 (agregat 2-2) malam tadi.

Stadium Sultan Ismail yang penuh sesak dengan kebanjiran para peminat kedua2 pasukan menjadi gegak gempita apabila Manaf Mamat pada minit ke11 dengan bersahaja menyudahkan hantaran pendek Ashaari tanpa dapat dihadang oleh Khairul Anuar dan Hamsani. Asakan awal Penyu sebelum itu pada minit2 awal gagal membuahkan sebarang hasil biarpun terus menekan sang pelawat. Ashaari seharusnya memadam lebih awal api perjuangan Selangor apabila dengan menarik mengelecek tiga pertahanan mereka namun tendangannya tepat ke dakapan Hamsani.

AmirulHadi dikeluarkan kerana kecederaan pada babak awal dan D Surendran dimasukkan untuk menambah sengat dibahagian sayap pasukan Selangor. Safee yang kurang menjadi ternyata mensia2kan peluang terhidang pada minit ke 28 dengan tendangan terus ke penjaga gawang Terengganu. Khairul Izwan seharusnya lebih tepat dalam menyudahkan sepakan sudut Zairo tetapi memilih untuk menanduk serong daripada gawang selang 3 minit kemudian. Amri hampir mencipta nama pada minit akhir perlawanan namun tandukan ke belakangnya sipi.

Babak kedua yang bermula, jelas memberikan perspektif berbeza yang mana Selangor mengandakan asakan mereka melalui penguasaan penuh di bahagian tengah oleh Hardi Jaafar. D Surendran pula mampu menjaringkan gol pada minit ke46 tapi sepakannya tinggi. Akhirnya serangan yang bertali arus membuahkan hasil pada minit ke 62 apabila R Surendran bijak mencuri ruang disebelah kanan melepasi kawalan Hariri lalu meledak kencang untuk gol penyamaan. Terengganu melakukan pertukaran dengan kemasukan Mohd Shazlan Alias bagi mengisi posisi Ahmad Nordin Alias pada minit ke 71. Hariri sepatutnya menyudahkan dengan baik hantaran jauh Manaf kepadanya dalam babak akhir perlawanan tetapi tampanan lemahnya mudah buat Hamsani.

Aksi 30 minit masa tambahan jelas agak hambar buat Terengganu dengan hantaran mudah dipatahkan lawan. Peluang terbaik hadir apabila Ahmad Shahril Zakaria yang mengantikan Khairul Izwan, tersepak tinggi bola dalam keadaan kelam kabut pada minit ke2.

Penentuan sepakan penalti dimulakan oleh Selangor yang berjaya menyudahkan melalui Khairul Anuar, Razman, Amri dan Safee. Namun sepakan ke4 oleh Nasriq berjaya ditampan oleh Sharbinee. Terengganu menyempurnakan kesemua sepakan sepakan melalui Zairo, Ashaari, Manaf, Shahrizam dan Sharbinee sendiri yang melengkapkan senarai jaringan bagi memastikan tenpat ke separuh akhir milik mutlak sang Penyu.

Terengganu: Sharbinee, Saiful, Marzuki, Shahrizam, Hariri, Ashaari, Zairo, Tg Hazman, Nordin (Shazlan), Manaf, K. Izwan (Shahril)

KEPUTUSAN PERLAWANAN SUKU AKHIR 2 YANG LAIN :










Saturday, October 24, 2009

Berakhirkah cabaran kelab?

Negeri Sembilan dilihat semakin menjejaki saingan separuh akhir persaingan bola sepak Piala Malaysia manakala Perlis mungkin cuma perlu bertahan habis-habisan dengan kelebihan satu gol dan peraturan jaringan tempat lawan, malam ini.

Mengumpul modal agak selesa 2-0 dari Seremban, anak buah Wan Jamak Wan Hassan jelas menepati reputasi pasukan paling kebal sejak peringkat kumpulan malah satu tugas cukup getir buat KM Naza untuk menyekat pelawat dan mencari tiga gol tanpa balas pada suku akhir kedua malam ini.

Kelab Kedah itu juga serba kekurangan dari segi barisan pemainnya yang sudah berusia antara hujung 20-an hingga pertengahan 30-an sedangkan Si Rusa jelas begitu mantap pada segenap bahagian khususnya penjaga golnya, Farizal Harun yang cuma dibolosi sekali.

Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Shukor Adan, Hairuddin Omar dan Rezal Zambery Yahya sentiasa berada satu tahap ke depan jika dibandingkan B. Rajinikandh, Akmal Rizal Rakhli, Liew Kit Kong, Manzoor Azwira dan Azizon Kadir.

"Walau apa pun, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak dan mungkin ada sedikit tuah menemani kami," kata ketua pasukan KM Naza, Anuar Jusoh yang turut 'mencacatkan' bahagian tengah tuan rumah malam ini kerana digantung dua perlawanan selepas dibuang padang apabila mengasari Idris Karim, Selasa lalu.

Ia bagaimanapun mungkin tidak mendorong Wan Jamak mengambil risiko dengan merehatkan ramai tonggaknya semata-mata untuk mengelakkan mereka dikenakan kad kuning atau merah dan tercedera dikasari lawan sehingga terlepas beraksi sekiranya mereka sah mara ke separuh akhir, Selasa ini.

Bekas jurulatih negara itu pernah menempelak beberapa pasukan handalan yang cuma menurunkan pemain simpanan setelah layak ke suku akhir lebih awal dan dia perlu berpegang kepada kenyataan 'pedasnya' itu apabila menyusun kesebelasan Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dengan mendahului 2-1 sejak Selasa lalu, Singa Utara mempunyai tiga pilihan untuk menguak pintu separuh akhir; sama ada kekal mengikat Johor FC tanpa jaringan, melepaskan cuma satu gol atau kalah sambil tetap membolosi gawang anak buah Ramlan Rashid ini di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Naib juara Liga Super musim ini masih boleh bernafas sedikit lega dengan ketiadaan nadi Johor FC, Eddy Helmi Manan yang dikenakan kad merah Selasa lalu tetapi perlu juga mencari penyelesaian segera mengatasi prestasi tidak menentu pemenang Kasut Emas, Nizaruddin Yusof yang kadangkala tumpul dan gagal menyudahkan penalti seperti aksi perlawanan di Pasir Gudang.

Kelebihan yang belum selesa dengan modal gol tempat lawan pula menemani dua pasukan Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu apabila melayani kunjungan KL PLUS dan Selangor sekalipun dua pelawat itu masih membawa bekalan satu gol dari Lembah Klang yang perlu ditambah di Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Selain gandingan berbisa Fadzli Saari-Harris Safwan Kamal dalam KL PLUS, satu hakikat yang mungkin menjadi lawan tambahan Wira Merah ialah keadaan Stadium Sultan Muhamed IV, Kota Bharu dan ribuan hadirinnya yang mungkin mendorong sebarang tindakan tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Balingan mercun oleh penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Selasa lalu sehingga memaksa pengadil memberhentikan perlawanan seketika wajar mengajar mereka lebih menjaga kelakuan selain mengenang betapa menderitanya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dihukum FAM gara-gara insiden 'ganas' ketika Piala FA lalu.

Sekalipun mengakui tiada apa yang tidak kena dengan kesebelasan utama di Shah Alam, jurulatih K. Devan perlu menyedari hakikat tugas memburu gol agak berat ditanggung Safee Sali secara bersendirian sekali gus malam inilah masanya untuk kembali menggandingkannya dengan Rudie Ramli di Kuala Terengganu.

Jurulatih pencatur kejayaan Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super itu juga wajar mengerah minda habis-habisan untuk mencari kaedah yang lebih berkesan dalam meleburkan kekebalan penjaga gol Si Penyu, Sharbinee Allawee yang turut cemerlang menafikan siri peluang keemasan Merah Kuning, Selasa lalu.

Sesi Pemilihan ke Kejohanan AFC U19 di China



Seramai 26 pemain turun menjalani Sesi latihan pertama di Padang MSN Bukit Jalil petang semalam. Cuma Mohd Fakhururazi Musa dan Khairul Anuar Khalid tidak dapat hadir kerana mewakili KL Plus dan Selangor dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia semalam.

Semasa Sesi latihan pemain-pemain dari kelab dan SSBJ menunjukkan tahap kecergasan yang mengecewakan. Kecuali pemain-pemain Harimau Muda dan pemain U18 yang beraksi untuk kejohanan di Laos dan Vietnam, para pemain lain kelihatan sukar menyesuaikan diri pada sesi latihan pertama petang semalam.

Menurut Pen. Jurulatih, Hassan Mohd Waras
"sebagai jurulatih yang membuat persiapan untuk pasukan kebangsaan, saya agak kecewa dengan tahap kecergasan pemain-pemain. Walaupun off-season sebagai pemain bolasepak mereka sepatutnya sentiasa bersedia dari segi kecergasan kerana kita telah mengingatkan mereka sebelum dipanggil untuk sesi pemilihan kali ini."

Pasukan U18 kebangsaan hanya mempunyai 5 hari sahaja untuk berlatih di tanah air sebelum berangkat pada 25 Oktober untuk menyambung latihan dan perlawanan ujian dengan beberapa kelab di China. Perlawanan pertama berlansung pada 1 Nov. menentang Myanmar.

Sunday, October 18, 2009

Mungkinkah Ada Sinar ?

Memerhatikan cara permainan dan semangat yang ditunjukan oleh pemain malaysia sewaktu menentang MU tempoh hari menunjukan bola sepak kita sebenarnya ada sinar untuk bangkit. Namun adakah ianya hanya sekadar mimpi indah ? Tapi setelah bangun dari tidur , mimpi itu akan hilang ?





Pelawanan persahabatan seterusnya walaupun hanya sekadar seri , namun menentang pasukan yang lebih baik menunjukan ada peningkatan pemainan pasukan malaysia , namun seperti kata pepatah Ingatkan cerah hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Begitu lah nasib pasukan malaysia sebelum ini.

Apa yang dirancang, Berjuta Peruntukan telah di keluarkan . Namun hasilnya tetap sama , hampa dan kecewa yang teramat. Perlawanan persahabatan bukanlag segalanya kerana matlamat pasukan yang menentang bukanlah untuk memenangi perlawanan tapi lebih kepada mencorak pasukan mereka .

Seperti yang aku pelajari semasa bermain hoki dengan pemain malaysia bertaraf dunia , untuk membentuk keserasian dan mencari pasukan yang baik , pasukan perlu mencari pasukan yang berkemampuan rendah supaya perancangan dapat di lakukan dengan mudah di samping mendapatkan rentak pelawanan , kesunguhan pasukan lawan juga menjadi daya penentu keserasian dan kecekapan pemain untuk menangani keadaan lawan yang sebegitu. Dan untuk menentu kehebatan sebenar pasukan, Baru perlu menentang pasukan yang lebih hebat terutamanya ketika mendekati sesuatu temasya atau saingan keranan momentum perlawanan itu dapat di bawa .

Oleh itu , faktor naik turunya pasukan bukan lah ditetapkan pada perlawanan persahabatan , tapi pada kejohanan yang mereka sertai. Mungkin ramai kata, Kalah menang adat perlawanan . Tapi sampai bila malaysia ingin jadi pasukan pengalah ? Sebagai penyokong kami dah BOSAN...

Para pemain dan pehak FAM inginkan sokongan penonton dan rakyat , tapi apa pula sumbangan mereka pada Negara dan Penyokong Setia ? hanya memberi ketewasan dan kekalahan ? Jika pemain dan FAM yang dipertangungjawab untuk membawa nama negara tidak boleh nak berkorban kenapa mereka suruh rakyat dan penyokong berkorban ? adakah dengan jeritan kami boleh mengubah segalanya ?

Ya ...Kami telah menjerit segingga hilang suara , terpaksa membayar duit tiket dan sebagainya , tapi apa yang kami dapat ??? hanya penah dan habis duit ??

Penyokong menjerit bagai nak rak , namun pemain tetap lembik ..semangat mereka terlalu lemah untuk menghadapi tekanan pihak lawan , Adakah mereka boleh di gelar PROFISONAL ? mereka bersemangat di peringkat awal , tapi lemah di akhir2 pelawanan . Bila mendahului mereka mula lupa diri dan hilang tumpuan. Sedangkan dalam bola sepak dunia pada saat-saat akhir itu lah penentu menang atau kalahnya pasukan . Sepatutnya di hujung2 perlawanan la mereka patutnya lebih bersemanggat dan bukan hanya di awal-awal perlawanan.

Pada pemain Malaysia , apa guna ada gelaran "pemain malaysia" jika hanya datang perlawanan sekadar cukupkan syarat atau hanya sekadar jadi pemeriah majlis . Rakyat pun tak kan pandang anda , anda rasa anda dah cukup hebat mewakili malaysia tapi sebenarnya anda hanyalah "SAMPAH" yang merosakan nama malaysia dan tak berguna bagi kami, Gaji yang di bayar Peruntukan yang di beri tak bermaknan langsung .

Pada FAM , Buanglah politik yang merugikan ..Sayangi lah negara dan bola sepak malaysia lebih dari anda sayang jawatan dan pangkat anda .

Moga malaysia berjaya di temasya sukan sea nanti ...

Thursday, October 15, 2009

Bola sepak negara membimbangkan

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa melahirkan rasa bimbang dan sedih dengan perkembangan bola sepak Malaysia yang berada dalam keadaan 'gawat'.

Menurutnya, beberapa pasukan yang bertanding termasuk pasukan negeri perlu mempertimbangkan semula hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia 2010.

Katanya, tahun 2010 merupakan tahun bola sepak di mana diadakan pertandingan Piala Dunia dan amat malang bagi Malaysia jika beberapa pasukan tidak menunjukkan minat untuk terus bertanding.

"Bagi Kelantan, kita pernah melalui saat-saat getir kejatuhan bola sepak sehingga pernah turun ke peringkat Liga FAM.

"Bagaimanapun, itu semua lumrah dalam bola sepak.

"Kita percaya kemelut kewangan yang melanda beberapa pasukan ini mampu diatasi sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut memainkan peranan," katanya semalam.

Tambahnya, Jawatankuasa Pertandingan FAM perlu melihat beberapa opsyen untuk mengatasi masalah yang melanda selain menyemarakkan lagi saingan liga tempatan.

Annuar sebelum itu menghadiri majlis penyerahan cek bernilai RM52,000 sebagai bonus kepada para pemain kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.

Sebelum ini FAM mengumumkan setiap pasukan Liga Super perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti mereka mempunyai dana kewangan RM2.5 juta selain deposit RM150,000 dan RM1.5 juta serta deposit RM100,000 bagi pasukan yang menyertai Liga Perdana.

Liga Bolasepak di Vietnam dan Thailand sepintas lalu

Setelah berkelana di Laos dan Vietnam untuk 2 kejohanan, Harimau Muda tiba di KLIA petang semalam. Pencapaian cemerlang di Laos agak tercalar dengan kegagalan Harimau Muda melepasi pusingan awal Piala Newspaper di Vietnam.
Apa yang pasti pasukan China dari segi teknikal dan taktikal masih terlalu kuat untuk pasukan negara namun jurang jaringan sudah berkurangan, kita tidak lagi menjadi pasukan belasahan jaguh-jaguh Asia.

Pasukan Harimau Muda memberi harapan baru kepada masa depan bolsepak negara.

Menentang negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand,Vietnam dan Myanmmar pasukan Malaysia kembali digeruni. Walaupun 3 kejohanan lepas (bermula dengan AFF U18) belum boleh dijadikan ukuran sebenar, namun pasukan rantau ini mula sedar Malaysia juga berada setaraf dengan mereka, malah mempunyai ramai para pemain muda yang cukup berbakat dengan kemahiran yang tinggi.

Berdasarkan pemerhatian dari 3 kejohanan ini, Vietnam akan terus meninggalkan kita jika barisan kepimpinan sukan tidak mengambil tindakan serius dalam memajukan bolasepak negara.V-League mereka lebih kompetitif dengan ramai pemain import yang berbakat. Tidak hairanlah apabila Kelab wilayah Binh Duong membelasah Kedah dengan agregat 8-2 di AFC Cup baru-baru ini. Vietnam sekarang amat berbangga dengan penyerang mereka Le Cong Vinch yang bermain untuk kesebelasan utama Leixoes di Liga Portugal.

Pada musim lepas V-League berjaya menarik lebih 1.8 juta penonton ke Stadium daripada 182 perlawanan. 14 pasukan dalam liga mereka membelanjakan hampir RM60 juta untuk pasukan mereka. Purata gaji pemain RM3,700.00 sebulan, Le Cong Vinch menerima bayaran tertinggi RM8,000.00. Berbeza dengan kita dimana purata pemain menerima bayaran RM5,000.00 disamping beberapa pemain utama pasukan menerima hampir RM20,000.00 sebulan.
V-League berjaya menarik lebih 70 pemain luar, 39 pemain datang dari Brazil, selebihnya dari Cameroon, Nigeria,Ghana,Argentina dan Thailand. Nampaknya peminat mempunyai selera yang tinggi terhadap mutu pemain daripada luar. V-League bukanlah lambakan pemain-pemain fizikal daripada Afrika sahaja.

Thailand juga menstrukturkan semula liga mereka yang kelihatan kurang berjaya dalam 2,3 musim yang lalu. Peminat-peminat tempatan mereka menjadi keliru dengan format 2 liga, dimana satu liga untuk kelab-kelab/entiti yang berasaskan kerajaan seperti kelab Thai Air Force dan Tobacco Monopoly. Manakala satu lagi Liga berasaskan Province. Sekarang mereka memansuhkan liga dari kategori pertama itu, ini bermakna penyokong mengucapkan selamat tinggal kepada kelab tersebut termasuklah Kelab Bangkok Bank dan krung Thai Bank. Kini peminat menumpukan perhatian kepada province seperti Bangkok United, Chula United. Para penyokong kembali memenuhi Stadium, media mula membuat liputan meluas manakala penaja kembali memenuhkan tabung pasukan-pasukan yang bertanding.

Malaysia mempunyai persekitaran yang sama, sumber yang sama, kecerdikan yang tidak jauh berbeza, banyak yang kita boleh belajar dari mereka jika kita mempunyai sikap ingin belajar dan menganalisa.

Wednesday, October 14, 2009

Hanya 4 pasukan daftar Liga M 2010 ? Liga M 2010 kemungkinan tidak akan berjalan




Liga M 2010 kemungkinan tidak akan beroperasi berikutan beberapa pasukan menghadapi masalah kewangan yang agak serius dan mengancam menarik diri selain tidak mampu mematuhi peraturan baru FAM yang mensyaratkan supaya setiap pasukan mendepositkan beribu2 ringgit sedangkan kantung mereka telah menjadi kering.. Satu kemungkinan bahawa kita bakal menyaksikan tiada lagi aksi liga M pada tahun 2010.. Ini bermakna bolasepak malaysia semakin tiada masa depan...


DENGAN tempoh pendaftaran tamat beberapa jam sebelum 12 tengah hari ini, penganjuran Liga Malaysia musim depan mencetus tanda tanya gara-gara hanya empat pasukan sahaja sudah mendaftarkan diri.

Juara Liga Super, Selangor menjadi antara empat pasukan awal mengesahkan penyertaan bersama dua pasukan elit, Johor FC, Johor dan Majlis Perbandaran Muar (saingan Piala FAM) sebelum pendaftaran ditutup jam 12 tengah hari ini.

Dua lagi pasukan yang bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Selangor, PKNS dan Proton, dijangka mengikuti jejak langkah mereka selepas segala urusan hitam putih dikemaskinikan Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Melihat kecenderungan warga Malaysia untuk menunggu sehingga saat terakhir untuk menyelesaikan sebarang urusan, keadaan ini jelas sesuatu yang tidak menghairankan.

Tapi di sebalik andaian itu, tersingkap alasan sebenar yang menghalang beberapa pasukan berbuat demikian iaitu belenggu masalah kewangan.

FAM sebelum ini mengumumkan setiap pasukan Liga Super perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti mereka mempunyai dana RM2.5 juta selain deposit RM150,000 manakala pasukan Liga Perdana harus ada dana RM1.5 juta dan deposit RM100,000 dengan pasukan Liga FAM perlu ada RM500,000 dan deposit RM30,000.
Bagi Persatuan Bola Sepak Melaka (Mafa), syarat itu jelas sukar dipatuhi ketika mereka kini menanggung hutang RM1.9 juta.

Walaupun tidak menyatakan secara terus hasrat menarik diri, Setiausaha Eksekutif Mafa, Jamal Sharif menyerahkan kepada budi bicara FAM memutuskan sama ada menerima penyertaan mereka, musim depan.

"Kami tidak membuat permohonan menarik diri tetapi terpulang kepada budi bicara FAM menerima penyertaan kami. Sehingga kini, kami menanggung hutang RM1.9 juta dan tidak melihat bagaimana kami mampu menyelesaikannya dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Piala Malaysia – Kelantan Menang Besar, Selangor Tewas Perlawanan Terakhir, Kedah gigit jari.






Saingan kumpulan Piala Malaysia sampai ke kemuncaknya malam tadi dengan beberapa keputusan mengejut dicatatkan oleh pasukan-pasukan yang bertanding dalam usaha terakhir mereka merebut tempat ke peringkat suku akhir.

Selangor yang telahpun mengesahkan tempatnya ke peringkat suku akhir gagal mengekalkan rekod kemenangan 100% mereka apabila tewas mengejut 2-3 kepada Kuala Muda Naza dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Kemenangan ini bermakna Kuala Muda Naza turut melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia setelah memungut 12 mata dan berjaya menyelitkan diri dalam senarai lapan pasukan terbaik.

Kelantan pula terus gah menguasai tampuk Kumpulan E apabila membelasah ATM 5-0 di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu sekaligus meneruskan persembahan cemerlang di bawah bimbingan jurulatih baru, B. Sathianathan yang juga bekas ketua jurulatih kebangsaan. Kelantan adalah pasukan pertama yang layak ke suku akhir dan menamatkan saingan selaku juara kumpulan dengan memungut 15 mata.

Perlis turut menempah tempat ke peringkat suku akhir apabila menewaskan pendahulu Kumpulan A, KL Plus 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dan kini memungut 13 mata, sama seperti KL Plus.

Terengganu yang mengharapkan untuk mencatat kemenangan bagaimanapun hampa apabila tumbang 0-2 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi namun mereka bernasib baik apabila 12 mata yang dipungut sebelum ini sudah cukup mengiringi skuad Hoben Jang Hoben ke suku akhir.

Paling malang, Kedah yang gagal melayakkan diri ke suku akhir walaupun mereka membelasah Pulau Pinang 4-0 di Stadium Batu Kawan. Ini juga bermakna Kedah gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu.

Perak turut hampa apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC di Stadium Perak, Ipoh. Pungutan 11 mata pasukan ini gagal menempatkannya dalam senarai lapan pasukan terbaik yang mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Berikut adalah lapan pasukan yang mara ke suku akhir Piala Malaysia.

1. KL Plus.
2. Perlis.
3. Negeri Sembilan.
4. Terengganu.
5. Johor FC.
6. Selangor
7. Kuala Muda Naza.
8. Kelantan.

Tuesday, October 13, 2009

Segerakan Revolusi 2010

Jikapun sesuatu negara bergolak dihujani mortar dan misil tanpa mata, masih ada keberanian dalam diri 22 anak muda di tengah lapangan rumput, memainkan perang mereka sendiri; untuk memenangi suatu pertarungan bolasepak. Tidak terhad kepada itu, berduyun-duyun lagi menyahut panggilan untuk mencetus semangat pasukan-pasukan mereka; mengambil kesempatan untuk terasing seketika dari pertempuran di luar sana, mengecapi keamanan dan perpaduan berusia 90 minit. Ajaibnya potensi sebiji bola.

Di tanahair ini, dahulunya bolasepak suatu wadah penyatu. Anak-anak muda berbilang agama, bangsa dan bahasa bersama-sama di dalam satu pasukan memperjuangkan satu agenda: menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Pernah kita di landasan yang betul itu. Namun, entah di mana silapnya. Kini dengan rahmat segala kepelbagaian yang sedia ada, dan gema laungan gagasan 1Negarabangsa, masih gagal kita memanfaatkan semuanya untuk menuju tujuan itu: menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

Menjadi antara yang terawal menyoroti denai tradisi bolasepak, tanahair ini berbangga mewarisi pertandingan kepialaan tertua di rantau ini. Namun, prestij pertandingan dan kemegahan pasukan-pasukan kita sudah lama dibiar tercalar.

Manakan tidak? Jadual perlawanan tidak pernah rapi, bahkan struktur tetap pun tiada pernah wujud. Penggulungan pasukan dan kelab amalan biasa. Profesional bolasepak dan seisi keluarganya berbulan-bulan mengikat perut; dan persoalan rasuah tidak terungkit? Liga-liga daerah dan pembangunan akar umbi dibiarkan sepi. Politik dalaman dan kepartian mengatasi segala. Institusi pentadbiran tidak teringin bermuhasabah, penambahbaikan tiada, rasa hormat pun pudar selari dengannya. Media menenggelamkan berita kita dan makin selesa mensensasikan ceritera dari ceruk sana. Peminat tidak lagi berselera Malaysia tetapi bermenukan Madrid, Milan dan Manchester semata.

Sekiranya dahulu stadia dipenuhi pendokong-pendokong aspirasi nusa untuk menjadi kuasa bolasepak sekurang-kurangnya di rantau tenggara Asia, kini gelanggang-gelanggang keramat sunyi dan lengang. Tatkala liga tempatan berhempas pulas menjaja tiket RM10 minggu ke minggu, ramai yang berembun bersengkang mata di warung-warung untuk mencari ‘bolasepak yang berbaloi ditonton’. Ramai lagi yang berbayar ‘tiket bulanan’ Old Trafford, Nou Camp dan San Siro melalui langganan rangkaian kabel satelit. Tumpuan terpaling ke liga-liga kapitalis Eropah yang terang-terangan menaguk yang jernih dari kekeruhan di wilayah ini. Wang kita berguni-guni dikaut ke benua sana di bawah sedar kita. Terus menerus penjajahan diskrit membelenggu kita!

Sekiranya zaman kejatuhan itu pasti tiba dan bercita-cita kita untuk tidak mahu bangkit lagi dan menyahkan bolasepak dari bumi ini, teruskanlah semua ini. Tetapi jangan pula lupa, silakan menuding ke diri sendiri kelak! Kamu, aku, aku dan aku sama sahaja!

Jelik sudah dengan semua amarah dan gundah kecewa ini. Kami mahu sedar. Kami mahu kebangkitan. Kami mahu kembali melihat yang berkulit sawo matang, kuning langsat dan hitam manis bersatu mendabik dada berdendang anthem nasional menjadi sumber semangat pejuang-pejuang kita di tengah gelanggang beradu tenaga, kemahiran dan ketangkasan dengan musuh-musuh tersohor bolasepak. Kami mahu bangun bersama-sama! Kami mahu kesungguhan. Kami mahu kemenangan. Kamu mahu kejuaraan. Kami mahu revolusi!

Jikapun di luar ruang lingkup yang ada kini, biarpun songsang daripada arus perdana ini, kami mahu kembali kepada keajaiban itu. Keajaiban potensi sebiji bola.

Monday, October 12, 2009

Bahana 'Syaitan Merah' dan 'Si Biru'






Pelbagai reaksi, pelbagai gelagat serta pelbagai kenangan yang ditinggalkan oleh Pemain-Pemain Manchester United setelah berangkat ke Korea bagi meneruskan siri perlawanan persahabatan jelajah Asia sebagai persediaan pra-musim yang bakal bermula dalam minggu ini. Banyak perubahan kita lihat. Daripada angka kekalahan yang berubah-ubah (bilangan golnya), gaya permainan dan sebagainya. Teringat pula saya ketika Malaysia tewas 4-2 kepada England, ketika itu, Matlan Marjan diangkat sebagai wira negara apabila menjaringkan kedua-dua gol untuk Malaysia. Ketika itu, pasukan Bolasepak Malaysia diberikan harapan bahawa berada di landasan terbaik untuk pergi jauh di dalam bolasepak. Namun, setelah beberapa tahun... harapan tetap tinggal harapan.



DRAMA KEKALAHAN BOLASEPAK NEGARA


Kita semua sedia maklum bahawa pasukan negara kita tetap kekal berhempas pulas berjuang meskipun dengan negara jiran yang dahulunya bukan tandingan kita. Thailand, Singapura, Vietnam bukan cabaran kita pun dahulu. Namun kini, mereka sudah mula mengorak langkah meninggalkan kita. Yang menyedihkan, dengan Myanmar dan Vietnam pun kita belum tentu dapat tumpaskan. Kisah kedukaan di sukan SEA sudah terlalu lama kita tanggung, malahan hampir tidak dipedulikan pun pencapaian bolasepak negara. Lebih baiklah ditumpu pada Badminton dan Squash. Hati pun tak sakit (kata mereka).

Nak kata negara kita kurang kemudahan, rasanya infrastruktur serta kemudahan sukan kita jauh lebih baik daripada Vietnam dan Myanmar. Maka apakah salah kita. Apakah kajian serta hasil kajian di atas kekalahan kita di pentas asia mahupun kelayakan piala Asia dan Dunia? Pastinya kajian masih lagi tidak dapat menjawab persoalan ini. Ada masanya kita sebagai manusia pun berasa malas jika asyik mendengar alasan terhadap ketidak mampuan pasukan Kebangsaan kita. Alasan demi alasan diberi, semakin hari semakin canggih alasannya. Namun, cukuplah kita menjawab dengan perkataan. Sudah tiba masanya, pencapaian kita mengambil peranan untuk ditonjolkan berbanding retorik permasalahan yang seringkali dijadikan alasan sehingga ke tahap yang memualkan.



Di mana silapnya? Mungkin pemain, pengurus, sistem, pengurusan FAM, pendedahan, Jurulatih atau apa sebenarnya? Tiada siapa berani tampil mengakui kesilapan sendiri. Pelbagai projek kecemerlangan telah pun dilaksanakan sejak sekian lama... tetapi... hasilnya?? Inilah yang menyebabkan masyarakat Malaysia penat malahan ada yang sudah tidak mahu ambil tahu tentang berjaya atau tidaknya Bolasepak Malaysia.



SIAPA PENYOKONG KITA?

Manchester United dan Chelsea. Dua kelab gergasi Eropah, yang seringkali mendominasi kejuaraan di dalam Dunia Bolasepak Eropah. Malahan juga tersenarai sebagai 'top four' pesaing di dalam Kejuaraan Liga Perdana Inggeris (selain daripada Liverpool danArsenal). Namun bukan itu maksud saya. Maksud saya, siapa mereka pada kita sebenarnya, sebenarnya kelab ini berasal daripada rumpun Inggeris yang pernah menjajah negara kita suatu ketika dulu. Janganlah kita lupa akan hal ini. Bukanlah maknanya saya tidak bersetuju dengan perlawanan persahabatan yang diatur, tetapi yang merisaukan adalah 'siapa penyokong kita'. Ya, sepatutnya rakyat kitalah yang menjadi penyokong.


Poster memaparkan gambar pemain Chelsea. Tiada satupun wajah pemain Malaysia



Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Saya dan sahabat saya, Nasir berkesempatan menyaksikan perlawanan persahabatan di antara Chelsea dan Malaysia pada 29 Julai 2008 yang lalu, bertempat di Stadium Shah Alam. Apa yang dapat diperhatikan, penyokong pasukan Chelsea (orang Malaysia tentunya) begitu fanatik terhadap pasukan Chelsea ini berbanding pasukan negaranya sendiri. Malahan, lebih menyedihkan, ramai penyokong yang mengherdik serta memaki hamun pemain Malaysia setiap kali timbul 'tackling' atau 'foul' terhadap pemain Chelsea. Apabila pemain Malaysia memegang bola, mereka di 'boo'. Bayangkanlah bagaimana mentalitu pemain kita agaknya ketika di dalam padang. Jika rakyat tempatan sendiri tidak memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukannya, maka apalah nilainya....

PERISTIWA BERULANG



Malaysia lawan Manchester United


Hampir sahaja peristiwa ini berulang. Tahun ini (2009) iaitu pada 18 Julai yang lalu, berlangsung pula perlawanan persahabatan di antara Syaitan Merah (Red Devils) menentang pasukan Malaysia. Di dalam akhbar sibuk menyiarkan wawancara serta pandangan peminat bolasepak. Rata-rata, tidak sabar melihat pemain luar dari dekatlah, dapat melihat pemain pujaanlah. Tetapi jauh sekali, memberikan dorongan kepada pemain Negara agar menumpaskan pasukan Manchester United. Tiada seorang pun.


Poster memaparkan gambar pemain Manchester United. Tiada satupun wajah pemain Malaysia





Penyokong Manchester United di Stadium Bukit Jalil

Suasana di Stadium masih lagi sama, yang memakai baju Manchester United, membanjiri Stadium (macam di Old Trafford) rasanya. Kurang sekali yang memakai jersi Malaysia sebagai tanda menyokong pasukan Kebangsaan. Akhirnya Amri Yahyah membuat kejutan dengan jaringan-jaringan yang menyebabkan Manchester United tergamam malahan ribuan penyokong Manchester United yang berasal dari....... Malaysia. Hairan kan? Dan kemudiannya apabila Owen berjaya menyumbatkan gol kemenangan, kem penyokong Manchester bersorak keriangan semula, dan panyokong ini sekali lagi datangnya dari ......... Malaysia.


Kebanjiran penyokong Manchester United yang berasal dari 'Malaysia'

Akhirnya Malaysia tumpas 3-2, satu angka yang tidak pernah dijangkakan oleh sekelian rakyat Malaysia.

Kerdilnya pemain Malaysia terhadap penyokong mereka sendiri....




Hanya segelintir ini yang menyokong Malaysia.



Tragedi JWW Marriott di Jakarta mengakibatkan pengurusan Manchester United mengadakan perlawanan ulangan. Saya menyangka dengan ini ramailah penyokong Malaysia yang akan menginsafi dan menyokong pasukan Malaysia, namun, ternyata sangkaan saya silap. Sekali lagi di akhbar-akhbar menyatakan sokongan rakyat Malaysia (yang diwawancara) terhadap pasukan pendatang asing ini. Malahan ada yang menyatakan bahawa "Saya yakin pasukan Manchester United akan beraksi lebih baik kali ini dan pastinya pasukan Malaysia tidak akan ada peluang lagi".

KONSEP 1 MALAYSIA



Tatkala negara heboh memperkatakan tentang Konsep SATU MALAYSIA yang berteraskan perpaduan nasional tanpa mengira bangsa dan keturunan. Maka perlunya semua rakyat faham akan aspirasi serta dasar negara. Apa-apa perjuangan membawa nama negara perlu kita sokong dengan sepenuh jiwa dan raga. Termasuk juga perjuangan di dalam bidang sukan.


Mengapa penyokong kita tidak seperti zaman Allahyarham Mokhtar Dahari? Mengapa sokongan rakyat kita sudah tidak sehebat sokongan terhadap pasukan Badminton Piala Thomas pada tahun 1992? Mengapa, sewajarnya konsep SATU MALAYSIA dihayati bukan hanya sekadar pada isu politik dan sosial semata, tetapi juga dari semua aspek termasuklah perjuangan di dalam bidang sukan.


Namun jikalau ini terus berlaku, saya bimbang kita hanya mampu menyanyikan lagu SATU MALAYSIA, tanpa kita memahami akan erti serta matlamatnya...

Sunday, October 11, 2009

Harimau (1) vs Vietnam (3)

Tamat separuh masa pertama
Harimau Muda (1) Vietnam (1). Gol Harimau Muda pada minit ke-10 oleh Saarvindran apabila bola tendangan Thamil Arasu ditampan oleh penjaga gol. Saarvindran melepaskan rembatan kaki kanan ke penjuru kiri gol Vietnam. Vietnam membalas pada minit ke 17 hasil perebutan didepan gol apabila bola tendangan percuma pemain Vietnam gagal dikeluarkan oleh pertahanan Malaysia.

Mohd Affize menerima kad merah pada minit ke 25 apabila pengadil dari Thailand mendakwanya memijak pemain lawan. Harimau Muda memasukkan Mahali Jasuli menggantikan Wan Zack Haikal untuk menguatkan pertahanan.

Tamat Perlawanan
Harimau Muda tewas kepada Vietnam 1-3. Permainan berlangsung dengan tegang dan terhenti selama 10 minit apabila Ketua Jurulatih Ong Kim Swee membantah corak perlawanan dan mutu pengadilan pegawai-pegawai perlawanan dari Thailand, mengakibatkan beliau juga diarah keluar dari bangku simpanan. Para pemain juga meninggalkan padang dan menuju ke bilik persalinan pada minit ke 70 perlawanan. Mereka kembali semula setelah berbincang oleh para pegawai perlawanan. Kekalahan ini sekaligus menamatkan kempen Piala Newspaper 2009 bagi skuad muda negara ini.

Harimau Muda vs Vietnam

Harimau Muda turun menentang Vietnam petang ini tanpa khidmat Ahmad Shakir dan Mohd Muslim yang tidak begitu cergas untuk diturunkan. Kedua-duanya merupakan jentera utama di posisi masing-masing. Ahmad Shakir menyumbang 3 gol semasa mengalahkan Vietnam di Laos minggu lepas.
Thamil Arasu dan Khairul Izuan Rosli menjadi sandaran untuk merobek seberapa banyak gol vietnam kali ini.Harimau Muda bukan setakat perlu menang malah perlu membekalkan diri dengan jaringan kerana perbezaan gol akan menjadi penentu ke separuh akhir jika China mengalahkan Vietnam pada 13hb nanti.
Misi yang belum pernah diberi sebagai tanggungjawab kepada pemain-pemain Harimau Muda dan bawah 18 tahun ini tentunya menjanjikan perlawanan yang lebih menarik. Tekanan diletakkan kepada mereka sebagai menguji tanggungjawab yang diberikan.
Perlawanan berlangsung pada pukul 6 ptg (7 ptg waktu Malaysia).


Menjalani latihan ringan petang semalam.


Wan Zack Haikal yang direhatkan semasa menentang China kembali beraksi.


Mohd Muslim menjalani rawatan kecergasan agar dapat pulih sepenuhnya untuk peringkat separuh akhir.


Ahmad Shakir yang mengalami sedikit kecederaan bahagian pergelangan kaki.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails