Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, October 24, 2009

Berakhirkah cabaran kelab?

Negeri Sembilan dilihat semakin menjejaki saingan separuh akhir persaingan bola sepak Piala Malaysia manakala Perlis mungkin cuma perlu bertahan habis-habisan dengan kelebihan satu gol dan peraturan jaringan tempat lawan, malam ini.

Mengumpul modal agak selesa 2-0 dari Seremban, anak buah Wan Jamak Wan Hassan jelas menepati reputasi pasukan paling kebal sejak peringkat kumpulan malah satu tugas cukup getir buat KM Naza untuk menyekat pelawat dan mencari tiga gol tanpa balas pada suku akhir kedua malam ini.

Kelab Kedah itu juga serba kekurangan dari segi barisan pemainnya yang sudah berusia antara hujung 20-an hingga pertengahan 30-an sedangkan Si Rusa jelas begitu mantap pada segenap bahagian khususnya penjaga golnya, Farizal Harun yang cuma dibolosi sekali.

Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, S. Kunanlan, Shahurain Abu Samah, Shukor Adan, Hairuddin Omar dan Rezal Zambery Yahya sentiasa berada satu tahap ke depan jika dibandingkan B. Rajinikandh, Akmal Rizal Rakhli, Liew Kit Kong, Manzoor Azwira dan Azizon Kadir.

"Walau apa pun, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam bola sepak dan mungkin ada sedikit tuah menemani kami," kata ketua pasukan KM Naza, Anuar Jusoh yang turut 'mencacatkan' bahagian tengah tuan rumah malam ini kerana digantung dua perlawanan selepas dibuang padang apabila mengasari Idris Karim, Selasa lalu.

Ia bagaimanapun mungkin tidak mendorong Wan Jamak mengambil risiko dengan merehatkan ramai tonggaknya semata-mata untuk mengelakkan mereka dikenakan kad kuning atau merah dan tercedera dikasari lawan sehingga terlepas beraksi sekiranya mereka sah mara ke separuh akhir, Selasa ini.

Bekas jurulatih negara itu pernah menempelak beberapa pasukan handalan yang cuma menurunkan pemain simpanan setelah layak ke suku akhir lebih awal dan dia perlu berpegang kepada kenyataan 'pedasnya' itu apabila menyusun kesebelasan Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Dengan mendahului 2-1 sejak Selasa lalu, Singa Utara mempunyai tiga pilihan untuk menguak pintu separuh akhir; sama ada kekal mengikat Johor FC tanpa jaringan, melepaskan cuma satu gol atau kalah sambil tetap membolosi gawang anak buah Ramlan Rashid ini di Stadium Utama Negeri, Kangar.

Naib juara Liga Super musim ini masih boleh bernafas sedikit lega dengan ketiadaan nadi Johor FC, Eddy Helmi Manan yang dikenakan kad merah Selasa lalu tetapi perlu juga mencari penyelesaian segera mengatasi prestasi tidak menentu pemenang Kasut Emas, Nizaruddin Yusof yang kadangkala tumpul dan gagal menyudahkan penalti seperti aksi perlawanan di Pasir Gudang.

Kelebihan yang belum selesa dengan modal gol tempat lawan pula menemani dua pasukan Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu apabila melayani kunjungan KL PLUS dan Selangor sekalipun dua pelawat itu masih membawa bekalan satu gol dari Lembah Klang yang perlu ditambah di Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Selain gandingan berbisa Fadzli Saari-Harris Safwan Kamal dalam KL PLUS, satu hakikat yang mungkin menjadi lawan tambahan Wira Merah ialah keadaan Stadium Sultan Muhamed IV, Kota Bharu dan ribuan hadirinnya yang mungkin mendorong sebarang tindakan tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Balingan mercun oleh penyokong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Selasa lalu sehingga memaksa pengadil memberhentikan perlawanan seketika wajar mengajar mereka lebih menjaga kelakuan selain mengenang betapa menderitanya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dihukum FAM gara-gara insiden 'ganas' ketika Piala FA lalu.

Sekalipun mengakui tiada apa yang tidak kena dengan kesebelasan utama di Shah Alam, jurulatih K. Devan perlu menyedari hakikat tugas memburu gol agak berat ditanggung Safee Sali secara bersendirian sekali gus malam inilah masanya untuk kembali menggandingkannya dengan Rudie Ramli di Kuala Terengganu.

Jurulatih pencatur kejayaan Piala Sultan Ahmad Shah, Piala FA dan Liga Super itu juga wajar mengerah minda habis-habisan untuk mencari kaedah yang lebih berkesan dalam meleburkan kekebalan penjaga gol Si Penyu, Sharbinee Allawee yang turut cemerlang menafikan siri peluang keemasan Merah Kuning, Selasa lalu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails