Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Wednesday, December 15, 2010

Menteri seru penyokong gamatkan Bukit Jalil

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menggamatkan Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini untuk memberi sokongan kepada skuad bola sepak negara yang akan menentang Vietnam dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF.


Menurutnya, selain daripada memberikan sokongan moral, Kementerian Belia dan Sukan sendiri telah memperkenalkan skim khas bagi memberi motivasi tambahan buat pemain jika mereka berjaya muncul juara kejohanan tersebut buat kali pertama.

“Pemain telah dijanjikan dengan wang insentif sebanyak RM5,000 seorang jika mereka mampu muncul juara Piala Suzuki AFF dan mereka akan mendapat lebih banyak daripada itu.

“Persatuan Penulis Sukan (SAM) telah dilantik untuk membantu menyelaras skim tersebut hasil daripada sumbangan orang ramai, orang perseorangan atau organisasi korporat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan SAM semalam.

Malaysia, yang tidak pernah memenangi Piala AFF sejak ia diperkenalkan buat kali pertama pada 1996 melayakkan diri ke separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A di belakang Indonesia. Skuad bimbingan K. Rajagobal itu menang sekali, seri sekali dan kalah sekali dalam laluan ke final.

Perlawanan separuh akhir kedua pula akan diadakan di Hanoi, Sabtu ini, manakala perlawanan akhir yang turut dijalankan secara timba balik bakal dilangsung pada 26 dan 29 Disember.

Penyokong, orang perseorangan dan organisasi korporat dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada ‘Skim Insentif Ikrar Pasukan Kebangsaan’ di Sekretariat SAM di Wisma OCM Jalan Hang Jebat melalui nombor telefon pejabat 03-20780985 atau faks 03-20706294 pada hari Isnin, Selasa dan Khamis dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Sementara itu peminat Vietnam juga dijangka membanjiri Stadium Nasional apabila laman web rasmi AFF semalam melaporkan dua buah kapal terbang khas yang membawa penyokong negara itu akan berlepas dari Hanoi dan Ho Chi Minh. Setiap kapal terbang mampu menampung 360 penumpang.

UTUSAN

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails