Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, July 15, 2010

Rajagobal panggil lima senior

HANYA lima pemain lebih umur dipanggil untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan bermula Ahad ini sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Korea Selatan pada 25 Julai depan.

Menurut senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam, lima pemain tersebut ialah Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias, Norshahrul Idlan Talaha, Azmi Muslim dan S. Kunanlan yang kesemuanya berusia 24 tahun.

Baki 20 pemain yang turut dipanggil jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal terdiri daripada pemain-pemain bawah 23 tahun termasuk tujuh pemain Harimau Muda.

Namun beberapa pemain yang dipanggil menjalani latihan dan perlawanan persahabatan bulan lalu tidak dipanggil kali ini iaitu Norhafiz Zamani Misbah, Ashaari Shamsuddin, Safee Sali, Bunyamin Umar, Muhaimin Omar, Khairul Helmi Johari dan Izzaq Faris Ramlan.

Selepas melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya Ahad ini, semua 25 pemain skuad kebangsaan itu akan berlepas ke Singapura pada Isnin untuk sesi latihan dan perlawanan persahabatan sehingga Rabu depan sebelum kembali ke tanah air bagi menghadapi skuad Olimpik Korea Selatan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perlawanan persahabatan bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan itu akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan sepak mulanya pada pukul 5.15 petang.

"Tiket biasa berharga RM10 dewasa dan RM5 kanak-kanak manakala tiket grandstand berharga RM30. Tiket mula dijual pada pukul 3 petang Jumaat ini (esok) dan seterusnya dari Isnin hingga Jumaat di depan Wisma FAM.

"Pada hari perlawanan, ia akan dijual di kaunter stadium bermula pukul 10 pagi. Perlawanan waktu petang adalah permintaan pasukan lawan yang turut mahu membuat siaran langsung," kata Azzuddin pada sidang media semalam.

Namun menurut Azzuddin, skuad Olimpik Korea Selatan itu tidak akan disertai oleh mana-mana pemain skuad negara tersebut yang beraksi pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan baru-baru ini.

Laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) semalam turut memaparkan senarai 20 pemain mereka yang bakal terbang ke Kuala Lumpur dengan ia dibarisi kalangan pemain-pemain berusia 19 hingga 21 tahun yang dibimbing jurulatih, Hong Myung-Bo.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails