Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Sunday, October 31, 2010

Red Warriors lakar sejarah

Barisan Kelantan 2010 ini akan terus dikenang sampai bila-bila.

Mereka telah berjaya melaksanakan misi dengan sempurna dengan kejayaan membawa pulang trofi Piala Malaysia ke Kota Bharu buat pertama kalinya selepas menundukkan juara bertahan, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, Kelantan mengharungi detik mendebarkan apabila ketinggalan sejak awal minit ke-13.

Kelantan yang berjersi putih bagaimanapun mengambil masa untuk mendapatkan rentak dengan kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin turut gugup beraksi di pentas final.

Pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan berada di depan selepas Shahurain Abu Samah menyempurnakan sepakan penalti kerana kesilapan pertahanan yang menjatuhkan S Kunanlan.

Shahurain diarahkan mengambil semula sepakan dan dia dengan tenang menghantar bola ke penjuru kiri sekaligus memperdayakan gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan bagaimanapun bangkit pada separuh kedua untuk memadamkan kelebihan lawan dengan gol hasil jaringan Hairuddin Omar dan Badrul Radzi.

Penampilan pasukan Pantai Timur itu berbeza sama sekali dari permulaan babak sehingga memaksa Negeri Sembilan bekerja keras.

Enam minit selepas perlawanan bersambung Kelantan bermula garang sehingga hampir memperolehi gol menerusi tandukan Hairuddin Omar yang dikuis keluar penjaga gol disusuli rembatan Badrul Radzi yang melambung tinggi.

Negeri Sembilan mengharungi permainan dengan 10 pemain ekoran Aidil Zafuan Abdul Razak yang sedang menerima rawatan akibat kecederaan.

Ketiadaan tonggak pertahanan muda itu dimanfaatkan sepenuh lawan. Tandukan Hairuddin Omar ternyata begitu berbisa untuk dia melonjakkan semangat rakan-rakannya.

Gol Hairuddin itu dijelmakan hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha untuk dia menewaskan Sani Kamsani.

Kelantan terus mengasak dan akhirnya memimpin perlawanan buat pertama kalinya pada minit ke-65 apabila Badri Radzi berjaya membaca lorongan Norfarhan Mohamad sebelum dia melepaskan rembatan deras untuk menewaskan Sani Anuar Kamsani buat kali kedua.

Masa selebihnya, permainan bertambah rancak malah Wan Jamak akhirnya memasukkan Rezal Zambery Yahya yang belum cergas sepenuhnya. Kelantan pula memberi kesempatan kepada Akmal Rizal Rakhli untuk merasai bahang final.

Bekas pemain kebangsaan itu nyaris memperolehi gol tapi dia mempunyai sebab untuk berasa geram kepada Aliff Samsudin yang menariknya daripada belakang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails