Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Friday, October 29, 2010

Previu final Piala Malaysia




FINAL Piala Malaysia edisi ke-84 merupakan ulangan pertemuan tahun lalu, mempertemukan juara bertahan Negeri Sembilan dan Kelantan serta dua pakar taktik yang pernah menyumbang khidmat di Wisma FAM.

Bekas pemain pertahanan negara, Wan Jamak Hassan, mengendalikan Negeri Sembilan dan sudahpun membimbing pasukan Hobin Jang Hobin merangkul Piala Malaysia dan Piala FA.

Bekas anggota skuad Olimpik 1980 itu bergelar jurulatih kebangsaan dari Februari 1996 hingga Disember 1997, membawa skuad kebangsaan muncul naib juara Piala AFF pada 1996. Dia juga menjadi penolong Michael Urukalo ketika Johor menjulang PialaMalaysia pada 1991.

Sathianathan pula membawa pasukan Bawah 23 kebangsaan muncul juara Pestabola Merdeka ketika berkhidmat selaku jurulatih kebangsaan dari 2007 hingga 2009, apabila dipecat sesudah menuturkan kata-kata kontroversi, “Liga M bukan bola sepak”.

Jika Negeri Sembilan berteraskan pembangunan remaja, Kelantan pula bijak memancing bintang berpengalaman untuk memantapkan pasukan secara jangka masa pendek. 

Mengambil alih daripada Hatem Souissi pada lewat 2007, Wan Jamak mengenal pasti beberapa anggota skuad Piala Presiden negeri itu untuk dijadikan tulang belakang. 

Hasilnya, lapan pemain dalam skuad utamanya layak mewakili Negeri Sembilan dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka Jun lalu. 

Kemunculan pemain muda seperti Aliff Shamsuddin, 21, dan Halim Zainal, 22, diadunkan pula dengan kelompok pemain berusia 23-24 tahun seperti Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad dan dibantu kehadiran tonggak veteran berusia 30-an seperti Shukor Adan, Ching Hong Aik, Rezal Zambery Yahya dan Idris Karim. 

Kecederaan Zaquan Adha Abdul Radzak yang terpaksa berehat panjang akibat pembedahan lutut memaksa Wan Jamak bermain dengan formasinya termasuk meletakkan pemain yang serba boleh mengawal kawasan penting.

Menceritakan peluang Negeri Sembilan dalam final, Wan Jamak mahu anak buahnya fokus kepada kekuatan pasukan dan cubamengelak daripada melakukan kesilapan kecil di kawasan sendiri. 

Bekas jurulatih Telekom Melaka itu dijangka membariskan Ching Hong Aik di jentera tengah sambil meletakkan Shahurain Abu Samah, biasanya beraksi di sayap kanan, sebagai penyerang utama di sisi Idris Karim.

Bagi Sathianathan, dia berbangga membawa pasukan Kijang ke final dalam tempoh 13 bulan.

Menggantikan Peter Butler di tengah-tengah kempen Piala Malaysia 2009, Sathianathan yang lama bertugas di Wisma FAM selaku penolong jurulatih kepada Hatem Souissi dan Allan Harris, percaya dia memiliki pasukan yang berpotensi muncul juara.


Tanpa khidmat Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam di benteng pertahanan, Sathianathan dijangka menaruh keyakinan kepada Farisham Ismail dan Rizal Fahmi Abdul Rosid untuk mengawal benteng di sisi Daudsu Jamaluddin di kanan dan Zairul Fitree Ishak di kiri. Kelebihan Kelantan ialah kualiti di bangku simpanan, dengan S. Chanturu pantas manakala Akmal Rizal Ahmad Rakhli masih tajam memburu jaringan.

Barisan kemungkinan: 

Negeri Sembilan: Sani Anuar Kamsani, Aliff Samsudin atau Rahman Zabul, Shukor Adan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, Rezal Zambery Yahya atau Qhairil Anwar Roslani, Ching Hong Aik, Abdul Halim Zainal, S. Kunanlan, Idris Karim, Shahurain Abu Samah. 


Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Daudsu Jamaluddin, Farisham Ismail, Rizal Fahmi Abdul Rosid, Zairol Fitree Ishak, Shakir Shaari, Badhri Radzi, Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Hairuddin Omar.

FAM
 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails