Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, June 3, 2010

Malaysia lawan Real Madrid 21 ogos 2010

MALAYSIA VS REAL MADRID 21 OGOS

MALAYSIA VS CARDIFT CITY 15 / 17 JULAI

Kelab bola sepak dunia, Real Madrid dengan barisan pemain tersohor seperti Christiano Ronaldo dan Kaka akan menentang Malaysia dalam perlawanan persahabatan di sini pada 21 Ogos ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan kehadiran pasukan gergasi Sepanyol itu yang kini dibimbing oleh Jose Mourinho yang baru sahaja membantu Inter Milan merangkul Piala Juara Eropah tahun ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata selain Real Madrid, pasukan negara, yang membuat persiapan menghadapi Sukan Asia di Guangzhou, China, November ini, akan menentang pasukan kelab dari Wales, Cardiff City, pada 15 dan 17 Julai ini.

Katanya oleh kerana perlawanan menentang Real Madrid jatuh dalam bulan Ramadan, maka kemungkinan perlawanan itu akan diadakan pada pukul 10 malam, kemungkinan di Stadium Nasional, Bukut Jalil.

Bagaimanapun, katanya permintaan skuad bawah 23 tahun Korea Selatan untuk mengadakan perlawanan persahabatan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara masih dikaji.

Perlawanan menentang skuad olimpik Korea Selatan pula, jika berlangsung, akan diadakan pada 21 Julai, katanya.

Azzuddin berkata kelab Cardiff City, yang kini dikuasai oleh tokoh perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee dan Tan Sri Vincent Tan sejak bulan lepas, akan membawa pasukan junior dan seniornya ke Malaysia.

Pasukan senior kelab tersebut akan menentang pasukan kebangsaan pada 17 Julai sementara pasukan junior pada 15 Julai.

"FAM kini menunggu pengesahan dari kelab tersebut sama ada pasukan junior mereka itu bawah 19 tahun atau bawah 21 tahun supaya dapat disesuaikan dengan pasukan junior Malaysia," katanya.

Azzuddin berkata beliau akan memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan supaya menangguhkan kerja-kerja pembaikan trek di Stadium Nasional sehingga akhir Ogos.

Ketika ini padang di stadium berkenaan tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja pembaikan trek yang sepatutnya bermula pertengahan bulan ini.

Sebagai alternatif, katanya, venue pilihan adalah Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras atau Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, K Rajagobal berkata anak buahnya sememangnya perlukan perlawanan kompetitif di peringkat tinggi sebagai persiapan ke Sukan Asia dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF) Disember ini.

"Perlawanan menentang Cardiff City dan Real Madrid yang dibarisi antara pemain terbaik dunia pastinya memberi pengalaman berharga kepada pemain negara," katanya.


-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails