Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Wednesday, May 26, 2010

Cardiff uji skuad kebangsaan Julai ini



Pasukan Cardiff City yang baru menjadi milik dua ahli korporat negara, Tan Sri Vincent Tan dan Datuk Chan Tien Ghee akan bertandang ke Malaysia pada 9 hingga 19 Julai ini sebagai destinasi ujian pemanas badan untuk menghadapi musim liga 2010/11.

Dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Dave Jones, Cardiff akan turun dalam dua perlawanan ujian iaitu berdepan skuad pilihan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) pada 15 Julai ini dan skuad negara yang dibimbing oleh K. Rajagobal dua hari selepas itu.

Sementara itu, skuad remaja Cardiff turut akan melakukan kunjungan bersama dan akan bertemu Harimau Muda B pada 14 Julai di samping satu lagi perlawanan yang akan diaturkan oleh FAM.

''Lokasi pertemuan dengan skuad negara dijangka di antara Stadium Bolasepak Kuala Lumpur atau Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya.

Perkara itu akan ditentukan oleh FAM.

''Ini juga sebahagian daripada promosi kelab Cardiff kepada peminat bola sepak di negara kita supaya mereka boleh mengenali dengan lebih dekat pemain-pemain sebelum saya berhasrat menubuhkan kelab peminat Cardiff di sini," kata pengerusi kelab Cardiff, Datuk Chan Tien Ghee.

Pencapaian terbaik Cardiff dalam sejarah liga England ialah muncul juara Piala Fa pada tahun 1927 dan naib juara Piala FA 2008.

Musim lalu, mereka menamatkan cabaran di kedudukan keempat Liga Kejuaraan (Divisyen Dua) dan layak beraksi di perlawanan penentuan EPL, namun tumpas kepada Blackpool 2-3 pada perlawanan akhir.

Nama-nama besar dalam Cardiff yang dijangka mampu menarik perhatian para peminat bola sepak negara ialah bekas pemain Sunderland dan Newcastle, Michael Chopra, bekas pemain Aston Villa, Peter Whittingham dan bekas pemain Wolverhampton Wanderers, Jay Bothroyd.

Sementara itu, Chan tidak menolak kemungkinan akan melakukan kerjasama dengan FAM jika mereka berminat menghantar pemain negara berlatih di sana.

''Saya akan mengkaji segala kemungkinan sebelum menerima kehadiran mereka di sini namun perkara itu boleh diperhalusi,"

katanya.

Bagi Jones, dia mahu tiba lebih awal supaya pemainnya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas di Malaysia.

''Tempoh empat ke lima hari adalah waktu yang sesuai agar semua pemain boleh beraksi dengan baik berdepan dengan skuad Malaysia nanti,'' ujarnya.

Katanya lagi, ini adalah kali pertama dalam sejarah kelab berkenaan mengadakan perlawanan persahabatan dengan membawa skuad utama serta remaja beraksi di luar negara.

''Diharapkan ketibaan kami di sana akan diberi sambutan hangat oleh semua peminat bola sepak Malaysia," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails