Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, May 27, 2010

Real singgah Malaysia

Boleh dikatakan Real Madrid sudah sebelah kaki untuk berada di Malaysia, Ogos ini bagi mengadakan kem latihan selama seminggu dan hanya menunggu persetujuan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad sebuah syarikat dari Singapura telah membuat penawaran kepada FAM untuk membawa masuk kelab gergasi Eropah itu dan mengikut jadual yang telah dikeluarkan mereka akan berada di Malaysia pada 14 hingga 21 Ogos ini.

"Petang semalam kami baru membincangkan tentang kehadiran pasukan ini, bagaimanapun ia masih lagi di peringkat awal tanpa sebarang surat rasmi dikeluarkan tetapi perkara ini akan dapat diketahui selawat-lewatnya 4 Jun ini," katanya pada sidang media selepas perlawanan terakhir Liga FAM antara Sime Darby FC menentang KSK Tambun Tulang, semalam.

Jelasnya, Real memilih Malaysia untuk menjadi lokasi persediaan pra-musim sebelum mengharungi saingan Liga Sepanyol musim 2010/2011.

"Walaupun ketika itu umat Islam di negara ini sedang menjalani ibadah puasa tetapi kita berhasrat untuk mengatur sekurang-kurangnya dua perlawanan menentang pasukan skuad kebangsaan seperti mana yang dilakukan tahun lepas bertemu Manchester United dua kali dalam tempoh seminggu.

"Sekarang ini belum ada keputusan rasmi kerana Stadium Nasional Bukit Jalil pula pada ketika itu sedang mengalami proses pengubahsuaian trek dan kami akan melihat dari pelbagai aspek untuk membuat keputusan secara rasmi mengenai status kehadiran pasukan yang diwakili pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo," ujarnya.

Azuddin berkata, jika semuanya berjalan lancar dan telah dipersetujui ia akan menjadi sejarah buat Malaysia mahupun Real yang kali pertama mengadakan perlawanan persahabatan dan kem latihan di negara ini.

Sementara itu, Azuddin berkata, pasukan kebangsaan yang akan berkampung di Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun ini bakal mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab negara itu.

"Bagaimanapun kami masih belum dapat mengumumkan tiga pasukan tersebut dan ia akan diketahui sebelum skuad kebangsaan berangkat ke Turki," katanya yang turut mengumumkan bahawa tiada Kejohanan Pestabola Merdeka tahun ini.

Skuad kebangsaan juga dijangka mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik (bawah 23 tahun) Korea Selatan pada penghujung Julai sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Latihan pusat dan perlawanan persahabatan yang dilakukan oleh skuad kebangsaan adalah sebahagian dari persediaan menghadapi Sukan Asia dan Piala AFF tahun ini.

kosmo......................




JIKA segalanya berjalan lancar, kelab bola sepak terkemuka Sepanyol, Real Madrid bakal berada di Kuala Lumpur untuk latihan dan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Malaysia dari 14 hingga 21 Ogos depan.

Real yang bakal dibimbing Jose Mourinho tentunya akan hadir dengan barisan bintang diketuai Cristiano Ronaldo, Kaka, Gonzalo Higuain, Xabi Alonso, Iker Casillas dan Raul untuk diuji kehandalan mereka oleh anak-anak buah K. Rajagobal.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pihaknya baru saja menerima makluman awal berhubung kehadiran Real itu daripada sebuah syarikat penganjuran acara sukan dari Singapura semalam.

"Menurut surat terbabit, Real akan datang ke sini (Kuala Lumpur) pada 14 hingga 21 Ogos depan. Memandangkan tarikh itu jatuh pada bulan Ramadan, perlawanan itu nanti akan diadakan pada sebelah malam.

"Buat masa ini, belum ada surat rasmi lagi. Tapi kalau jadi, selain berlatih, Real akan mengadakan klinik bola sepak dan dua perlawanan persahabatan, sama seperti ketika kita bertemu Manchester United tahun lalu.

"Segala keputusan mengenai perkara ini akan diputuskan pada 4 Jun depan, sama ada rundingan ini berhasil atau sebaliknya. Tapi FAM bersedia untuk merealisasikannya," katanya pada sidang media di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras petang semalam.

Namun apa yang pasti, perlawanan tersebut tidak akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang akan memulakan sesi baik pulih treknya bermula pertengahan Jun ini dan Stadium Shah Alam mungkin menjadi pilihan terbaik kerana ia boleh memuatkan 80,000 penonton.

Azzuddin menambah, selain aksi menentang Real itu, skuad kebangsaan juga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City pada 15 Julai dan skuad B-23 Korea Selatan pada penghujung Julai.


Cristiano Ronaldo


"Saya sudah menerima e-mel secara tidak rasmi daripada Datuk Chan Tien Ghee (pemilik Cardiff) dan beliau memohon aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan pada 15 Julai.

"Rundingan untuk membawa skuad B-23 Korea Selatan ke sini pula masih diteruskan. Ia bersempena meraikan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan. Empat pemain skuad tersebut beraksi pada Piala Dunia 2010," jelasnya.

Azzuddin berkata, kelab yang akan ditentang skuad kebangsaan pada tiga perlawanan semasa kunjungan selama 10 hari ke Antalya, Turki dari 10 hingga 20 Jun depan masih dalam perbincangan.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails