Terengganu mahu tampil luar biasa di Alor Setar
JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti mencabar anak-anak buahnya untuk menampil- kan persembahan luar biasa apabila turun pada aksi separuh akhir kedua menentang Kedah malam ini.
Skuad Penyu itu akan beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar selaku pasukan pelawat dalam misi memburu sekurang-kurangnya tiga gol tanpa balas bagi memastikan tiket ke final berada dalam genggaman.
Pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Selasa lalu, skuad kendalian Irfan tewas mengejut 0-2.
Namun, Irfan yakin anak-anak buahnya mampu bangkit dengan aksi terbaik di Alor Setar malam ini seperti mana ketika mereka menyingkirkan T-Team dalam aksi penuh dramatik pada peringkat suku akhir.
"Inilah peluang terakhir kami dan saya mengharapkan pemain saya mampu mengulangi rentak sama ketika kami menewaskan T-Team.
"Pada perlawanan itu, kami tewas 1-3 di suku akhir pertama, namun berjaya bangkit untuk mencatat kemenangan 4-1 pada aksi kedua, sekali gus mara ke separuh akhir.
"Semangat itulah yang saya inginkan dari- pada semua pemain apabila kami bertemu Kedah malam esok (malam ini)," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.
Malah, Irfan juga mahu pemain-pemainnya mengambil kesempatan di sebalik ketiadaan penyerang berbisa Kedah, Azlan Ismail yang digantung perlawanan.
Katanya, kehadiran kapten, Marzuki Yusof daripada penggantungan satu perlawanan turut memberi semangat tambahan kepada skuad Penyu itu untuk menewaskan Kedah.
"Kami hanya ada 90 minit untuk mengubah keputusan permainan dan nasib pasukan ini hanya dapat ditentukan oleh pemain," tambahnya.
Mengenai kedudukan pemainnya, Irfan menjelaskan, kesemua tonggak utamanya termasuk Abdul Manaf Mamat berada pada prestasi terbaik untuk diturunkan pada perlawanan separuh akhir kedua ini.
"Apa yang penting, pemain memberi fokus penuh kepada perlawanan dan cuba mencari sebanyak mungkin gol," tambahnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan bahawa Azlan tidak akan dapat beraksi pada perlawanan hari ini ekoran penggantungan perlawanan.
"Setelah Ahli Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib FAM melakukan siasatan, kami mendapati Azlan bersalah berikutan tindakannya menyerang pengadil ketika perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Azlan dikenakan hukuman pergantungan sebanyak empat perlawanan berkuat kuasa serta-merta," jelas Azzuddin.
N9 elak gugup bertemu Selangor
Jangan gugup dan tersungkur lagi di gelanggang sendiri!Negeri Sembilan akan beraksi tanpa 3 tonggak.
Ini adalah keluhan dan keresahan peminat setia skuad Hoben Jang Hoben dalam menyatakan rasa teruja pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA, Negeri Sembilan menentang Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Cukuplah rasa derita apabila menerima aib tahun lalu sewaktu Negeri Sembilan gagal melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas tewas dengan kelebihan gol di tempat lawan oleh Kelantan.
Bagi peminat, badi itu tidak akan berlaku kali ini, apatah lagi mereka akan turun beramai-ramai memberikan sokongan kepada anak buah bimbingan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan ini.
Namun begitu, Wan Jamak juga mempunyai percaturan yang serupa, Selangor yang dikenali sebagai Gergasi Merah akan dijinakkan oleh skuad Rusa ini.
''Apa pun berlaku di gelanggang sendiri, ia adalah rentak yang akan mencipta sejarah sekali lagi. Kita mahu Negeri Sembilan melepasi halangan malam esok (hari ini) untuk menuju ke final Piala FA," kata Wan Jamak di sini, semalam.
Katanya, dengan Selangor ketinggalan 1-2 selepas kecundang pada babak pertama separuh akhir di Stadium Shah Alam, minggu lalu, kini Negeri Sembilan akan memastikan lawan mereka itu akan pulang dengan 'mata yang putih'.
''Saya optimis pemain sudah bersedia memberikan saingan yang terbaik pada pertemuan menentang Selangor. Pemain semakin bersemangat," tegasnya.
Katanya, bersandarkan semangat yang ditiupkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta kekuatan latihan di padang, Wan Jamak yakin barisan pemainnya tidak akan menghampakan peminat setia tuan rumah.
''Melihat kepada semangat pemain yang bersungguh-sungguh ketika menjalani latihan saya yakin mereka akan tampil dengan aksi terbaik.
''Semua pemain juga lebih matang dan berwaspada selepas kami gagal melangkah ke pentas final pada musim lalu," katanya.
Tambah Wan Jamak, bermain di gelanggang sendiri memberi kelebihan dan dia tidak mahu pemain pula merasa tekanan.
''Saya nasihatkan pemain supaya tumpukan pada aksi, penyokong tetap bersama pemain," ujarnya.
Apa yang pasti, kehadiran penyokong setia Negeri Sembilan malam ini akanmelenyapkan sokongan penyokong Gergasi Merah, sekali gus menukarkan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi ini sebagai 'medan maut' buat skuad Selangor.