Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Tuesday, February 23, 2010

Piala AFC: Jaguh Vietnam merendah diri jumpa Selangor

Becamex Binh Duong lebih gemar merendah diri sambil menyifatkan Selangor pasukan handalan dan mencabar pada saingan Kumpulan F Piala AFC, malam ini.

Menyedari Gergasi Merah memiliki ramai pemain kebangsaan termasuk yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kelab Vietnam itu enggan melabel diri mereka selaku pasukan pilihan dalam pertembungan di Stadium Shah Alam nanti.

Jurulatih Becamex, Mai Duc Chung berkata, mereka turut mendapat tahu bahawa Selangor memiliki rekod silam hebat di arena tempatan sebagai juara Piala Malaysia apatah lagi setelah mengharungi tujuh perlawanan Liga Super dengan lima kemenangan musim ini.

"Memang kami ada tiga pemain import dari Afrika Selatan, Brazil dan Nigeria tetapi ia bukan bererti lawan tidak sehebat mana. Selangor pasukan yang gagah dan kami perlu mengerah yang terbaik dan mungkin melebihi 100 peratus apabila berdepan mereka.

"Perlu juga diingat bahawa tuan rumah ada beberapa pemain yang memenangi emas Sukan SEA lalu dengan menewaskan pasukan bawah 23 tahun negara kami," katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan di Yayasan FAS, Kelana Jaya, semalam.

Kata Duc Chung, tiga pemain import itu ialah penyerang dari Brazil, Elenildo De Jesus; penyerang dari Afrika Selatan, Philani Kubheka dan pertahanan Nigeria, Egbo Osita selain seorang lagi dari Brazil, Kesley Huynh Alves yang mendapat kerakyatan Vietnam.

"Turut beraksi bersama kami ialah dua pemain kebangsaan, Huynh Quang Thanh (ketua pasukan dan pertahanan) dan pemain tengah, Nguyen Vu Phong. Setakat ini kami mendahului Liga Vietnam dengan dua kemenangan, 6-2 dan 2-1," jelasnya.


Mungkin ramai peminat bolasepak tanah air jarang mendengar nama Becamex Binh Duong FC, lawan pertama pasukan Selangor dalam kumpulan F Piala AFC 2010 (Selasa, 23 Februari 2010). Namun bagi peminat yang peka dan bagi peminat dari utara tanahair (yang pastinya mahu melupakan pasukan ini), nama pasukan dari selatan Vietnam itu adalah cukup terkenal.

Manakan tidak, pada pertandingan Piala AFC 2009, Binh Duong adalah pasukan yang sama membelasah skuad Hijau Kuning 8-2 pada peringkat Round of 16. Keputusan yang tidak saja menjadi antara kenangan terindah buat peminat Merah Kuning sendiri (dan memori buruk untuk peminat Kedah), ia juga jelas menunjukkan jurang di antara liga Malaysia dan Vietnam buat masa itu (pada tahun yang sebelumnya Malaysia juga tewas 3-2 kepada Vietnam di kejohanan Piala Suzuki AFF).

Binh Duong tampil lagi untuk kali ketiga di peringkat AFC (kali kedua bermain di Piala AFC) setelah meraih tempat kedua dalam Liga Vietnam (V League) pada musim lepas. Sejak tahun 2006, “Chelsea Vietnam” (antara pasukan terkaya di Liga Vietnam walaupun peminat pasukan Xi Mang Hai Phong pasti tidak bersetuju dengan jolokkan ini) telah memenangi Liga itu sebanyak dua kali dan telah dua kali menjadi naib johan.

Di dalam Kumpulan F, selain Sriwijaya FC, boleh dikatakan Binh Duong juga adalah pasukan yang berpengalaman bermain di tahap tertinggi kejohanan AFC. Kali pertama mereka telah bermain di Piala Juara AFC (AFC Champions League) pada 2008 dan telah ditempatkan di dalam kumpulan yang sama bersama pasukan Adelaide United (Australia) dan Pohang Steelers (Korea). Walaupun mendapat tempat terakhir dalam kumpulan tersebut, Binh Duong berjaya juga meraih keputusan seri melawan Pohang Steelers di stadium Pohang Steelyard. Pada tahun 2009, Binh Duong berjaya sampai hingga ke peringkat separuh akhir sebelum ditewaskan oleh pasukan Syria, Al-Karamah.

Bagi musim ini, Binh Duong telah bermula dengan baik di Liga Vietnam. Berada di tempat pertama dengan meraih mata penuh dari dua perlawanan (Liga Vietnam hanya baru bermula pada bulan Februari) termasuk kemenangan 2-6 ke atas juara Super Cup, LS Thanh Hoa di tempat lawan setelah ketinggalan dua gol pada awalnya.

Di atas kertas, pasukan yang dibimbing oleh jurulatih berpengalaman (bekas jurulatih U-23 Vietnam) Mai Dúrc Chung, pastinya tidak mempunyai masalah untuk layak ke pusingan seterusnya, namun anak buah K Devan masih mempunyai peluang. Binh Duong perlu bekerja keras untuk bersaing di kumpulan F berbanding pasukan Selangor dan Sriwijaya yang sudah bermain lebih banyak perlawanan. Ada kemungkinan pemain-pemain Binh Duong masih belum mencapai tahap kecergasan yang optimum dan sedang membiasakan diri bermain di antara satu sama lain bagi musim baru.

Namun, perlu diakui Binh Duong masih ada kelebihan kerana pasukan ini bukan saja mempunyai kekuatan pemain Vietnam yang pantas dan mempunyai tahap kecergasan yang tinggi tetapi dikuatkan juga dengan kehadiran pemain-pemain import (Binh Duong mempunyai lima pemain import – dua dari Nigeria, satu dari Argentina, Brazil dan Afrika Selatan).

Seperti kebanyakkan pasukan di dalam Liga Vietnam, Binh Duong lebih cenderung untuk memilih pemain import menerajui barisan hadapan mereka. Pendek kata, Binh Duong pasti tidak mempunyai masalah menjaringkan gol. Striker import baru dari Brazil, Elenildo de Jesus dan pemain Vietnam kelahiran Brazil Hunyh Kesley Alves (juga pemenang Golden Boot 2009 Liga Vietnam) masing-masing sudah menjaringkan dua gol bagi Binh Duong musim ini. De Jesus; Alves; pemain Nigeria Amaobi Honest dan pemain Afrika Selatan, Philani Kubehka adalah top-scorers di dalam Liga Vietnam. Pemain pertahanan Selangor perlu memberikan persembahan yang terbaik untuk mengelakkan pasukan Selangor menjadi ‘mangsa’ seperti pasukan Kedah.

Bagi pemain-pemain asal Vietnam, perhatian harus ditumpukan kepada pemain seperti bek kebangsaan Vietnam Hunyh Quang Thanh dan Truong Van Hai dan pemain tengah kebangsaan berpengalaman Tran Truong Giang. Tetapi tumpuan utama harus diberi kepada pemain tengah kebangsaan yang lincah, Nguyen Vu Phong (jersi no #6). Vu Phong adalah pemain yang sama menjaringkan dua gol yang membenamkan Malaysia di Piala Suzuki 2008 di Thailand dan menjaringkan satu gol di perlawanan akhir menentang Thailand sekaligus membantu Vietnam menjuarai pertandingan itu. Walau apa pun, harus juga diingatkan bahawa barisan pemain Binh Duong juga adalah lebih berumur dibandingkan dengan Selangor jadi akan dilihat samada pengalaman atau dayasaing yang dapat membezakan kedua pasukan nanti.

Di atas kertas juga, satu kelebihan Selangor yang sering dilupai pemerhati bolasepak adalah ‘fanbase’ Selangor yang sepatutnya setanding dengan Sriwijaya dan sepatutnya lebih bagus dari Binh Duong. Jika peminat Selangor dapat membanjiri Stadium Shah Alam pada perlawanan pertama dan bertindak menjadi ‘pemain ke-12” Selangor, pastinya ia boleh membantu Selangor mendapatkan mata penuh sebelum perlawanan away di Vietnam nanti. Stadium Binh Duong, iaitu Stadium Go Dau di Thu Dau Mot, Vietnam hanya mempunyai kapasiti 15,000 tempat duduk.

Fakta Menarik: Pemain berbahaya, Hunyh Kelsey Alves adalah juga pemenang Golden Boot Piala AFC 2009 dengan lapan gol termasuk empat gol dijaringkan ke atas Kedah. Alves sudah mendapat 2 caps bermain untuk Vietnam. Bajet Binh Duong pada musim ini diberitakan sebanyak USD4 juta termasuk USD800 ribu daripada tajaan oleh Maritime Bank di atas jersi merah (home) dan biru (away) Binh Duong.

Khabar Angin: Penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza masih lagi mempunyai mimpi buruk tentang pasukan Vietnam apatah lagi setelah dibolos dua kali oleh Vu Phong di Phuket semasa Piala Suzuki. (termasuk satu jaringan jarak jauh yang mengelirukan Helmi). Vu Phong juga antara penjaring Binh Duong semasa perlawanan menentang Kedah di pertandingan Piala AFC 2009 itu.

live di astro supersport 2 (816)


Senarai rasmi Piala AFC 2010:
[i]Penjaga Gol: 1 NGUYEN THE ANH, 13 DANG DINH DUC, 16 TRAN MINH QUANG

Pertahanan: 2 NGUYEN HOANG VUONG, 3 TRAN THANH TUNG, 4 TRAN CHI CONG, 12 LUONG MINH TRUNG, 15 EGBO OSITA, 17 TRUONG VAN HAI, 20 HUYNH QUANG THANH, 24 CHAU PHONG HOA, 25 NGUYEN VU AN

Tengah: 5 NGUYEN MINH CHUYEN, 6 NGUYEN VU PHONG, 8 TRAN TRUONG GIANG, 9 ELENILDO DE JESUS, 14 NGUYEN HUU THANG, 21 NGUYEN VAN LINH, 22 PHUNG CONG MINH

Penyerang: 7 KESLEY HUYNH ALVES, 10 KUBHEKA PHILANI BHEKIZIZWE LANCELOT, 11 NGUYEN ANH DUC, 26 NGUYEN DUC THIEN

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails