Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Sunday, March 13, 2011

EPL Masters di Bukit Jalil hari ini

PASUKAN The Kop mungkin telah menewaskan Manchester United dalam saingan Liga Perdana England minggu lepas, tetapi saingan di antara kedua-dua pasukan dijangka berterusan hari ini apabila pasukan

Masters mereka bersaing pada Kejohanan Piala Malaysia EPL Masters 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil.
Pasukan Liverpool Masters, yang akan diwakili oleh Robbie Fowler, Steve McManaman, Rob Jones, Phil Babb, Stephane Henchoz dan Vladimior Smicer telah mengambil iktibar daripada kemenangan pasukan Kenny Dalglish itu dan berjanji untuk memenangi trofi Kejohanan EPL Masters dari musuh ketatnya, Manchester United Masters.

Liverpool memenangi Trofi Masters pada tahun 2008 dan ketika itu diketuai oleh bintang legenda, Ian Rush dengan mengalahkan Manchester United pada perlawanan akhir. Manchester pula memenangi trofi tersebut pada tahun 2009 dalam satu perlawanan akhir hebat yang berkesudahan dengan tendangan penalti.

Pada tahun ini, pasukan Manchester United Masters akan diwakili oleh Bryan Robson, Andrew Cole, Clayton Blackmore, Ronny Johnsen, David May, Lee Martin, Ben Thornley dan Paul Parker.

Piala Malaysia EPL Masters 2011 ditaja oleh Standard Chartered dan akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil bermula pukul 4.30 petang ini.

Sebelum itu, satu karnival bola sepak dengan permainan-permainan dan aktiviti-aktiviti menarik, gerai-gerai makanan serta hiburan akan diadakan di luar Stadium Putra bermula pukul 12 tengah hari.

Empat pasukan iaitu Liverpool Masters, Manchester United Masters, EPL All Stars Masters dan Malaysian Masters akan bertanding pada kejohanan enam sepasukan dalam dewan ini.

Ketua Pegawai Pemasaran Football Focus Asia, Gavin O'Luanaigh berkata, persaingan hebat di antara pasukan Liverpool dan Manchester United akan menjadikan kejohanan ini lebih menarik.

"Kami turut menjangkakan para penyokong kedua-dua pasukan akan memberikan sokongan padu kepada pasukan-pasukan pilihan mereka," katanya.

Selain daripada bintang-bintang Liverpool FC dan Manchester United, para peminat bola sepak boleh juga menyaksikan bintang-bintang lain seperti Andrew Cole, Jesper Blomqvist, Patrik Berger dan Faustino Asprilla yang akan memukau mereka dengan skil bola sepak yang hebat.

"Tidak dilupa, pertama kali dalam sejarah Masters, pasukan Malaysian Masters akan turut bertanding dan memaparkan bintang-bintang seperti Mazlan Wahid, Yap Kam Choon, K. Gunalan, Ahmad Shahrul Azhar, Shahrin Majid, Azrin Shah Zainal, See Kin Seng, P. Somasundram, Anuar Abu Bakar, Ghani Malek, Khan Hung Meng dan Zainal Abidin Hassan yang akan mengibarkan Jalur Gemilang bertanding dengan pasukan EPL yang ternama," tambah beliau.

Tiket-tiket berharga RM33 untuk menyaksikan kejohanan terhebat ini boleh dibeli dari kedai-kedai Fatdeal di pusat-pusat Victoria Music yang terletak di Sungai Wang, Amcorp Mall, Tropicana City Mall dan Bangsar Shopping Complex.

Ia juga boleh dibeli pada hari perlawanan selagi stok masih ada.

kosmo online

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails