Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, December 23, 2010

Pintu dibuka 3 petang - Azzuddin


PENOLONG Setiausaha Agung FAM, Ahmad Fuad Daud (kanan) sedang memeriksa tiket final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


BAGI mengelak kesesakan penonton, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membuka pintu masuk seawal pukul 3 petang untuk aksi final pertama Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ia disebabkan jangkaan maksimum 88,000 penonton akan hadir menyaksikan pertemuan Malaysia dengan Indonesia itu, pihaknya mahu aturan masuk penonton ke stadium berjalan lancar.
"Pintu masuk ke dalam stadium akan dibuka pada pukul 3 petang supaya tidak berlaku kesesakan. Kita telah maklum bahawa di pekarangan stadium turut berlangsung satu konsert pada hari yang sama.
"Jadi saya nasihatkan kepada semua penyokong kedua-dua pasukan, beli tiket dengan lebih awal dan hadir ke stadium juga dengan lebih awal.
"Kita dapati pada aksi separuh akhir pertama menentang Vietnam minggu lalu, ramai datang lewat kerana beranggapan bahawa perlawanan bermula pukul 8.45 malam tetapi sebenarnya bermula 8 malam.
"Untuk final ini, sama juga, perlawanan akan bermula pukul 8 malam, bukannya 8.45 malam," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi perlawanan tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Azzuddin turut memberitahu, dianggarkan 1,300 anggota keselamatan dan juga 250 anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bakal ditugaskan bagi memastikan tidak berlaku kekacauan atau pergaduhan di kalangan penyokong kedua-dua pasukan.
"Sebagai langkah keselamatan juga, kita mengasingkan pintu masuk untuk para penyokong. Bagi penyokong Indonesia, mereka perlu masuk melalui Pintu Biru dan Pintu Ungu manakala penyokong Malaysia di pintu-pintu yang lain.
Sementara itu, tentang peruntukan tiket bagi penyokong Malaysia untuk final kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Rabu depan, Azzuddin berkata, terdapat peruntukan diberikan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).
"Kita ada menerima permohonan daripada Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) yang mahu menganjurkan rombongan ke Jakarta. Selain itu, pihak kedutaan kita di Jakarta juga akan menguruskan penjualan tiket untuk pelajar-pelajar di sana.
"Peruntukan diberikan PSSI adalah secara timbal balik. Kita beri mereka 15,500 tiket di sini, mereka juga beri kita 15,500 tiket untuk aksi di sana. Kita akan lihat berapa banyak tiket yang kita perlukan nanti," jelas Azzuddin.
KOSMO ONLINE

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails