Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, November 20, 2010

Myanmar pemanas badan kita?

Myanmar mungkin menjadi lawan pemanas badan tunggal skuad bola sepak negara sebelum menghadapi persaingan Kumpulan A Piala Suzuki AFF 2010 di Jakarta dan Bandung, Indonesia dari 1 hingga 7 Disember.


Hanya jawapan badan induk negara itu dalam beberapa hari lagi, bakal mengesahkan perlawanan yang dijadualkan di Malaysia itu setelah Singapura menolak pelawaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Skuad republik jiran itu khabarnya sudah menempah pertemuan dengan Laos, juara pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF bulan lalu, sekali gus meninggalkan cuma Myanmar sebagai lawan gantian Malaysia.

Skuad negara bimbingan K. Rajagobal yang kebanyakan pemainnya mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou, baru-baru ini, bakal dihimpunkan semula ke kem latihan Wisma FAM, Kelana Jaya mulai esok.
Pengurus pasukan negara, Datuk Subahan Kamal berkata di Wisma FAM, semalam: "Kita masih ada Myanmar yang diharap dapat datang ke sini kerana perlawanan persahabatan, cuma boleh diadakan dengan lawan yang bukan sekumpulan kita di Jakarta."

Kumpulan A Piala Suzuki AFF, turut membariskan tuan rumah, naib juara 2008 - Thailand dan Laos sementara juara bertahan, Vietnam di samping Singapura, Myanmar dan Filipina menganggotai Kumpulan B yang berpangkalan di Hanoi.

"Pasukan kita cuma ada seminggu bagi menjalani persediaan bagi Piala Suzuki AFF dan kami akan berlepas ke Jakarta pada 29 November ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Media dan Hubungan Luar FAM.

Sementara itu, Rajagobal berkata, lima pemain daripada senarai awal 30 orang yang didaftarkan ke Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), disahkan tidak dapat ke Piala Suzuki kerana cedera sebelum dan ketika Sukan Asia.

"Norhafiz Zamani Misbah, Ahmad Fakri Saarani yang tercedera di Guangzhou, tidak sempat pulih dalam masa terdekat seperti mana Aidil Zafuan Radzak dan Zaquan Adha Radzak," katanya yang turut resah untuk mencari pengganti dua penjaga gol yang masih tercedera.

"Saya kini memantau tahap kecederaan dua pemain posisi itu, Sharbinee Allawee Ramli dan Farizal Marlias di samping Azmi Muslim, Baddrol Bakhtiar dan Sabre Mat Abu yang turut tercedera," katanya yang bakal memilih 22 pemain ke Piala Suzuki AFF.

Aksi sulung Malaysia ialah menentang Indonesia pada 1 Disember dan Thailand, 4 Disember di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta dan melengkapkan jadual kumpulan dengan Laos di Bandung, tiga hari kemudian.

Skuad pelatih negara:

Mohd. Farizal Marlias,Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli (penjaga gol), Mohd. Sabre Mat Abu, Mohd. Faizal Muhamad, Mohd. Asraruddin Putra Omar, Khairul Helmi Johari, Mohamad Azmi Muslim, Mahalli Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Fadhli Mohd. Shas (pertahanan), Safiq Rahim, Amar Rohidan, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, K. Gurusamy Govandar, S. Kunanlan, Abdul Shukur Jusoh, Mohammad Faizal Abu Bakar, Mohd. Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar, Mohd. Fandi Othman, Mohamad Ashari Samsudin, Abdul Halim Zainal (tengah), Norshahrul Idlan Talaha, Mohd. Safee Mohd. Sali, Izzaq Faris Ramlan, S. Chanthuru (penyerang).

source: Utusan Online

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails