Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dicadang membuka pintu kepada pasukan-pasukan kelab dari rantau Asia untuk bermain dalam liga tempatan bagi meningkatkan mutu sukan tersebut di negara ini.
Cadangan tersebut yang dilontar sendiri oleh Timbalan Presiden FAM, Tan Sri
Annuar Musa adalah bertujuan meningkatkan kualiti pemain tempatan dan memberi
nilai tambah dari segi hak penyiaran perlawanan.
"Saya rasa kita bukan sahaja perlu mengambil pemain import dari sebelah
barat tapi perlu mengambil pemain import dari Asia. Ini kerana penonton dari
bahagian Asia seperti Thailand, Indonesia, Vietnam pastinya ingin melihat pemain
mereka beraksi bersama pemain kita di negara ini.
"Secara tidak langsung liga negara kita dapat dikenali dan seterusnya dapat
melonjakkan nilai kepada penyiaran negara kita," katanya.
Annuar memberikan cadangan tersebut pada sesi penerangan dan pengelolaan
Liga Malaysia 2011-2014 yang dianjurkan oleh FAM selama dua hari bermula hari
ini hingga esok, di sebuah hotel, di sini hari ini.
Source: Bernama