Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Wednesday, August 25, 2010

Swastakan Bolasepak Malaysia


DI MALAYSIA, isu tentang bolasepak negara semakin hangat diperkatakan. Saban tahun , jurulatih diganti dengan yang baru namun persembahan tetap juga tidak mencapai seperti yang diharapkan. Prestasi buruk yang dipamerkan pasukan Malaysia ini jelas mengecewakan banyak pihak. Nampaknya segala-segala seperti tidak menjadi untuk sukan nombor satu di Malaysia ini.

Adakah bolasepak Malaysia semakin tenat? Dengan persembahan yang buruk, pencapaian yang mendukacitakan, ini mungkin benar. Sekarang mari kita sama melihat kepada satu aspek yang penting dalam bola sepak moden iaitu wang.

Memang benar wang tidak dapat membeli segalanya namun dalam kancah dunia bola sepak sekarang kewangan memainkan peranan yang amat penting dalam mencipta ataupun membentuk sebuah pasukan bola sepak yang berjaya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pasukan Melaka juga menghadapi masalah yang sama, namun mungkin tidak seteruk FAS. Saya percaya, selain daripada FAS, banyak PBN di Malaysia juga mempunyai masalah kewangan, tetapi tidak begitu serius.

Tidak dapat dinafikan, terdapat Persatuan bola sepak negeri (PBN) yang agak kaya seperti Selangor dan Perak yang mampu berbelanja lebih untuk kebajikan pemain-pemainnya. Tetapi bagaimana dengan nasib PBN yang kurang dari segi pendapatannya?


Di Malaysia, PBN secara teorinya diletakkan di bawah kerajaan negeri secara tidak tidak langsung. Ini dapat dilihat apabila PBN ini dipimpin oleh kerabat diraja, menteri besar dan juga ahli politik.Pada saya, kepimpinan mereka tidak harus dipersoalkan kerana jika seseorang itu berkemampuan, maka tidak salah untuk beliau berada di situ untuk memimpin PBN.

Namun, tajaan-tajaan ini mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos gaji pemain, pegawai persatuan, jurulatih, kos latihan dan sebagainya. Contoh dari perbelanjaan melebihi pendapatan boleh dilihat pada apa yang berlaku kepada FAS pada masa ini.

Apa yang saya cuba cadangkan adalah agar PBN dibenar melibatkan penyertaan entiti bukan sukan sama seperti konsep penswastaan. Benarkan PBN yang bermasalah dibuka kepada syarikat-syarikat swasta di Malaysia seperti Petronas yang tersenarai dalam 500 syarikat multinasional paling berjaya di dunia.


Saya membangkitkan perkara ini kerana melihat penyertaan organisasi swasta ke dalam PBN boleh menguntugnkan PBN itu seterusnya memajukan sukan bolasepak di Malaysia.Ya, memang benar PBN ada mendapat tajaan dari syarikat-syarikat gergasi seperti Telekom Malaysia, Naza Motors, Genting Berhad dan sebagainya. Namun, mereka tidak mempunyai suara untuk membuat keputusan. Paling tidak hanya boleh menetapkan syarat penajaan seperti dipampang logo penaja dengan saiz yang besar pada baju pasukan-pasukan yang bertanding.

Oleh itu, saya melihat dengan mengadakan perkongsian 50-50 antara kerajaan dan swasta, PBN berdepan risiko yang rendah berdepan masalah kewangan.Langkah sebegini dilihat dapat menguntungkan kedua-dua pihak dan sekaligus dapat memajukan bolasepak negara.

Saya suka mengambil Maxis dan Digi sebagai perbandingan. Kedua-duanya berusaha keras mempromosi produk mereka dan pengguna pula mendapat tempiasnya dengan mendapat perkhidmatan yang baik pada harga yang berpatutan.

Bayangkan jika kedua-dua syarikat ini menjadikan bolasepak sebagai cabang pelaburan mereka? Saya pasti mereka akan berbelanja lebih untuk menarik minat peminat-peminat yang pastinya dahagakan persembahan menarik dan mutu permainan yang berkualiti dari bolasepak tempatan. Siapa tahu, mereka mungkin membuka akademi bolasepak sendiri untuk mencungkil bakat pemain.

Pada masa kini, bolasepak tidak boleh lagi berdiri sebagai entiti tersendiri. Bolasepak perlu bergabung dengan entiti komersial dan perniagaan yang nyata lebih menguntungkan.Kita tidak perlu pergi jauh ke Eropah. Lihat sahaja bagaimana di Jepun, Mitsubishi melabur dalam sukan bolasepak. Ini secara tidak langsung memajukan bolasepak di negara itu.

Begitu juga dengan Korea Selatan di mana Hyundai juga mempunyai kelabnya sendiri. Lihatlah mutu permainan pasukan Korea Selatan.Mereka berjaya mengalahkan gergasi-gergasi besar bola sepak dunia dalam kejohanan Piala Dunia 2002 dan mereka mendapat tempat ke-empat dalam kejohanan itu yang merupakan satu pencapaian yang memang patut dibanggakan daripada sebuah negara Asia.

Di Eropah pula, bolasepak merupakan perniagaan. Pemain-pemain bertukar ganti dari satu negara ke satu negara. Ini kerana Eropah niagakan bolasepak mereka. Hasilnya, mereka jauh ke depan dan mampu pula mempunyai siaran televisyen sendiri.

Malaysia sebenarnya hampir kepada pendekatan ini di mana syarikat-syarikat terutama GLC seperti Telekom Malaysia (TM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai pasukan mereka sendiri.

Namun, pendekatan ini agak terbatas kerana rakyat Malaysia mempunyai sentimen kenegerian yang amat kuat. TM dan TNB mempunyai pasukan yang agak bagus, namun tidak berjaya mendapat hati peminat kerana sentimen yang saya nyatakan sebelum ini.

Kerana itulah saya menyarankan agar PBN dibenar bergabung dengan sektor swasta dengan kerajaan / persatuan dan swasta mempunyai pegangan saham 50-50 ke atas PBN.

Negara mempunyai banyak syarikat-syarikat gergasi yang terlibat dalam perniagaaan berkaitan tenaga, minyak, telekomunikasi dan sebagainya. Saya percaya mereka pasti berminat jika PBN memakai label mereka bukan sebagai rakan tajaan, tetapi sebagai rakan kongsi.

Minat mereka untuk terlibat dalam memajukan bolasepak boleh dilihat melalui penajaan semasa Piala Dunia dan liputan-liputan berkenaan bolasepak antarabangsa. Daripada keuntungan mereka dilaburkan kepada hiburan semata-mata, alangkah baik jika mereka turut menyumbang dalam memajukan bolasepak negara.

Kerajaan dan swasta harus melabur jika mahu melihat bolasepak negara kita maju kerana usaha ini adalah peranan semua pihak dan bukan hanya terletak pada bahu kerajaan dan persatuan sahaja.

Dengan pendekatan ini, termasuk cadangan Kementerian Pelajaran untuk memajukan sukan ini, saya percaya akan berlaku "chain-reaction" kepada mutu bolasepak negara.

Pemain-pemain kebangsaan adalah mereka yang dipilih dari PBN. Oleh itu, jika pemain-pemain yang berkualiti dapat dihasilkan melalui pelaburan ini, nescaya pemain-pemain yang bakal terpilih memasuki pasukan kebangsaan adalah antara mereka yang bermutu tinggi.

Malah, liga tempatan akan lebih meriah dengan kemasukan pemain import yang lebih berkualiti berbanding yang ada sekarang.Pasti dengan langkah ini stadium-stadium negeri yang seringkali kosong pasti akan penuh dan meriah dengan sorakan penyokong menonton pasukan kegemaran mereka. Liga tempatan akan lebih kompetitif dan imej liga negara ini akan dapat dinaik tarafkan..

Sudah sampai masanya untuk kita naik ke satu tahap lagi dalam pembangunan bolasepak. Hasil menerusi pendekatan ini bukanlah boleh dilihat dalam masa yang singkat. Namun,langkah pertama perlulah diambil kerana ada ¡satu langkah kecil hari ini, merupakan satu langkah besar untuk masa depan.


Jika kita terus di takuk lama, dikhuatiri impian melihat pasukan kita melangkah dengan gagah ke Piala Dunia hanya tinggal mimpi semata-mata.

http://yoyooh.com/original-post/yo-ori-sukan/470-swastakan-bolasepak-malaysia.html


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails