Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Wednesday, August 25, 2010

Misi tebus maruah di Sukan Asia

Kenangan pahit skuad bola sepak empat tahun lalu di Sukan Asia Doha, masih sukar untuk dilupakan oleh kebanyakan pemain dan peminat bola sepak Malaysia.

Dalam aksi di Sukan Asia itu, skuad bawah 23 negara yang dibimbing oleh Norizan Bakar, tewas 1-3 kepada Oman dan China sebelum dimalukan 0-4 oleh Iraq dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Daripada senarai pemain, hanya tinggal Safiq Rahim, Khyril Muhymeen dan Norshahrul Idlan Talaha yang masih kekal dalam persiapan skuad Malaysia ke Sukan Asia 2010 Guangzhou pada November ini.

Berbeza dengan empat tahun lalu, pengalaman mereka bertiga bakal menjadi sandaran utama skuad kebangsaan kali ini, tambahan pula Safiq dan Khyril beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan tersebut.

Sehubungan itu, pada Sukan Asia di New Delhi pada Oktober ini, mereka berhasrat melakarkan sesuatu yang lebih bermakna, bagi menebus kembali maruah bola sepak negara di persada bola sepak Asia.

Bagi Safiq, yang juga merupakan pemain Selangor, dia melihat skuad negara kali ini akan hadir dengan pakej berbeza, daripada segi kekuatan dan keserasian pemain.

''Prestasi yang ada dalam skuad ini nampaknya semakin baik, jika hendak dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain, kekuatan kita sebenarnya tidak ketinggalan jauh.

''Empat tahun lalu, saya masih cetek pengalaman memandangkan baru berusia 19 tahun pada waktu itu. Kali ini, berdasarkan pengalaman yang ada, saya yakin dapat membantu skuad negara dan tidak lagi menerima aib seperti tahun 2006,'' katanya yang ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, baru-baru ini.

Sementara itu, bintang Kedah, Khyril, berkata, dia berharap skuad negara mampu memenangi perlawanan pertama di peringkat kumpulan bagi mencerahkan laluan ke peringkat seterusnya.

''Saya harap dapat membawa Malaysia mara ke peringkat suku akhir, itu sasaran peribadi saya.

''Kebanyakan pemain dalam skuad bimbingan K. Rajagobal sudah lama bersama dan diharapkan ia dapat membantu. Saya juga yakin pengalaman di Doha boleh membantu rakan-rakan yang lain,'' katanya.

Seorang lagi pemain, Norshahrul yang sudah berusia 24 tahun, mahu meneruskan rentak konsisten supaya namanya tidak tercicir dalam senarai perancangan Rajagobal, memandangkan kuota pemain berusia 23 tahun ke atas hanya dihadkan kepada tiga nama.

''Walaupun saya kerap dipanggil oleh jurulatih, namun itu bukan memberikan petanda bahawa saya akan dipilih dalam senarai ke Sukan Asia. Saya tetap akan cuba memperbaiki persembahan saya dari semasa ke semasa.

''Saya juga pernah beraksi dalam dua perlawanan di Sukan Asia, jadi ia mungkin boleh membantu Rajagobal dalam melakukan perancangan taktikal.

''Kami juga semakin tidak gentar untuk berhadapan dengan pasukan-pasukan dari Timur Tengah seperti Jordan, Syria, Arab Saudi dan Uzbezkistan, kerana kami pernah berhadapan dengan mereka sebelum ini,'' katanya.

UTUSAN

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails