Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, August 12, 2010

Malaysia No. 139 dunia



Skuad bola sepak negara naik ke ranking 139 dunia, melonjak tiga anak tangga berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk bulan Ogos, semalam.

Ia merupakan kedudukan terbaik buat Malaysia selepas kali terakhir berada pada kedudukan lebih baik iaitu di tangga ke-127 dunia pada Jun 2006, kira-kira empat tahun yang lalu.

Bulan lalu, ranking Malaysia di tangga ke-142, setelah naik empat anak tangga daripada kedudukan ke-146 pada bulan sebelumnya.

Peningkatan itu bermakna, skuad negara naik lapan anak tangga sepanjang dua bulan lalu di dalam ranking FIFA. Pada Disember tahun lalu, Malaysia sekadar berada di tangga ke-159 dunia.

Peningkatan ranking pada Ogos dibantu faktor perlawanan persahabatan antara skuad Bawah 23 Malaysia yang berdepan skuad bawah 21 Korea Selatan pada 25 Julai lalu.

Petanda positif itu turut dikongsi Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin yang menyifatkan ia khabar gembira buat bola sepak negara.

''Peningkatan sedikit demi sedikit ini telah kita tunjukkan sejak setahun yang lalu, semasa di bawah kendalian jurulatih, K. Rajagobal.

''Kini, tugas kita semua terutamanya Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ialah untuk mempertahankan kedudukan ranking ini dan kalau boleh terus mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa,'' katanya

Kedudukan ke-139 itu juga adalah yang terbaik sepanjang 2010 selepas Malaysia menduduki tangga ke-159 pada Januari, ke-146 pada Februari, ke-147 pada Mac dan April, ke-146 pada Mei, ke-142 pada Jun dan Julai lalu.

Hamidin optimis skuad negara mampu melonjak ke tangga lebih baik, jika mempamer prestasi terbaik pada kejohanan AFF Piala Suzuki 2010.

''Dengan skuad Bawah 23 yang ada sekarang dan pemain Harimau Muda, saya yakin Malaysia mampu melonjak ke peringkat baru dalam persaingan bola sepak antarabangsa.

''Mungkin dalam masa satu tahun atau pada penghujung tahun ini, skuad negara boleh berada di kalangan 100 negara terbaik di dunia.

''Namun apa yang penting, pemain perlu terus konsisten dalam setiap perlawanan, tidak kira pada peringkat kejohanan atau perlawanan persahabatan, '' katanya.

Di peringkat Asia, Malaysia kini menduduki tangga ke-25 tetapi di kalangan negara-negara Asia Tenggara pula, Malaysia masih berada di ranking kelima di belakang Thailand (ke-104 dunia), Singapura (ke-120 dunia), Vietnam (ke-127 dunia) dan Indonesia (ke-135 dunia).

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails