Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Tuesday, August 17, 2010

KBS wujud tiga jawatan bagi program pembangunan bola sepak


KUALA LUMPUR, (Bernama) - Tiga jawatan utama akan diwujudkan di bawah Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Negara sebagai langkah untuk memantapkan perancangan pembangunan jangka panjang sukan berkenaan.

Ketiga-tiga jawatan tersebut adalah Ketua Pengarah Teknikal, jurulatih di peringkat akar umbi dan ketua jurulatih peringkat kebangsaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata pewujudan ketiga-tiga jawatan utama itu dilihat mampu menaik taraf program pembangunan
bola sepak negara khususnya di peringkat belia.

"Setiap jawatan tersebut mempunyai matlamatnya tersendiri, dan bagi jurulatih di peringkat akar umbi, ia terdiri daripada seorang jurulatih pada setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Negara kedua di Majlis Sukan Negara (MSN) di
sini hari ini.

Pewujudan ketiga-tiga jawatan dipersetujui sebulat suara oleh anggota jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Razali berkata pada masa ini terdapat sebanyak 52 pusat latihan bola sepak di 30 daerah di seluruh negara, termasuk dua sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan
Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar.

"Selain itu, kita ada enam pusat khusus untuk pembangunan bola sepak," katanya.

Beliau berkata peranan tiga jawatan tersebut diharap dapat diperluaskan kesemua pusat latihan tersebut untuk membangunkan sukan bola sepak negara ke
tahap maksimum.

Bagaimanapun, katanya calon-calon bagi bagi jurulatih di setiap negeri hanya akan diputuskan selepas mempertimbangkan kelayakan mereka mengikut terma dan
syarat tertentu.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga setengah jam itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong, Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong dan Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails