Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, July 24, 2010

Belum terlambat buat Malaysia


Dr. Ramlan Abdul Aziz


ERA 1970 hingga 1980 adalah zaman yang mana skuad bola sepak Malaysia cukup digeruni di Asia. Nama-nama besar seperti Datuk Soh Chin Aun, Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, James Wong dan Hassan Sani masih dikenali sehingga kini, merekalah antara barisan pemain negara yang berjuang untuk menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Selepas hampir 40 tahun kegemilangan itu berlalu, Malaysia kini berada pada ranking 142 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sebaliknya Korea Selatan yang pernah satu ketika menjadi ratahan kita, cukup mengujakan. Begitu juga Jepun.

Pun begitu, pada Sukan SEA Laos yang lalu, ada sedikit sinar pada wajah skuad kebangsaan apabila berjaya menggondol pingat emas, sekali gus meletakkan kembali harapan tinggi peminat untuk melihat barisan skuad Harimau Malaya di pentas lebih berprestij - Piala Dunia.

Persoalannya sekarang ialah bila? Jatuh bangun skuad kebangsaan dalam kancah Asia sudah cukup menakutkan sebelum ini.

Apa pun, pintu belum tertutup, masih ada banyak ruang yang boleh diperbaiki. Pokoknya ia mesti bermula daripada kancah Liga Malaysia (Liga M). Liga inilah yang sebenarnya mengukur kemampuan, kualiti dan kehebatan pemain yang kita miliki.

Justeru wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz yang satu ketika dahulu pernah menerajui Majlis Sukan Negara (MSN) dari sudut teknikal dan persediaan pemain sendiri.

Utusan: Bagaimana Datuk melihat perkembangan prestasi pemain bola sepak negara?

Dr. Ramlan: Pada pengamatan saya prestasi pemain bola sepak negara amat memberangsangkan dan pada tahun lepas kita dapat menyaksikan mutu prestasi pemain bola sepak kebangsaan berada pada tahap yang baik apabila berjaya membawa pulang pingat emas pada temasya Sukan SEA.

Ini juga adalah berkat usaha jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal yang memahami secara mendalam pemain-pemain kita ini.

Banyak pihak yang gemar membandingkan prestasi skuad negara dahulu ketika era 70an hingga 80an dengan yang ada kini.

Itu wajar dianggap sebagai cabaran oleh setiap pemain dan jurulatih kerana untuk memberi prestasi yang baik pemain perlu ada daya usaha yang tinggi dan mana mungkin kita boleh membawa pingat emas di Sukan SEA tahun lepas kalau tidak ada daya usaha yang amat tinggi.

Kalau kita lihat dalam kancah Liga Super, apa pandangan Datuk tentang keupayaan stamina pemain?

Dr. Ramlan: Ramai orang suka beranggapan bahawa tahap kecergasan pemain Liga Super tidak memberangsangkan dan ini bagi saya bukanlah isu yang perlu dibincangkan secara mendalam kerana tumpuan harus diberikan kepada kecergasan pemain kebangsaan yang akan mewakili negara.

Di peringkat Asia Tenggara tahap kecergasan pemain kita kini memang baik.

Sebagai contoh pada perlawanan Sukan SEA tahun lepas ketika menentang Thailand, pasukan kita dapat menjaringkan gol pada minit-minit akhir sebelum tamat perlawanan dan itu membuktikan kecergasan pemain kita berada pada tahap yang baik kerana pasukan lawan juga amat terkenal dengan kecergasan yang begitu tinggi.

Cuma yang perlu kita beri tumpuan ialah supaya jurang antara pemain yang kurang cergas dengan yang sepenuhnya cergas tidak terlalu jauh.

sumber: utusan.com.my

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails