Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, April 17, 2010

Tiket ke Piala Dunia 2010 di Resorts World Genting


Pelancaran Football Fever - Game On @ Genting 2010 baru-baru ini.


TIDAK berpeluang ke Afrika Selatan untuk menyaksikan Piala Dunia 2010? Resorts World Genting mungkin tempat terbaik untuk dikunjungi sepanjang temasya bola sepak paling berprestij itu.

Sempena perlawanan empat tahun sekali itu, Resorts World Genting menawarkan hadiah bernilai lebih RM1 juta kepada peminat-peminat bola sepak di negara ini melalui Football Fever - Game On @ Genting 2010.

Timbalan Presiden Eksekutif Genting Malaysia, Kevin Sim berkata, festival yang berlangsung dari 16 April hingga 19 Jun itu menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi peminat bola sepak pada setiap hari.

"Kita bukan sahaja menjanjikan pelbagai hadiah malah seluruh resort juga akan turut serta memeriahkan demam Piala Dunia 2010," katanya pada pelancaran Football Fever - Game On @ Genting 2010 pertengahan bulan lalu.

Antara hadiah yang ditawarkan kepada pelanggan yang memiliki keahlian Genting WorldCard itu adalah penginapan, tiket taman tema, baucer makanan dan pelbagai bentuk cenderahati edisi terhad Piala Dunia 2010.

Semua hadiah itu hanyalah habuan sampingan bagi pelanggan di Kota Keriangan itu kerana hadiah utama yang menanti mereka adalah jauh lebih hebat.

Hadiah utama adalah dua buah kereta Kia Forte yang bakal dimiliki sepanjang acara itu dan yang pasti menjadi rebutan adalah tiket perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan beserta duit poket berjumlah RM10,000 untuk pemenang paling bertuah.

Namun segala kemeriahan tidak berakhir di situ kerana sebaik sahaja 'bola pertama' ditendang pada 11 Jun, Dewan Antarabangsa Genting (GISR) yang menjadi pentas 64 perlawanan akan dimeriahkan dengan penampilan lagenda pemain Liverpool, Ian Rush sebagai pengulas perlawanan.

Malah di dewan yang berkapasiti ribuan penonton itu, Piala Dunia bukanlah satu-satunya persembahan kerana penonton juga akan dihiburkan dengan pertunjukan pentas dan permainan yang menghidupkan lagi pengalaman Piala Dunia anda.

Apa lagi yang menarik untuk dialami sepanjang festival bola sepak itu? Bermula daripada perlawanan penentuan tempat keempat hinggalah perlawanan akhir, Resorts World Genting akan menambah kapasiti tayangan kepada 4,000 tempat duduk di Arena Af Stars (AOS).

Dengan paparan skrin gergasi, penonton dapat menyaksikan kemeriahan aksi pasukan-pasukan terhebat. Pengalaman seperti di stadium.

Namun kemeriahan Piala Dunia bukan hanya dirasai di GISR dan AOS kerana lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan di resort itu juga akan dipasang skrin plasma bersaiz besar untuk tontonan semua.

Selain itu, perlawanan bertemakan bola sepak juga menanti pelawat dan seisi keluarga. Kunjungi Football World yang terletak di Plaza First World antara 11 Jun hingga 10 Julai untuk mencuba permainan seperti Football Bungee Run, Target Football, Power Save dan Radar Speed Cage.

Bagi yang ingin mempamerkan kebolehan, jangan lepaskan peluang untuk berpasukan dengan Ian Rush di dalam perlawanan istimewa.

Maklumat lanjut mengenai keriangan sepanjang festival bola sepak dan peluang memenangi pelbagai hadiah itu boleh diperolehi dari laman web www.rwgenting.com.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails