Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Friday, April 23, 2010

Binh Duong 4 Selangor 0

SELANGOR gagal melangkah ke pusingan kalah mati Piala AFC 2010 setelah mereka tewas 0-4 kepada Binh Duong FC pada aksi kelima Kumpulan F di Ho Chi Minh, Vietnam malam tadi.

Biarpun masih berbaki satu perlawanan, Selangor yang kini di tangga ketiga dengan empat mata sudah tidak mampu memintas Sriwijaya FC dan Binh Duong FC yang telah pun mengumpul 10 mata.

Turun tanpa Amri Yahyah dan penjaga gol utama, Hamsani Ahmad yang cedera serta dua tonggak pertahanan, Khairul Anuar Baharum dan Nasriq Baharom yang digantung perlawanan, Selangor diasak sepanjang babak awal permainan.

Binh Duong FC memperolehi deretan peluang keemasan namun buntu untuk menembusi gawang Selangor sama ada percubaan mereka sedikit tersasar atau pun diselamatkan penjaga gol, Iqbal Suhaimi yang beraksi cemerlang.

Selangor pula yang agak sukar menembusi kubu Binh Duong mendapat satu peluang terbaik tetapi Safee Sali ketika situasi satu lawan satu dengan Nguyen The Anh pada minit ke-26 memilih untuk merembat tepat ke arah penjaga gol tuan rumah itu.

Gawang Selangor sebaliknya bocor juga pada minit ke-28 setelah penyerang Binh Duong FC, Kesley Huynh Alves memanfaatkan kelalaian pertahanan Selangor, Bunyamin Umar untuk gol pertama pasukan tuan rumah.

Biarpun Binh Duong terus mengasak selepas itu, kedudukan 1-0 kekal sehingga waktu rehat.

Babak kedua bermula, Selangor dilihat terus gagal menyaingi kehebatan pasukan tuan rumah yang membariskan tiga pemain import serta Kesley yang telah diberi kerakyatan Vietnam.

Kesley yang berasal dari Brazil menghadiahkan gol kedua Binh Duong FC pada minit ke-62 setelah melakukan gerakan solo yang melepasi kawalan beberapa pemain pertahanan Selangor sebelum dia melepaskan satu rembatan cantik menewaskan Iqbal.

Ketika Selangor cuba bangkit daripada ketinggalan dua gol, Binh Duong berjaya menambah gol ketiga menerusi sepakan percuma Nguyen Vu Phong dari sebelah kiri pada minit ke-68.

Ketinggalan tiga gol, jurulatih Selangor, K. Devan terpaksa membawa masuk tiga tenaga baru.

Asraruddin Putra Omar menggantikan Bunyamin Umar pada minit ke-70 diikuti Fitri Shazwan Raduwan menggantikan Razman Roslan seminit kemudian serta Azrine Efendy Saduddin menggantikan Rudie Ramli pada minit ke-75.

Namun Binh Duong pula berjaya menambah satu lagi gol setelah Amirulhadi Zainal menjatuhkan Vu Phong di dalam kotak penalti.

Kesley menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 itu untuk gol keempat Binh Duong serta melengkapkan hatriknya.

Skuad Selangor akan pulang ke Kuala Lumpur pada lewat petang ini dan dijadual bertemu T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini.

Pada Rabu, Selangor akan menanti kunjungan Sriwijaya FC pada aksi terakhir Kumpulan F bagi saingan Piala AFC 2010 di Stadium Shah Alam.

BINH DUONG: 1.Nguyen The Anh, 2.Nguyen Hoang Vuong (25.Nguyen Vu An), 4.Tran Chi Cong (17.Truong Van Hai), 5.Nguyen Minh Chuyen, 6.Nguyen Vu Phong, 7.Kesley Huynh Alves, 8.Tran Truong Giang, 9.Elenildo De Jesus (26.Nguyen Duc Thien), 10.Kubheka Philani Bhekizizwe Lancelot, 15.Egbo Osita, 20.Huynh Quang Thanh (c).

Simpanan tidak digunakan: 13.Dang Dinh Duc, 11.Nguyen Anh Duc, 14.Nguyen Huu Thang, 24.Chau Phong Hoa.

SELANGOR: 22.Iqbal Suhaimi, 3.Razman Roslan (24.Fitri Shazwan Raduwan), 11.Zaiza Zainal Abidin, 12.Bunyamin Umar (4.Asraruddin Putra Omar), 15.P.Gunalan, 19.D.Surendran (c), 8.Safiq Rahim, 14.Hardi Jaafar, 20.Amirulhadi Zainal, 9.Rudie Ramli (16.Azrine Efendy Saduddin), 10.Safee Sali.

Simpanan tidak digunakan: 1.Fairul Azwan Sharullail, 18.Liew Kit Kong, 23.R.Surendren, 25.Fazilidin Khalid.

PENGADIL: Muhammad Mousa Khalaf Abu Loum (Jordan)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails