Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, March 25, 2010

Victory SC 2 Selangor 1

Wakil Maldives, Victory SC menewaskan Selangor 2-1 dalam aksi Kumpulan F Piala AFC di Stadium Nasional, Male. Tambah malang, Selangor terpaksa menamatkan perlawanan dengan 8 pemain setelah Nasriq Baharom, Amirulhadi Zainal dan Khairul Anuar Baharom masing-masing dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Selangor bermula garang apabila seawal minit ke-2 lagi penjaga gol tuan rumah Mohamed Faisal dikerah menghalang percubaan Safee Sali.

Beberapa percubaan lagi menyusul tatkala pasukan pelawat kelihatan bersemangat untuk memadamkan kenangan pahit ditewaskan Sriwijaya 6-1 dalam perlawanan terdahulu.

Namun dalam ghairah menyerang, Victory yang membuka jaringan menerusi Mukhtar Nasser pada minit ke-14 setelah menyambar bola muntah hasil percubaan sebelumnya oleh Ibrahim Fazeel.

Hardi Jaafar berpeluang menyamakan kedudukan buat Selangor pada minit ke-30 namun sepakannya melepasi palang seterusnya membolehkan tuan rumah kekal mendahului 1-0 ketika aksi babak pertama ditamatkan.

Aksi separuh masa kedua baru berusia seminit apabila Amirulhadi yang menerima hantaran Hardi menolak masuk gol penyamaan Selangor.

Namun dua minit kemudian malang menimpa apabila Nasriq dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan setelah beliau mengasari Ibrahim.

Walaupun bermain dengan 10 pemain, Selangor dilihat lebih menguasai perlawanan namun percubaan berturut-turut dari Safee pada minit ke-53 dan 54 tidak berhasil menggegar jaring lawan.

Kegagalan Selangor menyudahkan peluang yang diperolehi akhirnya dihukum Victory pada minit ke-78 apabila Hussain Niyaz menjadikan kedudukan 2-1 apabula menyudahkan hantaran Ibrahim yang ternyata menjadi duri dalam daging bagi skuad pelawat sepanjang perlawanan.

Sisa harapan Selangor untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata punah apabila Amirulhadi dan Khairul Anuar masing-masing turut diarahkan keluar padang oleh pengadil hasil kekasaran yang dilakukan dalam 10 minit terakhir.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails