Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, March 11, 2010

Selangor terpaksa harungi jadual padat

SELANGOR berada di landasan terbaik untuk mengulangi kejayaan menjulang Piala FA musim lalu setelah mudah membelasah Pos Malaysia 5-1 pada aksi suku akhir pertama malam kelmarin.

Namun jadual padat menjadi cabaran utama Selangor kerana jika layak ke final Piala FA 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 April depan, ia bermakna mereka perlu beraksi 14 perlawanan tanpa henti sepanjang tempoh tujuh minggu sejak 16 Februari lalu.

Ini disebabkan situasi semasa Selangor yang terpaksa bermain tiga kejohanan berbeza dalam masa serentak iaitu Liga Super, Piala FA dan sebagai wakil tunggal Malaysia dalam Piala AFC 2010.

Pengurus merangkap jurulatih Selangor, K. Devan berkata, apa yang ditekankan ketika ini adalah bagaimana untuk memastikan pemain mereka kekal cergas dan segar bagi menghadapi setiap perlawanan.

"Lihat para pemain saya, mereka terus masuk ke kolam ais sebaik perlawanan tamat. Itu salah satu tindakan kita bagi memastikan mereka dapat memulihkan keletihan dengan segera.

"Esok (hari ini) kami akan bertolak ke Kota Bharu untuk bertemu Kelantan pada Jumaat (esok) dan Ahad pula kami akan bertolak ke Palembang untuk bertemu Sriwijaya FC pada Selasa.

"Mujur kami berjaya mencatat kemenangan besar pada malam ini (kelmarin) dan ia membolehkan saya merehatkan beberapa pemain utama pada suku akhir kedua di Shah Alam (20 Mac)," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi di Stadium Selayang itu, lima gol Selangor dijaringkan oleh Amri Yahyah (2), Rudie Ramli (2) dan Safee Sali manakala gol tunggal Pos Malaysia dijaringkan Khairul Zal Azmi.

Bakal menunggu Selangor di separuh akhir ialah sama ada KL Plus atau Negeri Sembilan dengan kelab bimbingan Mat Zan Mat Aris itu mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas skuad kendalian Wan Jamak Hassan pada aksi pertama di Kelana Jaya malam kelmarin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails