Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Monday, March 1, 2010

Kelab Jepun ganti Togo

Sudahlah bukan negara yang setaraf Togo, kini skuad kebangsaan mungkin hanya terpaksa berdepan sebuah kelab Jepun yang beraksi dalam Liga Singapura, Albirex Niigata, sebagai pengisi jadual perlawanan persahabatan antarabangsa keduanya, Rabu ini.

Terlalu sukar buat anak buah K. Rajagobal yang menundukkan Yemen 1-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, mendapatkan pasukan negara lain khususnya di Asia yang masih berjuang dalam Kelayakan Piala Asia 2011, pada hari yang sama.

Memandangkan skuad negara sudah menamatkan kempen Kelayakan Piala Asia 2011, kerana cuma tiga pasukan berentap dan kalah kesemua perlawanan Kumpulan C, yang tinggal mungkin negara yang di ranking dunia lebih rendah untuk diajak bermain persahabatan.

Untuk terus memperbaiki ranking ke-159 sekarang, Malaysia perlu kerap menentang pasukan yang lebih tinggi, tetapi sebarang keputusan perlawanan menentang kelab, tidak akan dikira langsung sebagai pungutan mata oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad bagaimanapun berkata, "Kami sudah mengatur jadual perlawanan dengan sebuah kelab Jepun yang bermain dalam Liga Singapura (Rabu ini), tetapi jawapan mereka bakal diketahui esok (hari ini)."

Pada Selasa lalu, FAM membatalkan jadual perlawanan dengan Togo, pasukan Piala Dunia Jerman 2010, atas alasan badan induk negara Afrika itu gagal memberikan jaminan untuk menghantar pasukan utama kebangsaannya ke Bukit Jalil, Rabu ini.

FAM juga mengambil keputusan drastik itu lantaran tidak mahu tertipu lagi seperti yang pernah dilakukan oleh Zimbabwe, yang hanya membawa sebuah pasukan kelab, Monopotama United, bagi mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan Malaysia, tahun lalu.

Sementara itu, satu proses pembelajaran berguna dan keputusan baik dicapai kelmarin, namun malang turut menimpa skuad negara apabila penyerang utamanya, Zaquan Adha Radzak tercedera kepala setelah bertembung dengan seorang pemain Yemen.

"Agak malang bagi Zaquan kerana mengalami luka sedikit di kepala," kata jurulatih negara, K. Rajagobal selepas menyaksikan kemenangan anak buahnya yang dibarisi majoriti tonggak juara Sukan SEA Laos ke atas Yemen, menerusi sepakan percuma oleh sayap kanan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-54.

Rajagobal turut kagum dengan kemampuan penyerang Negeri Sembilan itu, yang hampir membocori gol Yemen, jika rembatannya tidak terkena tiang pada masa kecederaan babak pertama permainan di padang basah akibat dilanda hujan itu.

"Kita memiliki satu lagi peluang keemasan yang sepatutnya menghasilkan gol termasuk menerusi Ashari Samsudin (pada minit ke-12 yang terkena palang Yemen) hasil corak agresif dan pantas yang saya terapkan kepada pemain.

"Namun, perlu diingat kita masih di peringkat proses pemilihan (menjelang ke Sukan Asia Guangzhou, November ini) dan ramai pemain telah belajar sesuatu daripada menentang Yemen - sebuah pasukan di ranking lebih baik daripada kita," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails