Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Sunday, February 28, 2010

Malaysia lebar rekod di gelanggang sendiri


PEMAIN Malaysia, Baddrol Bakhtiar (depan) diasak pemain Yemen, Khaled Hasan Hussein Baleid pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. Malaysia menang 1-0.
ZAQUAN bersaing dengan pertahanan Yemen, Zaher Mohammed Farid Al-Fadhl pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


MALAYSIA meraih kemenangan pertama pada 2010 dengan menewaskan Yaman 1-0 dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi sebagai persiapan menghadapi dua misi utama, tahun ini.


Baddrol Bakhtiar yang lulus ujian kecergasan muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-55, menyerlahkan kepentingannya kepada skuad kebangsaan selepas aksi wiranya pada Sukan Sea Laos.

Skuad negara sebelum ini tewas 1-0 kepada Emiriyah Arab Bersatu pada kelayakan Piala Asia awal Januari dan kejayaan ke atas negara yang berada pada kedudukan ranking dunia lebih baik adalah suntikan bagi persiapan ke arah Sukan Asia (November) dan Piala AFF (Disember).


Daripada lapan pemain baru dipanggil pengendali, K Rajagobal hanya penyerang Terengganu, Mohd Ashaari Samsuddin diberi kepercayaan dalam kesebelasan utama apabila dia membuat penampilan pertama selepas dua tahun.

Jelas ia adalah keputusan tepat apabila Mohd Ashaari menyerlah dengan dua percubaan bahaya selepas benteng negara berjaya menyerap asakan awal Yaman.

Ashaari hampir membuka jaringan minit ke-11 apabila hantaran lintang Baddrol melepasi pertahanan Yaman dengan Ashaari menyelinap masuk sebelum melepaskan rembatan singgah ke palang.

Skuad negara yang rata-rata dibarisi pemain yang sama ketika meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos, bermula garang sebaik wisel permulaan dibunyikan.

Bagaimanapun, tandukan Ahmad Fakri Saarani sedikit melepasi palang gol seawal minit kelapan.

Tersentak dengan serangan bertali arus skuad negara, Yemen kembali memperkemaskan jentera sera- ngan mereka.

Ia bermula dengan percubaan berbahaya Zaher Mohammed dari luar kotak penalti, namun ia sedikit tersasar.

Penjaga gol skuad negara, Mohd. Sharbinee Alwee bertindak cemerlang apabila berjaya menggagalkan percubaan Mohammed Abdullah M. Al-Abidi pada minit ke-37.

Sebelum tamat babak pertama, skuad negara memperoleh peluang terbaik menerusi Mohd. Zaquan Adha Abdul Razak.

Namun, percubaan penyerang utama negara itu terkena palang walau- pun penjaga gol Yemen, Saoud Abdul- lah A. Al-Sowadi telah tertewas.

Selain itu, barisan depan Malaysia turut terlepas beberapa peluang menerusi Baddrol pada minit kelima, Ahmad Fakri Saarani (minit lapan) dan satu sepakan sudut pada minit ke-24 yang mudah disambut Saoud.

Yemen tidak ketinggalan menguji pintu gawang Malaysia yang dikawal Sharbinee Allawee Ramli menerusi Khaled Hasan Hussein Baleid dan Mohammed Abdullah Al-Abidi masing-masing pada minit keenam dan ke-37.

Kem negara melonjak girang pada minit ke-54 apabila sayap kanan Kedah, Baddrol merembat masuk sepakan percuma selepas terkena palang sedikit untuk membawa Malaysia mendahului 1-0.

Tiga minit kemudian, Ahmad Fakri pula nyaris menambah gol tetapi sempat dibaca oleh Saoud, begitu juga percubaan kaki kiri, Bunyamin Omar pada minit 63.

Pada minit ke-67 pemain Yemen, Ala Mohamed Al-Sasi cuba mencedok untuk menguji penjaga gol gantian negara, Farizal Marlias tetapi tinggi melewati palang gol.

Yemen dilihat cuba menukar strategi permainan dengan melakukan beberapa pertukaran pemain dalam usaha mereka memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, kekentalan benteng pertahanan negara berjaya mematahkan gerakan-gerakan berbahaya yang dilancarkan Yemen sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut, yang merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat skuad negara selepas menewaskan Syria 4-1 hujung tahun lalu, sekali gus melebarkan rekod pertemuan dengan Yemen yang kini menyebelahi kita sejak 1984.

Ia juga bakal memperbaiki ranking skuad bimbingan K. Rajagobal yang kini berada pada kedudukan ke-159 dunia.

Yemen pula menghuni ranking 105 dunia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails