Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, March 6, 2010

Hendak jadi juara perlu menang

ANDAI Selangor mahu menjulang trofi Liga Super buat kali kedua berturut-turut, mereka wajib mengutip tiga mata penuh setiap kali turun beraksi di gelanggang sendiri.

Demikian pesanan pengurus merangkap ketua jurulatih Selangor, K. Devan yang mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak mempersia-siakan kelebihan tempat sendiri sepanjang baki saingan musim ini.

Setakat ini, Selangor memang garang setiap kali beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam apabila menang besar dalam tiga perlawanan yang dilalui iaitu menewaskan Kuala Lumpur 4-1, Pahang 4-0 dan Johor 6-0.

Malam ini, Selangor bakal berdepan Kedah di Stadium Shah Alam dan Devan berasakan jika pemainnya tampil dengan aksi sebenar, tiada masalah untuk mereka mencatat kemenangan ke atas skuad bimbingan Ahmad Yusoff itu.

"Bukan saya terlalu yakin Selangor boleh menang dengan Kedah tetapi jika kita dapat mengekalkan prestasi sebenar dan pemain beraksi untuk menang, tiada sebab untuk gagal.

"Saya tetap hormati Kedah kerana mereka kini berada di tangga ketiga liga dan berjaya menyingkirkan Kelantan dalam Piala FA. Bagi saya pertemuan Selangor dan Kedah sentiasa menarik," kata Devan.

Selangor bakal menerima semula empat pemain, Safiq Rahim, Nasriq Baharom, Asraruddin Putra Omar dan Bunyamin Umar yang membantu skuad kebangsaan seri tanpa jaringan dengan Albirex Niigata pada aksi persahabatan di Singapura, Rabu lalu.

"Kita akan dapat menurunkan kesebelasan terbaik selepas empat pemain ini kembali dan selain itu saya telah merehatkan beberapa pemain ketika menewaskan Pulau Pinang 1-0 Sabtu lalu.

"Apa yang saya harapkan, tiada lagi masalah pemain keletihan dan mereka akan turun dengan seratus peratus pada aksi Sabtu ini (malam ini).

"Untuk menjadi juara Liga Super, kita tidak boleh kehilangan sebarang mata setiap kali beraksi di tempat sendiri," jelas Devan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails