Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, February 25, 2010

Liverpool, United, City pula jadi sasaran FAM

SELEPAS Everton, kini beberapa tempat baru - Liverpool, Manchester United atau Manchester City - turut tersenarai sebagai pilihan memenuhi hasrat kerajaan yang ingin melihat pembangunan bola sepak bermula daripada peringkat akar umbi.

Untuk tujuan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim akan membuat lawatan susulan pada 6 sehingga 12 Mac ini bagi merealisasikan hasrat itu.

“Saya berbincang dengan Datuk Azzuddin Ahmad (Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia) berhubung program pembangunan yang boleh dipertimbangkan pihak kementerian.

“Beberapa perangkaan perlu disediakan pihak FAM dan pada masa sama kita perlu mencari rumusan terbaik memastikan peruntukan dana 10 juta kerajaan digunakan dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, KBS tidak mahu bersikap terburu-buru dalam memilih kelab mana yang bakal dijadikan pangkalan pemain muda negara mengasah bakat meskipun menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, Januari lalu, sudah membuat tinjauan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Everton.


Ketika kertas kerja berhubung program pembangunan bola sepak bersama Everton sedang diperhalusi, KBS mengatur langkah untuk mencari pilihan yang lebih baik apabila kali ini mereka mengintai peluang bekerjasama dengan kelab gergasi iaitu Manchester United, Liverpool dan Manchester City.


Rancangan itu akan cuba direalisasikan menerusi lawatan susulan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim selama seminggu bermula Ahad ini.


“Saya akan berada di sana (England) untuk tengok pembangunan bola sepak di Liverpool, Manchester United atau Manchester City serta Everton sekali lagi. Saya meminta kerjasama FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) bagi memberi maklumat dalam mengatur pro- gram saya di sana nanti. “Dana pembangunan bola sepak sudah ada, jadi kita kena segerakan program yang mahu kita laksanakan, jadi dalam rangka lawatan ini saya boleh meneroka lebih peluang dengan kelab lain bukan hanya Everton saja. Kita tidak akan hantar skuad yang sedia ada ke sana, sebaliknya kita nak bawa pemain umur lebih muda bagi program jangka masa panjang,” kata Razali yang ditemui selepas membuat pertemuan dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad di Putrajaya, semalam.


Sebelum ini, KBS bercadang untuk menempatkan K Rajagobal (gambar), jurulatih skuad negara yang menjuarai pingat emas bola sepak Sukan Sea di Laos, Disember lalu, bagi mendapat pendedahan di luar negara bagi memantapkan skuad itu.

Bagaimanapun, rancangan itu dikritik segelintir pihak yang mahu bantuan kewangan yang disalurkan kerajaan itu digunakan bagi tujuan pembangunan peringkat akar umbi.


Razali berkata pihaknya mencari pakej menarik menerusi kerjasama itu bagi memastikan rancangan itu mencapai matlamatnya.


“Kita mahu mengatur program melahirkan pemain skuad kebangsaan, jadi kita kena kenal pasti pemain yang benar-benar berbakat. Cuba bayangkan kalau kita dapat peluang hantar pemain muda ke Manchester United atau Everton, ini pasti akan merangsang minat ramai pemain muda di seluruh negara,” jelasnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails