Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, February 20, 2010

Bintang bola masa sepan

JARUM jam baru menunjukkan pukul 11.30 pagi, namun bahang kepanasan mula terasa sebaik sahaja menjejakkan kaki di atas padang bola Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor.

Di satu sudut, kelihatan sekumpulan pelajar giat melakukan latihan tanpa mengendahkan sinaran matahari yang semakin perit hingga menyebabkan peluh membasahi tubuh mereka.

Salah seorang daripada kumpulan pelajar itu, begitu tekun mendengar taklimat yang diberikan oleh seorang jurulatih berhubung teknik-teknik asas dalam permainan bola sepak.

"Kamu kena pastikan kedudukan bola dan tubuh badan seiring sebelum melakukan rembatan ke pintu gol," kata jurulatih itu.

Pelajar berkenaan, Mohd. Aiman Md. Yusof, 17, menganggukkan kepala tanda faham apa yang perlu dilakukannya.

Sambil menunggu giliran, matanya liar memerhatikan rakan-rakannya yang sedang bertungkus-lumus melakukan sepakan dalam latihan itu.

Beliau mula mengatur langkah, bola yang dileretkan di hadapannya segera disambut dengan satu sepakan kencang tepat ke pintu gol.

"Masih boleh diperbaiki lagi, sepatutnya kamu kena mendepakan sedikit tangan untuk mendapatkan keseimbangan badan semasa melakukan rembatan," ujar jurulatih itu.

Bagi pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Raja Muda Abdullah Kuala Lumpur itu, pemilihannya sebagai salah seorang peserta di dalam program Nike Elite Training Live itu diibarat sebagai bulan jatuh ke riba.

Apa yang pastinya, ia bukan sekadar program latihan biasa yang pernah diikutinya sebelum ini, sebaliknya merupakan program latihan asas permainan bola sepak yang diinspirasikan daripada beberapa kelab terkemuka dunia seperti Barcelona, Jeventus dan juga juara Piala Dunia lima kali, Brazil.

Matlamatnya hanya satu, dia mahu mempergunakan segala ilmu yang pelajari untuk memperbaiki corak permainannya sebelum ini di samping meningkatkan keyakinan dalam setiap perlawanan yang bakal ditempuhi nanti.


PESERTA-PESERTA dilatih berhubung teknik mengawal bola dan sepakan tepat ke pintu gol.


Lebih membanggakan, tenaga pengajar yang melatih mereka pada pagi itu bukan sebarangan orang, sebaliknya berpengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan seperti Ketua Jurulatih bawah 16 tahun (B-16) kebangsaan, Aminuddin Hussin.

Program yang bermula sejak November tahun lalu itu menyasarkan kira-kira 600 peserta yang terdiri daripada golongan pelajar dan belia di sekitar Lembah Klang. Ia mempunyai tiga modul utama iaitu Master Contol,

Master Accuracy dan Master Speed dan dikendalikan secara interaktif menerusi tayangan video secara talian.

Bantuan jurulatih

Mula bermain bola sejak berusia sembilan tahun, anak kedua daripada dua beradik itu memberitahu, walaupun sesi latihan yang diadakan agak singkat namun ia sudah cukup memberi pendedahan dalam memperbaiki corak permainannya sebelum ini.

"Selama ini saya hanya melihat kelibat dan kemahiran para pemain pasukan berkenaan di kaca televisyen, kini saya berpeluang mempelajarinya sendiri dengan bantuan jurulatih yang berpengalaman," katanya yang meminati bintang Sepanyol yang kini bermain untuk pasukan Arsenal, Cesc Fabregas.

Pernah mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan sebelum ini, Mohd. Aiman berkata, modul latihan yang digunakan agak menarik kerana ia melibatkan program latihan yang digunakan oleh beberapa pasukan yang bertaraf dunia.

"Pada sesi lalu kami diajar teknik mengawal bola yang betul, kali ini menjurus kepada kaedah melakukan sepakan tepat ke pintu gol. Siri seterusnya ialah latihan kepantasan yang dijangka bermula pada April ini ," ujarnya bermain di posisi tengah dalam pasukan.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd. Muhyiddin Abd. Rahman, 15, berkata, terdapat empat jenis teknik yang perlu dikuasai oleh setiap peserta dalam modul Master Accuracy.

Katanya, setiap teknik dilakukan dalam situasi yang berbeza semasa permainan dan ia memerlukan latihan yang berterusan bagi untuk menguasainya.

"Sekali imbas, ia nampak mudah namun apabila sudah mencuba, baru saya tahu terdapat pelbagai aspek yang perlu ditekankan seperti penggunaan kaki, keseimbangan badan, kemahiran mengelecek dan sebagainya yang perlu dikuasai bagi melakukan sepakan yang jitu dan tepat.

"Tidak hairanlah, dengan teknik-teknik sedemikian ia berjaya mengangkat pasukan seperti Barcelona, Jeventus dan Brazil ke satu tahap yang tertinggi di pentas Eropah dan dunia," katanya yang mewakili sekolah di peringkat usia bawah 15 tahun.

Kata Mohd. Muhyiddin, setiap latihan yang diajar bukan dalam bentuk teori semata-mata, sebaliknya mereka berpeluang mempraktikannya dengan kehadiran jurulatih profesional.

"Setidak-tidaknya ia akan mengemaskan tahap permainan kami semua pada masa akan datang, walaupun terdapat beberapa latihan asas lain yang belum dipelajari, namun ia sudah memadai berdasarkan tahap kami ketika ini.

"Walaupun bermain di posisi pertahanan tetapi teknik-teknik yang diajar membolehkan saya melihat permainan ini dalam konteks seorang penyerang.

"Ia memberi saya peluang membaca gerakan yang bakal dilakukan dan menghalangnya sebelum sampai ke kawasan pintu gol," ujarnya yang pernah mendapat tempat keempat dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia ketika mewakili pasukan Kuala Lumpur tiga tahun lalu.

Mohd. Muhyiddin memberitahu, dia menyedari peluangnya untuk mewakili pasukan Malaysia masih lagi terlalu jauh, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dan memasang impian yang sama sekiranya diberi peluang pada masa hadapan.


PELAJAR tidak melepaskan peluang bergambar beramai-ramai selepas menjalani latihan.


"Pada usia yang masih muda, banyak yang perlu saya pelajari mengenai permainan ini, setidak-tidaknya saya bertuah kerana memperoleh peluang ini berbanding rakan-rakan lain di luar sana," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program, Windsor John Paul berkata, program yang julung-julung kali diperkenalkan di negara itu merupakan kerjasama di antara Nike dan FAM dalam usaha membangunkan mutu bola sepak tempatan dalam kalangan generasi muda hari ini.

Beliau memberitahu, kebanyakan peserta yang terlibat berpengalaman mewakili sekolah masing-masing namun tidak berpeluang menonjolkan bakat ke peringkat yang lebih tinggi.

Kemahiran asas

"Berbeza dengan pelatih-pelatih lain yang menyertai program pembangunan bola sepak yang dikendalikan FAM atau di bawah kendalian Sekolah Sukan Bukit Jalil, mereka menerima latihan sistematik dan dibentuk untuk mewakili negara satu hari nanti.

"Sebab itu, kita bawa mereka ke sini untuk berlatih di bawah kendalian mereka yang profesional dalam bidang ini. Tanpa kita sedari, mungkin ada antara mereka yang berbakat dan mampu diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dan mampu mewakili Malaysia satu hari nanti," katanya yang berpengalaman menjadi jurulatih pasukan Selangor sekitar 1990-an.

Ujarnya, melalui program selama lapan minggu itu, para peserta akan didedahkan dengan beberapa kemahiran asas permainan bola sepak melalui beberapa modul latihan yang diketengahkan.

"Setiap minggu kita akan jemput sekolah-sekolah yang berbeza di sekitar Lembah Klang untuk menyertainya di mana setiap sesi mengandungi 40 peserta dengan empat orang jurulatih. Jumlah peserta yang tidak terlalu ramai ini memudahkan mereka belajar dengan lebih berkesan," katanya.

Windsor berkata, setiap modul yang diajar adalah berbeza dan berasaskan corak latihan yang dilakukan pasukan Barcelona (Master Control), Juventus (Master Accuracy) dan Brazil (Master Speed)


PELAJAR diajar teknik menyepak bola ke gawang gol dengan betul.


"Apabila program ini tamat, mereka berupaya melakukan teknik asas permainan bola sepak yang digarap daripada tiga pasukan terkenal di dunia, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka dalam setiap pertandingan yang dihadapi kelak," jelasnya.

Beliau menjelaskan, pada akhir program berkenaan, pihaknya akan memilih seramai 40 peserta untuk menyertai kem sehari di FAM di mana mereka akan mendengar tip dan berlatih bersama-sama pemain-pemain kebangsaan.

"Ia bukan sahaja menyuntik motivasi mereka di dalam sukan ini, pada masa yang sama mereka juga dapat merasai pengalaman yang dilalui oleh para pemain kebangsaan ini satu ketika dahulu," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails