Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Friday, January 8, 2010

Skuad emas ke West Ham



Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bersedia menemui Datuk Seri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranum bagi membincang cadangan untuk menempatkan pemain skuad bawah 23 tahun negara di kelab yang bakal dibeli oleh tokoh korporat itu, West Ham.

Menurutnya, beliau bersedia pada bila-bila masa untuk berbincang dengan dua tokoh korporat itu selepas segala urusan pemilikan kelab Liga Perdana England itu selesai.

''Kita sedia untuk menjadikan West Ham sebagai salah satu kelab pendedahan kepada pemain skuad emas kita di England jika pengambilalihan kelab itu menjadi kenyataan.

''Namun, saya rasa tidak perlu tergesa-gesa untuk berjumpa dengan mereka berdua dalam masa terdekat ini. Tidak semestinya bila mereka umum hendak beli hari ini, esok saya boleh jumpa.

''Beri mereka masa dahulu, tetapi saya yakin lambat laun kita di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menjalinkan kerjasama dengan Fernandes dan Kamaruddin.

Bagaimanapun, Shabery berkata tidak semua pemain akan dihantar berlatih di West Ham, sebaliknya beliau masih tetap berpegang kepada idea asalnya, iaitu memecahkan 30 pemain skuad negara ke beberapa buah kelab lain.

''West Ham ini hanya satu pilihan dari kelab-kelab lain dan memang sudah ada beberapa kelab yang pemain kita akan hantar, tapi saya hanya akan umumkan bila sudah mendapat persetujuan daripada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

''Tidak semestinya di England sahaja, saya juga mungkin meninjau peluang ke kelab lain di Perancis,'' ujarnya.

Kelmarin, Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (AirAsia) dan Kamaruddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya dilapor berada di peringkat akhir untuk membeli West Ham United.

Pembelian kelab itu yang dibimbing oleh Gianfranco Zola itu akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Pemilikan oleh kedua-dua tokoh korporat itu merupakan pelaburan peribadi dan ia tidak melibatkan kepentingan syarikat AirAsia.

Shabery juga berkata, beliau memuji tindakan kedua-dua tokoh korporat itu yang disifatkan berani dan bijak kerana membeli sebuah kelab yang dianggap antara 10 kelab paling berjaya di England.

''Saya percaya ia akan menarik lagi perhatian rakyat terhadap sukan bola sepak di negara ini,'' jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad yang berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan tersebut.

''Bagus, saya rasa ia satu perkembangan cerah kepada pembangunan bola sepak negara jika kita dapat mengambil manfaatnya.

''Apa-apa pun kita bagi masa dahulu kepada mereka berdua menyelesaikan urusan dengan West Ham selepas itu baru kita rancang mengenai jalinan kerjasama terutamanya membabitkan skuad bawah 23 tahun kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails