Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Friday, January 15, 2010

Rajagobal belum dimaklum iringi pemain ke Eropah


Jurulatih skuad bawah 23 negara, K. Rajagobal mengakui beliau tidak tahu menahu berhubung cadangan untuk membawanya bersama pemain ke kelab terkemuka Eropah, bagi mengikuti kursus kejurulatihan sepanjang berada di sana.

Menurut Rajagobal, belum ada mana-mana pihak dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menemuinya untuk memperjelaskan mengenai rancangan tersebut.

''Saya tidak tahu apa-apa, bagaimana hendak saya memberikan komen mengenai perkara ini.

''Pokok pangkalnya tiada lagi 'hitam putih' terhadap idea untuk membawa saya bersama skuad negara ke Eropah.

''Pertamanya, saya mahu dengar dahulu penjelasan dari FAM untuk mengetahui perancangan sebenar mereka.

''Saya tidak mahu menyatakan pendapat mengenai sesuatu perkara yang tidak jelas,'' katanya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, berkata Rajagobal bakal menjalani kursus kejurulatihan di kelab-kelab Eropah sepanjang pemergian skuad emas itu ke luar negara.

Langkah itu diambil untuk memantapkan lagi ilmu kejurulatihan Rajagobal bagi meningkatkan mutu persembahan pasukan negara.

Pemergian Rajagobal dijangka akan turut diiringi beberapa jurulatih tempatan lain.

Kata Azzuddin lagi, FAM berhasrat melahirkan jurulatih tempatan berkelas dunia yang bukan sekadar tahu melatih pasukan, namun bijak membaca permainan serta penggunaan taktikal terkini dalam era bola sepak moden.

Pada 12 Januari lepas, Azzuddin memaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan FAM akan meninjau peluang untuk menempatkan pemain negara di beberapa kelab di United Kingdom (UK), dalam minggu ini.

Ahmad Shabery juga sebelum ini dikatakan telah bersedia menemui, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia (AirAsia), Datuk Seri Tony Fernandes dan timbalannya, Datuk Kamaruddin Meranum yang bercadang untuk membeli kelab Liga Perdana England, West Ham United.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails