Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Friday, January 22, 2010

Hajat Shabery tak kesampaian - Everton lebih berminat bekerjasama bagi program pembangunan akar umbi



PARA pemain skuad B-23 negara dianggap prospek terbaik untuk mengembalikan martabat bola sepak Malaysia pada peringkat antarabangsa.

HASRAT Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk 'menyimpan' barisan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara sebagai satu pasukan seakan-akan menemui noktah kegagalan.

Ini kerana, satu-satunya kelab yang sedia mengadakan rundingan iaitu Everton lebih berminat berkerjasama bagi program pembangunan akar umbi dan bukannya menempatkan pemain-pemain skuad B-23 ke kelab England itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad yang menemani Shabery ke United Kingdom selama seminggu berkata, mereka hanya dapat mengadakan rundingan dengan kelab Everton sahaja.

"Pada 15 Januari lalu, kami berkunjung ke kelab Everton dan melawat akademi remaja mereka yang merupakan antara terbaik di sana. Mereka tidak beli pemain tetapi tumpu kepada pembangunan pemain. Hasilnya seperti Wayne Rooney.

"Bagi pemain-pemain B-23 negara, mereka hanya boleh diberikan latihan saja oleh Everton, bukannya aksi kompetitif. Jadi menteri (Shabery) kata beliau akan teliti lagi perkara ini dengan kelab-kelab lain pula selepas ini.

"Buat masa ini, belum jelas lagi tentang perancangan skuad B-23 negara. FAM akui mereka terikat kontrak bersama pasukan negeri. Jadi skuad B-23 hanya akan teruskan program latihan pusat sebulan sekali," kata Azzuddin pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jelas Azzuddin, rentetan daripada kunjungan ke Everton itu, pihak KBS akan membentuk satu jawatankuasa khas yang dianggotai wakil dari KBS sendiri, Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pelajaran dan juga FAM bagi memperhalusi ranca- ngan program pembangunan akar umbi bersama kelab tersebut.

"Segala perancangan jawatankuasa ini saya letakkan kepada kebijaksanaan KBS dan mereka yang terlibat. Ini kerana wang tabung pembangunan bola sepak berjumlah RM10 juta itu pun adalah duit kerajaan," ujarnya.

Pada 31 Disember lalu dalam satu sidang media di Kuala Lipis, Pahang, Shabery menyarankan supaya pemain skuad B-23 negara tidak dilepaskan beraksi dengan pasukan negeri atau kelab untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) 2010.

Rentetan itu, pada 4 Januari lalu, Shabery merancang pula untuk menghantar pemain-pemain skuad B-23 negara menjalani latihan dengan beberapa kelab di luar negara, antaranya di England.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails