SELEPAS beraksi cemerlang mengawal benteng pertahanan negara pada saingan Sukan Sea ke-25 di Laos, Mohamad Muslim Ahmad masih belum mahu mendabik dada, sebaliknya sedar kedudukannya dalam kesebelasan utama K Rajagobal masih belum selamat.
Tonggak pertahanan tengah itu yang memainkan watak penting dalam membantu Malaysia muncul juara bola sepak di temasya dwitahunan itu berdepan cabaran untuk mengekalkan posisinya berikutan kehadiran pemain senior, Norhafiz Zamani Misbah yang sebelum ini sering menjadi pilihan Rajagobal untuk digandingkan bersama ketua pasukan bawah 23 tahun, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak.
Muslim, 20, berkata, dia tidak terlalu memikirkan peluangnya dalam skuad kebangsaan kerana apa yang penting adalah untuk terus berusaha bagi memastikan aksinya dapat memikat Rajagobal agar diberi peluang beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, sebelum ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi perlawanan kelayakan Piala Asia, 6 Januari depan.