Menyekat permainan pantas Vietnam menjadi misi utama ketua pasukan, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak untuk skuad kebangsaan membenam Vietnam apabila kedua- dua pasukan berentap pada acara bola sepak Sukan XXV Laos hari ini.
Aidil, yang menjadi tonggak pertahanan berkata, permainan pantas Vietnam digerakkan oleh ketua pasukan mereka, Phang Thanh Luang dan penyerang Phang Thanh Binh.
Lantaran itu, katanya, dia dan rakan-rakan di benteng pertahanan sudah mengatur strategi untuk mengikat kedua-dua pemain tersebut demi memastikan skuad kebangsaan meraih keputusan yang diharapkan.
"Pada keseluruhan, permainan kita dan Vietnam tidak banyak beza, cuma mereka lebih pantas.
"Saya telah mengenalpasti dua pemain mereka yang menjadi nadi penggerak corak kepantasan mereka.
"Untuk itu, kedua-dua tonggak pemain lawan yang mencetuskan pergerakan pantas di bahagian serangan, akan kami 'ikat' pada perlawanan esok, (hari ini)" katanya ketika ditemui semalam.
Aidil turut melaungkan keazaman untuk segera menyelesaikan tugasan bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir jika menang ke atas Vietnam.
"Jika kita menang, peluang kita untuk ke separuh akhir agak cerah. Saya tidak mahu memikirkan soal lain, selain daripada mencapai misi menghampiri separuh akhir dengan cara mendapatkan tiga mata penuh hari ini.
"Saya tidak mahu bergantung harapan untuk ke separuh akhir berdasarkan keputusan lain-lain pasukan," katanya.
Lebih dari itu, kata Aidil, dia mahu membalas dendam kerana Vietnam mengalahkan Malaysia 3-1 pada saingan peringkat kumpulan Sukan SEA 2007 di Korat.
"Pada perlawanan tersebut, saya hanya berada di tempat duduk kerana digantung.
"Kini saya berpeluang untuk menebus kekalahan dua tahun lalu yang menyebabkan kita gagal melepasi separuh akhir," ujarnya.
Mengenai kemenangan 11-0 ke atas Timor Leste pada perlawanan pembukaan acara bola sepak Sukan SEA, yang diperkecilkan oleh sesetengah pihak kerana bagi mereka ia bukan lawan sebenar Malaysia, Aidil tidak peduli dengan cakap-cakap negatif itu.
"Apa yang penting kami menang dan meraih tiga mata penuh, tak kisah berapa jaringannya dan siapa lawan kami.
"Kami berpegang pada prinsip menghormati semua lawan, tak kira Timor Leste atau Vietnam.
"Walaupun kemenangan kami diperkecilkan, kemenangan tempoh hari memberi semangat untuk kami meneruskan misi di Laos ini," katanya.