Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Friday, November 6, 2009

Piala Malaysia 2009 : Siapa juara ?



Fakta menarik tentang final Piala Malaysia 2009 :

* Bakal disaksikan oleh lebih 80 000 penonton di stadium nasional bukit jalil

* Halim Napi menjadi tumpuan ramai kerana insiden yang membabitkannya dengan pemain pertahanan skuad 'Hoben Jang Hoben', Aidil Zafuan ketika separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mohamed IV, 25 April lalu.

* Peminat dari Brunei dan Singapura turut turun padang menyaksikan perlawanan tersebut.

* Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil

* Penutup musim bola sepak Malaysia bagi tahun 2009


Kekuatan kedua-dua pasukan seimbang

Walaupun Kelantan bakal mendapat sokongan padu daripada peminat fanatik mereka dalam saingan akhir Piala Malaysia esok tetapi pakar bola sepak menganggap Negeri Sembilan juga mempunyai peluang.

Para jurulatih tempatan dalam Liga Malaysia yakin kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dalam saingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Bagi mereka, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan tersendiri dan ini diakui Jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim.

"Saya rasa kalau mana-mana pasukan menang pun mereka hanya akan mencatat kemenangan tipis mungkin 2-1 atau 1-0 tetapi saya berat kepada Negeri Sembilan kerana mereka mempunyai kekuatan yang sempurna di setiap posisi," katanya.

Sementara itu Jurulatih Pahang, Dollah Salleh menggangap kekuatan kedua-dua pasukan ialah 50-50 dengan Negeri Sembilan dilihat utuh dari setiap posisi manakala Kelantan akan bergantung kepada sokongan padu penyokong mereka.

Jurulatih KM Naza, Mohd. Nizam Adha Yusof pula memilih Kelantan akan muncul sebagai juara dengan jaringan 2-1, ia berdasarkan semangat juang dan kepakaran B. Sathianathan dalam merancang taktikal permainan.

Sementara itu, Jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris pula berkata: "Saya memilih Negeri Sembilan akan muncul juara dengan jaringan 2-1, mereka mempunyai kekuatan yang stabil di setiap posisi berbanding Kelantan yang hanya mengharapkan sokongan padu peminat mereka."

Bagi pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail, kedua-dua pasukan dianggapnya mempunyai peluang seimbang tetapi kelebihan milik Negeri Sembilan kerana mempunyai ramai bekas dan pemain kebangsaan.

Dalam pada itu, Jurulatih Selangor, K. Devan memilih Kelantan akan muncul sebagai juara berikutan mereka mempunyai pemain seperti Norfarhan Mohamad dan Indra Putra Mahayuddin yang mampu untuk menentukan perlawanan.

Mohd. Azraai Khor Abdullah, yang kini menjadi Jurulatih Harimau Muda juga meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan esok, kerana memiliki gandingan serangan yang mantap terutamanya Indra, Khalid Jamlus, Norfarhan dan juga Che Hishamuddin Hassan.

"Negeri Sembilan pula dilihat hanya mengharapkan kepada kemampuan Zaquan Adha Abd. Radzak," kata bekas jurulatih Kedah itu.

Jurulatih Johor FC, Ramlan Rashid pula memilih Negeri Sembilan kerana pasukan itu sentiasa konsisten sepanjang saingan peringkat kumpulan.

"Bagaimanapun kedua-dua pasukan berjaya mencapai tahap prestasi pada masa yang tepat," katanya yang meramalkan Negeri Sembilan menang 2-1.

Halim kena kawal emosi


Kawal emosi dan jangan buat silap. Itu pesanan khusus dari bekas penjaga gol Kelantan pada tahun 1970, Nik Sazali Nik Jaafar kepada Halim Napi ketika berhadapan dengan penyerang muda Negeri Sembilan.

Nik Sazali merupakan penjaga gol utama Kelantan ketika pasukan itu layak ke final untuk bertemu dengan Perak bagaimanapun mereka tewas 0-2 kira-kira 39 tahun lalu.

Justeru, beliau menyampaikan pesanan penting dari 'orang-orang lama' kepada pemain yang akan turun beraksi pada malam esok.

Pesanan berharga tersebut diberikan kerana beliau mahu pasukan yang ada pada hari ini menebus kesilapan lalu dan memastikan Piala Malaysia dibawa pulang ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini selepas 61 tahun.

''Pesanan saya, Halim kena cool, dia ada segala-galanya, ketinggian dan kemahiran sebagai seorang penjaga gol.

"Dia perlu lebih tenang dan jangan terikut-ikut rentak penyokong serat perlu lebih fokus untuk memastikan kejayaan pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Pemain Veteran anjuran Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di sini kelmarin.

Enam pemain yang hadir pada majlis tersebut selain Nik Sazali ialah, Mahadi Yusof, Nik Salleh Nik Man, Afendi Yusof, Hussein Idris dan Wan Hassan Wan Ibrahim.

Semua mereka akan dibawa ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia, Kelantan menentang Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Halim menjadi tumpuan ramai kerana insiden yang membabitkannya dengan pemain pertahanan skuad 'Hoben Jang Hoben', Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak ketika separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mohamed IV, 25 April lalu.

Perlawanan yang menyaksikan Negeri Sembilan menang 1-0 itu turut mencatatkan sejarah dalam sukan bola sepak negara ini apabila para penonton merusuh dan membakar kenderaan.

Sementara, Mahadi, 64, berkata, para pemain supaya bermain dengan semangat dan tidak melakukan kesalahan ketika perlawanan penting ini.

"Perlawanan akhir berbeza daripada perlawanan biasa, di sini ketahanan mental pemain amat penting.

"Jangan buat silap dan dapat peluang mesti jaringkan gol, ini ramuan kalau nak menang dan jangan terikut-ikut rentak penonton biar pun mereka memberikan sokongan yang padu kepada kita," katanya.

Menurutnya, pasukan Kelantan kini memiliki segala kelebihan terutama dari segi sokongan peminat yang yang pastikan akan bersama-sama membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kami pernah memiliki peluang untuk membawa pulang Piala Malaysia suatu ketika dulu namun, nasib tidak menyebelahi kami.

"Kali ini, harapan kami kembali mekar untuk melihat piala tersebut pulang ke Kota Bharu walaupun, tugasnya bukan lagi digalas di bahu kami," katanya.

Tambahnya, ini adalah peluang terbaik Kelantan dengan dibarisi adunan bintang-bintang berpengalaman dan pemain muda yang semakin meningkat naik.

Raja bola ramalkan saingan sengit


Tidak ketinggalan Datuk Abdul Ghani Minhat yang turut dikenali sebagai Raja Bola dan menganggap pasukan yang menjaringkan gol awal mempunyai peluang untuk juara.

Menurutnya, dalam saingan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, dia tidak berpihak kepada mana-mana pasukan.

"Saya tidak nampak pasukan mana yang akan muncul juara kerana kekuatan mereka seimbang, apa yang dapat saya rasakan ialah siapa yang menjaringkan gol awal dan menambah gol kedua mempunyai peluang cerah untuk juara," katanya selepas Majlis Pelancaran Koperasi Atlet Malaysia Berhad (KAMB) semalam.

Bagaimanapun, Abdul Ghani merasakan kedua-dua pasukan yang ketinggalan dengan jaringan 2-0 mampu bangkit untuk memberi tentangan.

"Jadi jika siapa yang hendak muncul juara, pasukan itu perlu sentiasa menjaringkan gol dan ia mampu untuk menguatkan moral mereka.

"Mungkin saya berharap Kelantan untuk muncul juara kerana mereka sudah lama menanti, 39 tahun dan mereka juga bermain dengan baik sepanjang musim," kata bekas pemain Selangor dan kebangsaan itu.

Apa yang diharapkan Abdul Ghani agar pemain tidak 'hilang akal' dengan melakukan perkara yang tidak diingini seperti memukul pengadil.

"Saya juga teruja dengan sambutan diberikan oleh penyokong walaupun pada tahun ini tidak ada kelibat pemain import, saya sebenarnya tidak setuju dengan kehadiran pemain import.

"Ia menutup peluang pemain tempatan terutamanya di bahagian serangan dan sekarang kita dapat lihat sendiri mereka ada peluang selain menimba pengalaman," katanya.

Jelasnya, kehadiran pemain import membuatkan penyerang tempatan seperti 'tidur' dan sukar untuk menggalas tugas di peringkat antarabangsa.

Sementara itu seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Shukor Salleh berkata, kelebihan dari segi permainan akan memihak kepada Negeri Sembilan.

Bagaimanapun bagi bilangan penyokong sudah tentu akan menjadi milik Kelantan.

"Kita akan dapat saksikan peminat fanatik Kelantan turun beramai-ramai untuk memberi sokongan dan ia seperti lautan merah," kata pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu.

Para penyokong kena patuhi arahan


Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meminta lebih 60,000 penyokongnya yang akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil supaya mengawal emosi dan mematuhi segala arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka perlu menjaga nama baik Kelantan ketika perlawanan tersebut berlangsung dan membuktikan bahawa penyokong negeri ini adalah yang terbaik.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih 60,000 penyokong Kelantan dari seluruh negara akan membanjiri stadium tersebut esok.

''Patuhilah segala peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan jagalah nama baik Kelantan sepanjang perlawanan itu nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 1001 tiket menyaksikan perlawanan akhir itu kepada pelajar sekolah di Majlis Sukan Negeri Kelantan di sini, semalam.

Anuar berkata, KAFA telah mendapat kebenaran FAM menjual 56,000 tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir tersebut bagaimanapun kesemuanya telah habis dijual.

"Kita telah meminta tambahan tiket dan FAM telah memberikan kebenaran kepada kita menjual lagi sejumlah tiket bagaimanapun ia masih tidak mencukupi kerana permintaan yang tinggi dari para peminat bola sepak negeri ini.

"Saya berharap mereka yang tidak mendapat tiket boleh membelinya secara terus daripada kaunter di stadium pada hari pertandingan," katanya.

Sementara itu, Anuar berkata, KAFA telah menyewa khas kereta api untuk membawa kira-kira 1,500 penyokong dari negeri ini memandangkan kesemua bas telah habis ditempah.

"Kereta api ini adalah tempahan khas dan diluar jadual biasa. Ia akan bertolak ke Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah malam Jumaat dari Tumpat dan bertolak balik pada pukul 2 pagi keesokannya.

"Tren khas ini akan membawa peminat setia kita dan tetamu khas termasuk 1001 sekolah ini," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails