Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Monday, January 10, 2011

'Satu bulan, satu perlawanan'

JURULATIH kebangsaan, K. Rajagobal berharap skuad bimbingannya itu mendapat peluang untuk beraksi sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan berstatus A setiap bulan sepanjang tahun ini.

Bagi Rajagobal, aksi berterusan penting dalam memastikan skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 itu dapat mengekalkan rentak cemerlang itu menjelang beberapa tugasan penting yang akan menyusul.

"Untuk masa terdekat, kita akan mengadakan satu perlawanan persahabatan pada bulan Februari. Kalau boleh, tiap-tiap bulan kita mahukan aksi persahabatan berstatus A.

"Ia penting untuk memastikan pasukan ini terus konsisten kerana kita akan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan dan juga pertemuan dengan Chelsea pada Julai depan.

"Kita sememangnya sudah mempunyai rancangan jangka panjang empat tahun dengan sasaran utama ialah melepasi saingan kelayakan Piala Asia dan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

"Kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF ini hanyalah sebagai satu permulaan ke arah itu," katanya pada sidang media bersempena majlis meraikan skuad kebangsaan oleh Nike Malaysia di One Utama, Damansara petang semalam.

DARI kanan: Safee Sali, Amirulhadi dan Khyril Muhymeen menurunkan tandatangan pada baju salah seorang peminat semasa sesi bertemu peminat semalam.



Lebih separuh pemain skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 hadir pada majlis tersebut bersama tiga pemain yang tidak tersenarai akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Baddrol Bakhtiar.

Rajagobal turut berharap semua pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik dan konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia yang akan bermula 29 Januari depan selain tidak gusar ganjaran demi ganjaran bakal melekakan anak-anak buahnya.

"Saya mahu Aidil, Zaquan dan Baddrol tampil lebih bertenaga apabila mereka kembali beraksi nanti. Jika prestasi mereka tidak mencapai tahap konsisten, berkemungkinan saya tidak akan panggil mereka semula.
"Tentang ganjaran, saya tahu pemain-pemain saya tidak akan lupa diri. Saya kenal mereka semua dan yakin dengan komitmen mereka.

"Mereka juga tahu, jika mereka malas, sudah pasti saya akan ketepikan mereka untuk menganggotai skuad kebangsaan," tegas Rajagobal.

KOSMO ONLINE

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails