
Pemain ke-12 yang dimaksudkan ialah kira-kira 50,000 penonton yang memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad K Rajagobal sejak tiupan wisel mula dibunyikan sehingga tamat.
Penulis yang berada di tengah-tengah kumpulan penyokong berkenaan dapat merasakan gelora sokongan padu mereka terhadap skuad kebangsaan tanpa sedikit rasa marah ketika pemain terlepas bola dari kawalan.
Mengikut laman sesawang UltrasMalaya.net (UMN), ahli kumpulan itu bertemu di alam maya dengan berkongsi maklumat menerusi ruangan forum laman sesawang itu.
Pada mulanya pergerakan mereka banyak bergantung pada satu lagi laman sesawang bola sepak iaitu HarimauMalaya.com atau lebih dikenali sebagai HMC, satu-satunya laman sesawang untuk kelab penyokong bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, atas beberapa faktor dan pelbagai kekangan tertentu, beberapa pelopor UMN mengambil inisiatif untuk bergerak secara sendiri dan kini diikuti semakin ramai penyokong.
sumber: http://www.bharian.com.my