HO CHI MINH CITY – Andai dinilai keputusan dicatat skuad bola sepak kebangsaan sepanjang Piala Eximbank Millenium Thang Long 2010 yang berakhir kelmarin, ramai yang mungkin kecewa dan menganggap prestasi mereka semakin merosot.
Namun, keputusan yang diraih bukanlah penanda aras bagi kejohanan bertaraf jemputan atau sekadar perlawanan persahabatan ini kerana ia lebih dianggap sebagai medan membina pasukan mantap.
Biarpun Malaysia menamatkan saingan di tangga tercorot daripada empat pasukan bertanding – di belakang Vietnam, Iran dan Singapura – menerusi pencapaian sekali seri dan dua kali tewas, persembahan skuad bimbingan K. Rajagobal ini terutama dari segi penguasaan perlawanan wajar dipuji.
Pada aksi sulung di Stadium Thong Nhat, Selasa lalu, Malaysia tewas 1-2 kepada tuan rumah, Vietnam.
Jika tidak kerana kesilapan bari- san pertahanan melepaskan dua gol awal pada 25 minit pertama, keputusan perlawanan pasti berubah.
Ini kerana, bermula minit ke-30 hingga minit ke-90, skuad negara telah mendominasi perlawanan tetapi hanya satu gol berjaya dijaringkan menerusi Norshahrul Idlan Talaha.
Pada aksi kedua Khamis lalu pula, Malaysia tewas 0-2 kepada Iran.
Kekalahan kepada Iran tidak boleh dijadikan ukuran kerana skuad negara meneruskan baki 32 minit permainan dengan 10 pemain sele- pas Nasriq Baharom dilayangkan kad merah.
Jika tidak kerana ‘bantuan’ pengadil tuan rumah, Phung Dinh Dung yang mendakwa jaringan Safee Sali pada minit ke-30 ofsaid dan hada- ngannya terhadap sepakan Safiq Rahim yang menghasilkan gol pertama Iran pada minit ke-41, anak-anak buah Rajagobal boleh menang berdasarkan deretan peluang terutama pada babak pertama.
Pada aksi terakhir kelmarin, bukan keputusan seri 0-0 dengan Si- ngapura sepatutnya dicatat skuad kebangsaan kerana mereka bukan sahaja menguasai sepenuhnya perlawanan, malah dihidangkan deretan peluang sama ada sipi atau digagalkan oleh kecekapan penjaga gol lawan, Lionel Lewis.
Bagi Rajagobal, peluang untuk mencuba semua 20 pemain yang dibawa serta memberi pendedahan kepada mereka menghadapi tekanan pada perlawanan kompe- titif adalah lebih penting.
Menurutnya, tempoh persiapan semakin singkat kerana saingan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China hanya berbaki sebulan lagi manakala saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta, Indonesia akan menyusul 1 Disember depan.
“Memang kita datang ke Vietnam ini bukan dengan sasaran un- tuk muncul juara. Apa yang lebih penting adalah untuk menilai, memberi peluang dan memilih pemain. Saya cuma mahu lihat mereka mempamerkan permainan baik.
“Ketika bertemu Vietnam dan Iran, biarpun ketinggalan, kita boleh nampak pemain mampu bangkit semula. Cuma pada kejohanan ini kita kurang bernasib baik untuk menjaringkan gol biarpun banyak peluang dicipta.
“Bahagian serangan kita ada menunjukkan peningkatan, cuma kita kurang kemas dengan tinda- kan penyudah. Kita boleh bersaing dengan pasukan lain.
“Saya juga memang kesuntukan masa untuk menilai pemain sebe- lum memilih skuad 20 pemain ke Sukan Asia nanti.
“Jadi di Vietnam inilah menjadi landasan terbaik untuk saya menilai watak dan kemampuan setiap pemain dalam menghadapi tekanan perlawanan,” kata Rajagobal ketika ditemui sebelum berlepas pulang ke tanah air pagi semalam.
Daripada 20 pemain yang dibawa Rajagobal ke Vietnam, empat pemain senior sedang merebut tiga slot pemain lebih usia 23 tahun untuk ke Sukan Asia iaitu penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali.
Berdasarkan susunan pemain dan prestasi mereka sepanjang tiga perlawanan menentang Vietnam, Iran dan Singapura, bayangan pemain yang bakal dibawa Rajagobal ke Guangzhou sudah boleh diramal.
Posisi penjaga gol telah menampakkan keyakinan apabila kedua- dua penjaga gol sama ada Sharbi- nee, 24, atau penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, beraksi cemerlang.
Posisi pertahanan tengah menampilkan gandingan kukuh ketua pasukan, Aidil Zafuan Radzak dan Nasriq Baharom. Namun gandingan Aidil dan Muslim Ahmad pada aksi bertemu Singapura sele- pas Nasriq digantung perlawanan juga nampak mantap.
Sabre Mat Abu dan Mahali Jasuli pula bergilir-gilir mengemudi posisi pertahanan kanan manakala Asraruddin Putra Omar perlu berasa bimbang kerana Fadhli Shas turut beraksi cemerlang ketika diletakkan di posisi pertaha- nan kiri. Jentera tengah hampir pasti menjadi milik Safiq Rahim dan Amar Rohidan.
Gary Steven Robbat yang dimasukkan pada 10 minit terakhir belum menampakkan kredibilitinya. Mungkin kehadiran semula K. Gurusamy yang tidak dibawa kerana cedera mampu memantapkan posisi ini.
Bagi posisi sayap kiri atau kanan, Rajagobal memiliki banyak pilihan kerana pemain yang ada seperti Kunanlan, Baddrol Bakhtiar, Fandi Othman, Faizal Abu Bakar dan Ahmad Fakri Saarani mampu memikul tugas yang diberikan dengan berkesan.
Jentera serangan pula yang diketuai Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha perlu memperkemaskan gaya penyudah sambil penyerang berusia 20 tahun, Izzaq Faris Ramlan perlu diberi lebih banyak peluang beraksi.
Sumber: Kosmo