MALAYSIA diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, China, Jepun dan Kyrgyzstan pada majlis undian acara bola sepak Sukan Asia 2010 yang berlangsung di The Garden Hotel, Guangzhou, China semalam.
Namun pengurus pasukan, Datuk Suba- han Kamal tidak menganggap ia sebagai 'kumpulan maut', sebaliknya berasakan ada hikmahnya Malaysia diletakkan satu kumpulan bersama gergasi Asia, Jepun dan China.
"Bagi saya, undian ini memberi hikmah kepada kita kerana dapat peluang untuk menguji kehandalan dengan Jepun.
"Kita tahu mereka bukan lagi taraf Asia ketika ini tetapi inilah peluang pemain kita membuktikan bahawa jurang kita dengan Jepun tidaklah terlalu besar.
"Perlawanan dengan China pula pasti memberi suasana yang menarik kerana kita berdepan pasukan tuan rumah," katanya ketika dihubungiKosmo! semalam.
Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah, sasaran Malaysia ialah untuk mencipta kejutan layak ke pusingan kalah mati setelah kali terakhir berjaya melakukannya pada Sukan Asia 1978 di Bangkok, Thailand.
"Kita bertekad untuk mempamerkan satu persembahan terbaik dan berkualiti di Guangzhou nanti. Jika berjaya mara ke pusingan kedua, ia sudah boleh dianggap kemenangan besar buat bola sepak Malay- sia.
"Kalau nak kata tiada harapan kerana kita diundi bersama Jepun dan China, bola itu bulat.
"Yang penting kita main dengan penuh kesungguhan dan saya yakin jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dapat menyediakan sebuah pasukan yang mantap," jelasnya.
Skuad negara bakal berlepas ke Guangzhou pada 5 November depan kerana acara bola sepak akan bermula 7 November biarpun upacara pembukaan temasya Sukan Asia 2010 hanya akan berlangsung 12 November.
Acara bola sepak bakal berlangsung di tujuh venue sekitar Guangzhou iaitu Stadium Ying Dong, Stadium Huadu, Stadium Huangpu, Stadium Yuexiu, Stadium Rakyat Guangdong, Stadium Huagdong dan Stadium Tianhe.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan dan empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan kedua.
Untuk rekod, Malaysia memenangi pingat gangsa acara bola sepak pada Sukan Asia sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1962 dan 1974.
Kosmo Online