Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Monday, October 11, 2010

16 Pasukan Bersaing Liga Super 2011?


SAINGAN Liga Malaysia (Liga M) 2011 yang akan bermula 1 Januari tahun depan menyaksikan untuk musim ketiga berturut-turut tanpa kelibat pemain import, bakal menyaksikan dua opsyen sama ada 14 atau 16 pasukan bertanding bagi Liga Super.

Bagi opsyen menjadikannya 16 pasukan, maka ia merangkumi 12 pasukan teratas Liga Super musim ini, dua pasukan teratas Liga Perdana (Felda United dan Sabah), skuad bawah 21 tahun negara (Harimau Muda A) dan satu pasukan yang akan dipilih menerusi perlawanan playoff.

Namun, jika salah satu daripada 14 pasukan yang sudah layak secara automatik itu menarik diri sebaik tarikh tutup pendaftaran pasukan pada 1 November depan, FAM memutuskan untuk tidak mengadakan perlawanan playoff, sebaliknya Harimau Muda A akan diambil menjadi pasukan ke-14 untuk bersaing dalam saingan Liga Super 2011.

Mengenai isu pemain import, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, keputusan muktamad berhubung pengambilan semula pemain import bagi musim 2012 hanya akan dibuat tahun depan.
“Isu import ini kita akan putuskan semula tahun depan kerana terdapat perkara baru yang perlu dikaji dan kita berpendapat isu tunggakan caruman KWSP pemain perlu diselesaikan terlebih dahulu.

“FAM memang berusaha menaikkan semula mutu liga dan pasukan bertanding tetapi bukan hanya dengan pengambilan semula pemain import secara terburu-buru. Kita perlu betulkan dulu struktur liga dan pasukan.

“Kita tak mahu pisang berbuah dua kali. Kita mahu mulakan Liga M 2012 dengan lebih tersusun supaya ia benar-benar membawa bola sepak negara ke mercu kejayaan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan rundingan bersama penaja Liga Malaysia, Telekom Malaysia (TM) yang kontraknya akan tamat pada 31 Disember hujung tahun berada di peringkat rundingan.

‘‘Selain TM, kami sedang memperincikan penaja-penaja baru yang berminat, antara aspek baru yang akan diubah mengenai pendekatan jersi dan ruang iklan,” jelasnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails