Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, May 6, 2010

Rentap Futsal isi tabung pembangunan bola sepak negara

KOMPLEKS Futsal Putrajaya yang terletak di Presint 18 akan dirasmikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah pada 8 Mei ini.

Sebanyak 16 pasukan futsal daripada syarikat-syarikat korporat bakal berentap pada Sabtu ini bertujuan mengumpul sumbangan kepada tabung pembangunan bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perlawanan futsal itu bakal disertai syarikat-syarikat korporat seperti Astro, Maxis, Maybank dan Perbadanan Putrajaya.

Menurutnya, setiap kumpulan daripada syarikat korporat tersebut bakal menyumbang yuran minimum penyertaan sebanyak RM10,000 untuk Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara.

"Perlawanan itu juga diadakan untuk menguji dan memperkenalkan gelanggang futsal di Kompleks Futsal Presint 18, sebelum Rentap Futsal Putrajaya pada 14, 15 dan 16 Mei ini diadakan sempena Hari Belia Negara.

"Pertandingan futsal antara syarikat-syarikat korporat ini akan dapat mempromosikan gelanggang ini untuk kegunaan pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sesi latihan awal Pasukan Pilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan beraksi menentang pasukan Bintang-Bintang Pilihan Kosmo! di sini, semalam.

Latihan awal yang diadakan pada pukul 5 petang itu diketuai oleh Shabery dan dua timbalannya, Datuk Wee Jeck Seng dan Datuk Razali Ibrahim.

Turut hadir menyertai latihan tersebut adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu , Shabery berkata, penyertaan sempena Rentap Futsal Putrajaya dijangkakan mencecah sebanyak 1,000 pasukan dan ia menunjukkan pertandingan tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

"Cuba bayangkan jika satu kumpulan dianggotai oleh tujuh pemain, ini bermakna kita telah mendapat penyertaan daripada 7,000 peserta.

"Ini tidak termasuk lagi dengan jumlah penyokong yang melihat pertandingan tersebut, secara tidak langsung penganjuran Rentap Futsal Putrajaya akan memeriahkan lagi sambutan Hari Belia Negara," katanya.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails