Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Wednesday, April 7, 2010

Piala AFC : Selangor 5 Victory SC 0

SELANGOR menghidupkan semula peluang untuk layak ke saingan kalah mati Piala AFC 2010 setelah berjaya membelasah Victory SC 5-0 pada perlawanan keempat Kumpulan F di Stadium Shah Alam.

Dua gol Safee Sali pada minit ke-24 dan 47 serta masing-masing satu gol daripada Rudie Ramli (27), Safiq Rahim (43) dan Hardi Jaafar (55) memberikan kemenangan bergaya buat Selangor yang dirundung kekecewaan gagal ke final Piala FA.

Lebih menarik, kemenangan 5-0 itu dicatat tatkala Selangor turun tanpa lima tonggak utama iaitu Amri Yahyah, Khairul Anuar Baharom, Nasriq Baharom dan Amirulhadi Zainal yang digantung perlawanan serta penjaga gol, Hamsani Ahmad yang masih cedera.

Setelah puas menguji benteng pasukan lawan pada awal babak permainan, gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-24.

Menerusi satu serangan balas, Hardi melakukan lambungan jauh mencari Rudie yang kemudiannya melambungkan pula bola melepasi penjaga gol Victory, Mohamed Faisal sebelum Safee mudah menolak masuk di depan gawang terbuka.

Seminit kemudian, kapten Selangor pada perlawanan ini, D. Surendran terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan dan jurulatih Selangor, K. Devan membawa masuk Azrine Efendy Saduddin. Lilitan kapten diberikan kepada Razman Roslan.

Gol kedua Selangor hadir sejurus selepas itu iaitu pada minit ke-27 menerusi penyudah kemas kaki kiri Rudie yang menerima bola hantaran cantik Fitri Shazwan Raduwan dari sebelah kiri.

Malang menimpa Victory SC apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Ahmed Shafiu dilayangkan kad merah selepas dia menerima kad kuning kedua akibat mengasari Safee pada minit ke-40.

Kelebihan tersebut pantas dimanfaatkan Selangor apabila mereka berjaya memperolehi gol ketiga selang tiga minit kemudian menerusi penyudah menarik Safiq Rahim yang pantas menyambar hantaran silang Rudie dari sebelah kiri.

Selesa mendahului 3-0, Selangor berjaya menambah gol keempat hanya dua minit selepas separuh masa kedua bermula.

Sepakan penjuru Hardi dari sebelah kiri ditanduk tipis Azrine sebelum ditanduk kencang ke dalam gawang Victory SC oleh Safee untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-47.

Gol kelima Selangor pula menyusul pada minit ke-55 apabila Hardi melakukan rembatan lencong kaki kanan dari luar kotak penalti yang sama sekali gagal diselamatkan penjaga gol pelawat.

Selepas itu, Selangor memasukkan dua lagi pemain iaitu R. Surendren dan Fazilidin Khalid bagi menggantikan Safee dan Safiq pada minit ke-69.

Namun, tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan Selangor untuk kedudukan 5-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Pada satu lagi perlawanan, Binh Duong menewaskan Sriwijaya 2-1 di Ho Chi Minh, Vietnam.

Selepas empat perlawanan, Sriwijaya masih mendahului Kumpulan F dengan 7 mata diikuti Binh Duong (7), Selangor (4) dan Victory SC (4).

Baki dua perlawanan selepas ini bakal menyaksikan Binh Duong bertemu Selangor di Ho Chi Minh dan Sriwijaya bertemu Victory SC di Palembang pada 21 April manakala Selangor bertemu Sriwijaya di Shah Alam dan Victory SC bertemu Binh Duong di Male pada 28 April depan.


SELANGOR: 22.Iqbal Suhaimi, 3.Razman Roslan, 11.Zaiza Zainal Abidin, 12.Bunyamin Umar, 4.Asraruddin Putra Omar, 19.D.Surendran (c) (16.Azrine Efendy Saduddin), 8.Safiq Rahim (25.Fazilidin Khalid), 14.Hardi Jaafar, 24.Fitri Shazwan Raduwan, 9.Rudie Ramli, 10.Safee Sali (23.R.Surendren).

VICTORY SC: 18.Mohamed Faisal, 3.Mohamed Sifan, 4.Afiu Mohamed Hamid (5.Ismail Anil), 7.Mukhtar Naseer, 8.Jameel Mohamed, 9.Hussain Simaz, 15.Ahmed Shafiu, 20.Ibrahim Sinaz, 21.Hassan Adhuham (26.Ali Shareef), 23.Ibrahim Fazeel, 27.Sabah Mohamed Ibrahim (c) (17.Ashraf Luthfy).

PENGADIL: Liu Kwok Man (Hong Kong)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails