Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, March 6, 2010

Veteran: Berhenti Bermimpi Untuk Bermain Di Olimpik Atau Piala Dunia

Walaupun ranking Malaysia telah meningkat dalam arena bola sepak dunia selepas memenangi Sukan SEA Laos tetapi prestasi sebenar sukan itu masih lagi jauh untuk mencapai standard sukan Olimpik dan Piala Dunia, kata bekas pemain bola sepak kebangsaan.

Beberapa bekas pemain negara yang ditemui Bernama berkata pasukan Malaysia harus lebih konsisten di dalam permainan mereka dan berusaha memenangi lebih banyak pertandingan di rantau ini terlebih dahulu sebelum ke peringkat dunia.

Santokh Singh, salah seorang pemain pertahanan terbaik negara berkata pemain harus berasa bangga apabila menyarung jersi Malaysia dan bermain dengan bersungguh-sungguh demi negara dan bukannya memikirkan mengenai ganjaran.

"Pemain kebangsaan harus berlatih dengan bersungguh-sungguh dan harus berasa bangga kerana mereka memikul tanggungjawab untuk menjaga kehormatan nama Malaysia dengan memastikan kemenangan.

Daripada mensasarkan impian yang tinggi, beliau berkata mereka seharusnya menetapkan sasaran untuk memenangi perlawanan di rantau ini dahulu sebelum memikirkan untuk bertanding di peringkat Olimpik atau Piala Dunia.

"Dan mereka memerlukan keazaman untuk berbuat demikian," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Santokh, 58, yang pernah bermain bersama lagenda bola sepak negara seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam dan Soh Chin Aun pada tahun 70-an dan 80-an pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972, juga membantu Malaysia untuk layak bertanding di Olimpik Moscow 1980.

Tetapi Malaysia memboikot pertandingan itu kerana membantah tindakan Soviet Union ketika itu menceroboh Afghanistan.

Santokh berkata semasa era beliau, pemain tidak mempunyai peralatan dan kemudahan sukan yang lengkap tetapi tetap bersemangat bermain walaupun tanpa insentif.

Sebaliknya, pemain era 70-an dan 80-an sangat berbangga menyarung jersi kebangsaan dan itu adalah faktor utama yang menjadikan pasukan Malaysia salah satu terkuat di Asia.

Sementara itu, pemain veteran kebangsaan negara, Ho Hon Seong berkata pemain bola sepak sekarang harus menukar pendekatan teknikal dan taktikal mereka.

"Saya tidak fikir pada masa ini pemain negara boleh pergi jauh kerana permainan mereka tidak konsisten. Persoalan paling besar sekarang ialah bagaimana kita hendak memperbaiki mutu bola sepak Malaysia... ia masih cerita lama," katanya.

"Sikap yang betul dalam bola sepak adalah penting. Semasa zaman saya, kami diajar memiliki sikap yang betul yang merupakan salah satu faktor yang membuatkan kami berbeza," kata Hon, yang juga mewakili Kuala Lumpur dari 1978 hingga 1984.

Hon berkata walaupun sukar terpaksa mewakili negara dan pada masa yang sama bekerja untuk mencari rezeki, pasukannya berjaya melakar kejayaan untuk bola sepak Malaysia.

Seorang lagi pemain veteran, Wong Choon Wah, yang pernah beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972, berkata pemain Malaysia harus mempunyai keazaman apabila bermain.

Katanya skuad negara perlu menjalani latihan di luar negara untuk mempelajari lebih banyak teknik bola sepak moden.

"Permainan ini sentiasa berubah dan kita mesti seiring dengan perubahannya," kata beliau.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails