Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Saturday, March 27, 2010

Keputusan Liga Perdana

Harimau Muda B mengutip tiga mata penuh apabila mengejutkan PKNS 4-2 di Melaka malam tadi, sekali gus menamatkan siri tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana sejak lima tonggaknya berlepas ke Slovakia bulan lalu.

Anak buah Ong Kim Swee berterima kasih kepada Syahrul Azwari Ibrahim yang menyumbat dua gol selain A. Saarvindran dan Amer Saidin dalam laluan mereka meleburkan impian PKNS untuk merampas tangga teratas daripada Felda United.

PKNS pula menjaringkan gol menerusi Tengku Adam Tengku Rosly.

Tengku Adam membuka tirai jaringan menerusi tandukan tajam pada minit keenam sebelum Saarvindran mengikat kedudukan pada minit ke-17 selepas memperdaya Saiful Amar Sudar hasil hantaran kapten Irfan Fazail.

Sepakan percuma Amer Saidin merobek gawang PKNS yang dikawal oleh Saiful, bekas penjaga gol Bawah 23 kebangsaan, pada minit ke-31 tetapi kedudukan kembali terikat apabila Tengku Adam merebut kesempatan hantaran jarak jauh untuk merembat masuk dengan kaki kirinya pada minit ke-37.

Pada babak kedua, Syahrul Azwari yang berasal dari Kelantan mencuri tumpuan dengan dua jaringan, sekali gus melegakan Kim Swee yang terpaksa menampal kekosongan yang ditinggalkan oleh Gary Robbat Steven, Fendi Othman, Fadli Shah, S. Thamil Arasu dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang menyertai pasukan Azraai Khor Abdullah di Vion, Slovakia.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails