Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, February 25, 2010

Rajagobal tagih 30 aksi kompetitif


K.RajagoBal menunjukkan teknik hantaran yang betul kepada pelatih kebangsaan pada sesi latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Setelah terlepas perlawanan persahabatan kompetitif akibat Togo menarik diri untuk bertemu Malaysia jurulatih, K. Rajagobal menegaskan dia memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan.

Menurutnya, lebih kurang 20 hingga 30 perlawanan persahabatan diperlukan oleh skuad kebangsaan, sebelum mencapai matlamat utama beraksi cemerlang pada Sukan Asia di Guangzhou, November ini.

"Selepas beraksi 20 hingga 30 perlawanan, barulah saya boleh nampak persefahaman pemain, adakah mereka mampu menjadi pemain utama, berada dalam kesebelasan atau tersenarai dalam skuad 18 pemain," katanya ketika ditemui semalam.

Jelasnya, skuad kebangsaan amat memerlukan perlawanan persahabatan terbaik, yang begitu kompetitif seterusnya dapat mengekalkan konsisten sehingga ke saingan Sukan Asia.

"Kita tidak boleh mengukur keupayaan mereka dalam satu dua hari ini, mereka baru sahaja menjalani latihan.

"Ada di antara mereka adalah muka-muka baru yang saya lihat mempunyai potensi dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana," katanya.

Rajagobal berkata, dia masih dalam proses untuk memilih pemain berlandaskan matlamat cemerlang pada Sukan Asia.

"Di Guangzhou nanti, hanya pemain bawah 23 tahun dibenarkan beraksi, jadi saya mahu lihat prestasi pemain terlebih dahulu, terutama mereka yang baru dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan.

"Adakah mereka boleh bermain dengan pasukan ini, apakah perwatakan mereka, semua itu perlu diambil kira, selepas itu baru saya boleh melihat peluang mereka untuk mengisi di posisi yang betul," katanya.

Tindakan Rajagobal memanggil pemain baru yang lebih muda, kerana tujuh hingga lapan pemain dari skuad yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Laos, sudah menjangkau usia 24 tahun.

"Saya mahu pasukan ini terus menunjukkan peningkatan dan persefahaman yang baik, kalau kita menang dan terus menang tanpa sebarang perubahan tidak berguna juga.

"Bukan saya mahu mereka kalah, tetapi saya mahu mereka belajar dari kesilapan jika mereka kalah selepas ini," katanya.

Katanya, pemain lama perlu terus menunjukkan persefahaman manakala pemain baru haru memberi impak kepada pasukan.

"Selepas beraksi di Sukan Asia, matlamat seterusnya ialah cemerlang di Kejohanan AFF di Hanoi dan Jakarta hujung tahun ini," katanya.

Aidil Zafuan Radzak mengetuai skuad emas itu di samping Zaquan Adha Radzak, Farizal Marlias, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar, Azmi Muslim, Sabre Mat Abu, Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom, Safiq Rahim, S. Kunanlan, Sharbinee Allawee Ramli dan Norshahrul Idlan Talaha.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails