Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Wednesday, February 17, 2010

Harimau Muda A tetap dapat mata


Azzuddin Ahmad

Setiap keputusan yang dicatat Harimau Muda A dalam persaingan Liga 1 Slovakia mulai 27 Februari ini akan tetap dikira sebagai mata dan mempengaruhi kedudukan sekalipun skuad bawah 21 tahun negara hadir sebagai pengganti sebuah kelab yang menarik diri.

Malah Setiausah Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Persatuan Bola Sepak Slovakia (SFZ), sanggup menyediakan sebuah anugerah khas berdasarkan sejauh mana pencapaian anak buah Azraai Khor Abdullah itu sepanjang liga sehingga 29 Mei ini.

"Cuma Harimau Muda A tidak akan memenangi piala liga berkenaan atau sebarang ganjaran wang yang mungkin ditawarkan walaupun mereka bergelar juara," katanya, yang baru dua hari pulang ke tanah air selepas mengadakan rundingan dengan SFZ sejak 9 Februari lalu.

Azzuddin turut menegaskan, Harimau Muda A akan bermain selaku muka baru liga tersebut, tanpa perlu 'mengusung' sebarang mata yang dipungut kelab yang diganti kerana menarik diri, ZP Sport Podbrezova, yang cuma bermain lima perlawanan.

Keraguan mengenai status liga sebenar yang disertai anak buah Azraai Khor Abdullah itu timbul setelah laman web Persatuan Bola Sepak Slovakia, awal bulan ini mendedahkan bahawa mereka hanya akan beraksi dalam Liga 1, yang bertaraf divisyen dua.

Malah Harimau Muda A dikatakan cuma hadir menggantikan kelab ZP Sport Podbrezova, bagi menghabiskan baki 14 perlawanan kelab itu yang menarik diri setelah hanya bermain lima perlawanan dalam Liga 1.

Liga yang diuruskan Kesatuan Kelab-kelab Liga (ULK) itu, bermula pada 11 Jun lalu dan melalui 18 perlawanan, sekali gus kehadiran skuad bawah 21 tahun Malaysia ini dikatakan sekadar lawan persahabatan buat salah satu kelab yang berehat pada hari perlawanan kerana jumlah pasukan yang ganjil.

Liga berkenaan menampilkan kelab seperti Safa, Ruzomberok B, Michalovce, Liptovsky Mikulas, Dolny Kubin, Zlate Moravce Vion, Trencin, Puchov, Lucenec, Rimavska Sobota dan Prievidza.

"Bagi saya, walau apa pun format liganya (mengandungi 14 perlawanan timbal balik), marilah kita terimanya sebagai medan pendedahan berguna bertaraf antarabangsa untuk pasukan bola sepak belia kita.

"Satu lagi berita baik ialah SLZ amat mengalu-alukan kehadiran pasukan belia kita, malah mengharapkan kita dapat menempatkan sebuah pasukan yang tetap dalam liga mereka musim depan.

"Selain itu, mereka berjanji untuk mengemukakannya sebahagian program pembangunan bola sepak Slovakia dan kerjasama dengan negara asing kepada UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah)," kata Azzuddin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails