Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Thursday, November 19, 2009

Skuad B-23 masih ada sinar - Rajagobal

Tewas 3-1 kepada Uzbekistan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak bermakna sinar pasukan bawah 23 negara semakin malap.

Ini diakui sendiri oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yang menganggap pasukan bawah 23 ini mampu menjadi sebuah pasukan yang mantap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurutnya, majoriti pemain bawah 23 tahun telah menunjukkan prestasi yang membanggakan setakat ini sebelum berangkat ke Sukan SEA Laos bulan depan dan berdepan pasukan gergasi Asia seperti Ubzekistan satu pendedahan yang amat berguna.

"Selepas saya diberi tanggungjawab untuk membimbing pasukan bawah 23, saya telah mengenengahkan beberapa pemain muda dan mereka telah membalas kepercayaan saya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan tamat semalam.

Jelasnya, pemain muda ini telah mendapat pendedahan yang berguna walaupun mereka beraksi pada tahap yang berbeza (dengan pemain senior).

"Kita kena melihat dari sudut positif dan berlajar menerima kekalahan ini," kata Rajagobal.

Mengulas perlawanan semalam, Rajagobal mengakui pemainnya banyak memberi ruang pada separuh masa pertama dengan membiarkan pasukan lawan memperoleh sepakan sudut serta lontaran ke dalam.

"Mereka (Uzbekistan) sangat merbahaya jika mendapat peluang seperti itu tetapi pemain saya sudah mencuba sedaya upaya dan saya amat memerlukan pemain seperti Zaquan (Adha Abd. Radzak) yang mempunyai kelebihan dari segi kelajuan.

"Jika kita lihat dari sudut positif, anak buah saya kembali memberi saingan pada separuh masa kedua dan saya dapat lihat keyakinan mereka," katanya.

Menjelang perlawanan terakhir bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) Januari depan, Rajagobal berkata, pemain perlu ke sana berbekalkan disiplin dan taktikal yang jitu.

"Saya akan cuba yang terbaik tetapi tidak berjanji apa-apa, cuma kita perlu beraksi dengan minda yang positif," kata bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu.

Ditanya mengenai peluang pemain senior untuk dipanggil semula beraksi dalam skuad kebangsaan, Rajagobal mengakui dia bersedia untuk menyenaraikan mereka semula.

"Sekarang, saya mahu memberi pendedahan kepada pemain bawah 23, jadi mereka perlu merebut segala peluang beraksi dalam perlawanan antarabangsa, situasinya masih belum tepat untuk memanggil pemain senior.

"Berkemungkinan perlawanan menentang UAE nanti mereka akan disenaraikan tetapi saya juga perlu melihat dari sudut persediaan fizikal dan mental siapa yang lebih sesuai untuk beraksi memandangkan ketika itu Liga Malaysia masih belum bermula," katanya.

Sementara itu jurulatih Uzbekistan, Kasimov Mirdjalal berkata, Malaysia yang ditentangnya kali ini sangat bagus berbanding sebelum ini.

"Ia berbeza seperti pasukan ketika mereka tewas kepada UAE 5-0 dalam perlawanan pertama sebelum ini, kali ini hanya dua orang pemain senior sahaja diletakkan," katanya dalam sidang media.

Bagaimanapun dia tidak berpuas hati dengan prestasi pasukannya walaupun mereka berjaya mencatat dua kali kemenangan 3-1 di Tashkent dan di sini.

"Ramai pemain utama saya tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan itu yang membuatkan saya tidak puas hati dengan pasukan ini walaupun menang," katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails