Football Association Malaysia

BE THE 12TH MAN

BE THE 12TH MAN

Monday, May 3, 2010

Nasib Subkhiddin ke Piala Dunia ditentukan hari ini


Subkhiddin Salleh (tengah) berbual dengan pengadil dari China, Mu Yu Xin (kiri) dan Jeffrey Goh Gek Pheng dari Singapura pada Mesyuarat Pengadil dan Pengajar Program Bantuan Pengadilan di Shah Alam, semalam.


Tuah yang tidak menyebelahi Subkhiddin Mohd. Salleh empat tahun lalu, bakal diharap berubah buat wakil tunggal Malaysia ini apabila ‘beradu nasib’ dengan 25 lagi pengadil dan pembantu pengadil untuk ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, bulan depan.

Guru dari Pulau Pinang berusia 44 tahun ini perlu melepasi ujian kecergasan hari ini, sempena Mesyuarat Pengadil dan Pengajar Program Bantuan Pengadilan (RAP) Gabungan Bola Sepak Asia dan Oceania (AFC dan OFC) di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam.

Jika berjaya melepasi syarat wajib yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu, dia juga bakal menurut jejak Halim Abdul Hamid dan Mat Lazim Awang Hamad, yang pernah beraksi sebagai pembantu pengadil Piala Dunia Perancis 1998 dan Korea Selatan-Jepun 2002.

Subkhiddin gagal ke Piala Dunia di Jerman 2006, sebaliknya pengadil dari Singapura, Shamsul Maidin berpeluang mempamerkan bakat dan menimba pengalaman berharga di sana, apatah lagi keputusan kontroversi pengadil sering menjadi buah mulut ketika itu.

Bersaing dengan calon pengadil Piala Dunia dari Singapura, Jepun, Arab Saudi, Uzbekistan dan Australia, antara bentuk ujian yang menanti Subkhiddin ialah berlari pecut 40 meter sebanyak enam kali di bawah 6.20 saat, larian 10 pusingan sejauh 150 meter dan berjalan 50 meter sebanyak 20 kali.

Pengajar Fizikal Program Bantuan Pengadilan FIFA, Toshio Utsumi berkata, inilah detik penting buat kesemua calon pengadil benua Asia dan Oceania menjelang sebulan ke Afrika Selatan dengan segala prestasi mereka sepanjang dua hari ini dinilai dan diperhalusi, khususnya keadaan fizikal dan kecergasan.

“Kami perlu memastikan mereka bersedia sepenuhnya dan setakat mana kemajuan mereka, termasuk daripada segi psikologi dan mental kerana hanya ada kurang sebulan sebelum mereka ke sana. Saringan kali ini merupakan susulan RAP yang dirancang sejak 2007 lagi,” kata warga Jepun ini selepas sesi taklimat awal mesyuarat, semalam.

Kata Utsumi, dia sendiri berasa teruja untuk ‘beraksi’ pada Piala Dunia kerana belum pernah sempat melakukannya sepanjang karier pengadilannya dan hanya ditugaskan untuk mengadili pertandingan besar anjuran FIFA seperti Piala Kelab Dunia, Kejohanan Bawah 17 dan 20 Tahun Dunia dan Piala Gabungan FIFA 2009.

Mengenai peluang negaranya dalam penampilan keempat pada Piala Dunia kali ini terutama sama ada Blue Samurai mampu melepasi peringkat Kumpulan E dengan Belanda, Denmark dan Cameroon, secara ringkas katanya, “apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.”

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Pengadilan Pejabat Pembangunan FIFA Kuala Lumpur, Azimi Abdullah, menurut kuota badan induk itu, hanya lima pengadil dan pembantu pengadil yang ditetapkan dari Asia dan Oceania (New Zealand dan beberapa negara kepulauan Pasifik) untuk beraksi pada Piala Dunia.

“Namun, keputusan akhir untuk menambah atau mengurangkan kuota itu bergantung sepenuhnya kepada FIFA dan tidak semestinya itulah jumlah pengadil dan pembantu pengadil yang akan dibawa ke Afrika Selatan menurut kebiasaannya.

‘‘Malah, tidak semua yang dibawa itu akan dijamin ditugaskan dalam perlawanan. Ada kalanya cuma sebagai simpanan,” katanya.

sumber: http://utusan.com.my/

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails