Harimau Muda B mengutip tiga mata penuh apabila mengejutkan PKNS 4-2 di Melaka malam tadi, sekali gus menamatkan siri tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana sejak lima tonggaknya berlepas ke Slovakia bulan lalu.
Anak buah Ong Kim Swee berterima kasih kepada Syahrul Azwari Ibrahim yang menyumbat dua gol selain A. Saarvindran dan Amer Saidin dalam laluan mereka meleburkan impian PKNS untuk merampas tangga teratas daripada Felda United.
PKNS pula menjaringkan gol menerusi Tengku Adam Tengku Rosly.
Tengku Adam membuka tirai jaringan menerusi tandukan tajam pada minit keenam sebelum Saarvindran mengikat kedudukan pada minit ke-17 selepas memperdaya Saiful Amar Sudar hasil hantaran kapten Irfan Fazail.
Sepakan percuma Amer Saidin merobek gawang PKNS yang dikawal oleh Saiful, bekas penjaga gol Bawah 23 kebangsaan, pada minit ke-31 tetapi kedudukan kembali terikat apabila Tengku Adam merebut kesempatan hantaran jarak jauh untuk merembat masuk dengan kaki kirinya pada minit ke-37.