“Jikalau ditanya mengenai rating, saya memberikan rating 6/10 untuk liga satu Slovakia ini. Perlu diperjelaskan Harimau Muda bukan beraksi dengan pemain B-21 (Liga B21 Slovakia) seperti yang dilaporkan, sebaliknya beraksi dengan lawan yang jauh lebih matang,” katanya menerusi facebook.
Barisan Bawah 21 kebangsaan akan turun buat kali kelima menentang Dolny Kubin di tempat lawan hari ini, bagi memburu kemenangan pertama selepas empat kekalahan. “Tidak ada salah mengharapkan kemenangan daripada anak-anak muda yang bersaing dengan pemain Eropah yang memiliki kelebihan dalam pelbagai aspek - pengalaman, fizikal, disiplin dan taktikal.
“Ia satu harapan yang sangat tinggi tetapi Harimau Muda tetap bersungguh untuk mencipta kemenangan sebagai satu suntikan,” katanya.
Usaha untuk mencatat kemenangan sulung dibantu dengan pengambilan jurulatih kecergasan, Milan Ivanka dan penasihat teknikal, Ladislav Totkovic mendapati semua pemain negara mencapai tahap kecergasan yang dimiliki pemain Eropah selepas ujian kecergasan tahap 2 baru-baru ini.
Skuad kebangsaan menyambut semula penyerang, Ahmad Shakir Md Ali dan K Gurusamy yang mengalami kecederaan dan tidak beraksi dalam kekalahan 3-1 kepada MFK Tatran sebelum ini.